Powered By Blogger

Tuesday, April 10, 2012

Jauhi Sifat Riak

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

ADA sebahagian orang yang menipu dengan penampilannya dan memikat dengan tutur katanya. Kita melihat apa yang ada di wajahnya berbeza dengan apa yang ada di hatinya. Apa yang terselit di dalam dadanya berbeza dengan apa yang diucapkan dengan lisannya. Orang tersebut melakukan kebaikan untuk ditunjukkan pada orang lain. Dia tidak memiliki tujuan baik dan niat ikhlas kerana Allah SWT. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
"Allah SWT berfirman; Aku tidak memerlukan sekutu. Sesiapa melakukan suatu amalan untuk-Ku namun dia sertakan di dalamnya selain-Ku, maka Aku bebas dari amalan itu dan ia untuk pihak yang dia jadikan sekutu." [HR Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah]

Orang riak ini tidak akan mendapat hasil dari amal perbuatan mereka kecuali mereka akan disebut-sebut di dunia. Inilah yang mereka inginkan.

Ibadah yang hakiki adalah ibadah yang hanya ditujukan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." [Al-Kahfi: 110]

Orang yang riak adalah orang yang lemah imannya. Mereka dihina oleh dunia dan bermuka dua di hadapan orang soleh. Perbuatan ini bertentangan dengan iman yang sihat. Amalan mereka adalah khayalan yang tidak ada nilainya di dunia, sedangkan di akhirat bagai debu yang berterbangan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)." [An-Nisa': 142]
Betapa hinanya orang yang menipu diri sendiri. Keperibadiannya tidak seimbang dan jiwanya tidak tenang. Dia sebenarnya lemah, namun ingin dilihat masyarakat sebagai orang yang kuat. Imannya sedikit dan banyak pembohongan. Dialah orang 'MUNAFIK' sehingga keadaannya akan sentiasa berubah-ubah. Dia hanya melihat diri sendiri dan suka dilihat orang lain. Menanti pujian mereka meskipun tidak layak mendapatkannya. Dia dipuji atas perbuatan yang kadangkala tidak dilakukannya.

Laknat Allah SWT ke atas golongan yang menunjukkan amal ibadah agar manusia menganggap mereka baik, padahal sebenarnya mereka hanya menipu. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya)". [Al-Maa'uun: 1-7]
Di kalangan mereka ada yang bangga pada orang lain dengan amal perbuatannya dan nikmat yang diberikan Allah SWT kepadanya. Bahkan dia menyakiti orang fakir kerana kefakiran mereka, dengan menyebut-nyebut pemberiannya. Nasihat Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir". [Al-Baqarah: 264] 
Di dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a, dia berkata:
Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat nanti adalah seorang yang mati syahid. Dia dibawa ke hadapan Allah, lalu disebutkan nikmat Allah kepada dirinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya, 'Untuk apakah kamu gunakan nikmat tersebut?' Dia menjawab, 'Aku berperang pada jalan-Mu sehingga aku mati syahid.' Allah SWT berkata, 'Kamu dusta, sebenarnya kamu berperang supaya dikatakan berani. Dan apa yang kamu mahukan itu telah kamu perolehi.' Kemudian diperintahkan (kepada malaikat) agar dia diseret lalu dilemparkan ke neraka. Kemudian seorang yang mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membaca Al-Qur'an. Dia dibawa ke hadapan Allah, lalu disebutkan nikmat Allah kepada dirinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya, 'Kamu gunakan untuk apa nikmat tersebut? Dia menjawab, 'Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membaca Al-Qur'an kerana-Mu semata.' Allah berkata, 'Kamu dusta, sebenarnya kamu mempelajari ilmu dan mengajarnya supaya disebut ulama. Kamu membaca Al-Qur'an supaya disebut qari.' Apa yang kamu mehukan itu telah kamu perolehi.' Kemudian diperintahkan (kepada malaikat) agar diseret lalu dilemparkan ke neraka. Kemudian giliran seorang yang Allah beri banyak harta. Dia dibawa ke hadapan Allah, lalu disebutkan nikmat Allah kepada dirinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya kepadanya, 'Kamu gunakan untuk apa nikmat tersebut?' Dia menjawab, 'Tidak ada seuatupun perkara yang diperintahkan supaya berinfak di dalamnya, melainkan aku infakkan hartaku kerana-Mu semata.' Allah berkata, 'Kamu dusta, sebenarnya kamu berinfak supaya dikatakan sebagai orang yang dermawan. Apa yang kamu kehendaki itu telah kamu perolehi.' Kemudian diperintahkan (kepada malaikat) agar diseret di atas wajahnya, lalu dilemparkan ke neraka." [HR Muslim, An-Nasa'i dan yang lainnya]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...