Powered By Blogger

Monday, April 2, 2012

Kewajipan Menunaikan Solat

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


KEWAJIPAN Islam paling utama adalah menunaikan solat yang telah difardhukan. Solat merupakan tiang yang mengukuhkan agama. Solat membezakan antara iman dan kufur. Allah SWT menjanjikan pahala yang besar bagi orang-orang yang menjaga solatnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan mereka yang tetap memelihara solatnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” [Al-Mu’minun: 9-11]

Setiap amal ibadah memiliki rohnya, maka roh solat pula adalah khusyuk. Sesungguhnya di dalam solat terdapat ketenangan dan ketenteraman. Solat merupakan cara untuk berhubungan dengan Allah SWT. Solat dapat menyinari hati dan memakmurkan masjid. Allah SWT berfirman (maksudnya):
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” [At-Taubah: 18]

Seorang muslim yang mengabaikan solat pasti akan merasai penyesalan yang amat sangat. Dengan perbuatannya itu, bererti menghancurkan tiang seterusnya bangunan agama. Akibatnya ia pasti akan menjadi orang-orang yang rugi di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT (maksudnya):
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat; Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” [Al-Muddathir: 42-48]

Umat Islam seharusnya tidak mengabaikan solat walau apa sekalipun alasan. Allah SWT tidak akan memberkati perkara-perkara yang melalaikan kita dari melaksanakan kewajiban solat; samada dengan menunda atau bahkan meninggalkannya terus. Firman Allah SWT (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi,” [Al-Munafiqun: 9]

Kita pasti akan bertemu dengan Allah jua akhirnya yang akan menghisab amalan kita. Amalan yang pertama akan dihisab adalah solat. Semua amalan selain solat sangat bergantung kepadanya. Sabda Rasulullah s.a.w (maksudnya):
“Amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab pada Hari Kiamat adalah Solat. Apabila solatnya baik, maka baiklah seluruh amalannya. Sebaliknya apabila solatnya buruk, maka buruklah seluruh amalannya.” [HR Imam At-Tabrani]
“Beza antara seorang hamba dengan kekufuran adalah meninggalkan solat.” [HR Imam Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah]
Diriwayatkan dari Muaz r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya): Janganlah meninggalkan solat dengan sengaja. Sebabnya, orang yang meninggal solat dengan sengaja telah terlepas daripada perlindungan Allah.” [Mu’jam At-Tabrani Al-Awsath]
“sesiapa yang menjaga solatnya, maka solat tersebut akan menjadi cahaya, petunjuk dan keselamatan untuknya pada hari Kiamat. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjaga solatnya, maka solatnya tidak akan menjadi cahaya, petunjuk dan keselamatan untuknya. Pada Hari Kiamat nanti, dia akan dikumpulkan bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubay bin Khalaf.” [HR Imam Ahmad]

Ada sebuah kisah yang menunjukkan bahawa perbuatan meninggalkan solat itu adalah suatu kesalahan yang amat berat di sisi agama. Seorang wanita dari kalangan Bani Israel telah datang kepada Nabi Musa a.s. Wanita itu berkata, “Ya Rasul Allah! Sesungguhnya saya telah melakukan dosa besar. Saya telah bertaubat pada Allah SWT darinya. Berdoalah kepada Allah SWT untukku agar Dia mengampuni dosaku dan menerima taubatku.” Maka Nabi Musa a.s bertanya kepadanya, “Dosa apakah yang kamu telah lakukan?” Wanita itu menjawab, “ Ya Nabi Allah! Saya telah berzina dan melahirkan seorang anak lalu membunuhnya.” Musa a.s lantas berkata kepadanya, “Nyahlah kamu, wahai wanita sundal! Hampir saja turun api dari langit membakar kami gara-gara kejahatanmu.” Wanita itupun keluar dengan hati yang hancur lebur. Kemudian, turunlah Jibril a.s dan berkata, “Wahai Musa! Allah SWT berfirman: Mengapa kamu menolak wanita yang bertaubat itu? Wahai Musa! Tidak pernahkah kamu menjumpai orang yang lebih buruk darinya?” Musa pun bertanya, “Wahai Jibril! Siapakah orang yang lebih buruk dari wanita tersebut?” Jibril menjawab, “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja.”

Hukuman bagi orang yang meninggalkan solat sangatlah pedih dan keras seksaannya. Namun begitu, pintu taubat tetap terbuka selagi nyawa masih belum sampai ke kerongkong. Allah SWT menerima taubat orang yang mahu untuk bertaubat selagi masih diberi kesempatan. Beruntunglah bagi mereka yang taat pada Allah SWT dan Rasul-Nya sedangkan kerugianlah bagi yang ingkar termasuklah terhadap perintah menunaikan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun.” [Maryam: 59-60]

Ibnu Abbas r.a menyatakan, “Makna mensia-siakan solat bukan hanya meninggalkan solat sepenuhnya, akan tetapi juga menunda-nunda solat dari waktunya.”

Barang siapa yang meninggal dunia, sedangkan dia berterus-terusan berada dalam keadaan ini dan tidak bertaubat, Allah mengancamnya dengan ghay, iaitu lembah di dalam neraka yang amat dalam dasarnya dan makanan yang ada di dalamnya adalah makanan yang sangat buruk. Firman Allah SWT (maksudnya):
“(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat; (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya;” [Al-Ma’un: 4-5]

Sehubungan dengan itu, janganlah kita meremeh dan mengabaikan solat. Firman Allah SWT (maksudnya):
“(Ingatlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedasyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya; Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat. [Al-Qalam: 42-43]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...