Powered By Blogger

Thursday, April 26, 2012

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Mempusakai Sifat Gedebe Tetapi Bertempat

بِسْــــمِ اﷲِ  الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


OLEH kerana Allahyarham Raja Banjar tidak mengambil perhatian yang berat terhadap pelajaran anak-anaknya, maka seorang anaknya, Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat, telah mengambil daya usahanya sendiri untuk mendapatkan pelajaran agama daripada ulama-ulama tempatan pada waktu ltu.

Dengan usahanya sendiri, Allahyarham mulai belajar di Pondok Haji Omar Mentuan, kemudian melanjutkan pelajarannya ke Pondok Tok Kenali yang paling terkenal pada waktu itu.

Di Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah mempelajari semua bidang ilmu agama untuk melayakkan diri menjadi seorang guru agama yang berkebolehan dan berpengetahuan.

Selepas mendapat didikan daripada almarhum Tok Kenali, Allahyarham Haji Nik Mat telah diiktiraf dan diakui sebagai seorang ulama dan tok guru oleh masyarakat tempatan pada waktu itu.

Sekembalinya dari Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah menunjukkan sikap anti khurafat dan memusuhi semua bentuk maksiat yang wujud di sekitar kampung halamannya.

Menurut Cikgu Tuan Mat bin Haji Tuan Kechik, setelah Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mendapat didikan agama di Pondok Haji Omar Mentuan dan Pondok Tok Kenali, Allahyarham telah menunjukkan sikapnya yang tidak mahu bertolak ansur dengan sesiapa sahaja tentang ajaran agama Islam. 



Tuan Guru Nik Abdul Aziz mewarisi ketegasan dan keberanian (gedebe) dari almarhum ayahandanya

"Allahyarham secara nekad dan berani menyembelih beberapa ekor 'ayam pelaga' kesayangan ayahandanya sendiri yang disimpan dalam satu sangkar yang istimewa.

'Ayahandanya yang bengis itu tidak berkata apa-apa apabila diberitahu bahawa orang yang menyembelih ayam pelaga kesayangannya itu ialah anaknya sendiri yang bernama Nik Mat," kata Cikgu Tuan Mat.

Peristiwa tindakan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat menyembelih 'ayam-ayam pelaga' kesayangan ayahandanya itu telah menggemparkan masyarakat setempat kerana sebelum itu tidak ada seorang insan pun yang sanggup dan berani menentang ayahandanya itu.

Ekoran daripada peristiwa itulah, orang ramai mulai kenal slapa dia Haji Nik Mat bin Raja Banjar itu. Dan masyarakat setempat mulai menyedari bahawa anak Raja Banjar ini akan menentang sesiapa sahaja yang mengingkari ajaran Tuhan Yang Maha Esa.

Masyarakat setempat mulai kenal bahawa sikap 'gedebe' (handalan) Raja Banjar dipusakai oleh Haji Nik Mat.

Orang Kelantan juga mengatakan darah 'gedebe' ini dipusakai pula oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, yang ditunjukkannya melalui ketegasannya dalam sebarang tindakan dan sanggup berhadapan dengan segala kemungkinan.

Sebagai seorang ulama muda yang mempunyai hemah dan cita-cita yang tinggi, Allahyarham Haji Nik Mat sudah pasti tidak akan berasa cukup dengan ilmu yang ada padanya pada waktu ltu. Allahyarham terus menyambung pelajarannya dengan beberapa ulama yang terkenal di Kelantan pada zaman itu.

Dua orang ulama yang terkenal di Kelantan pada waktu itu ialah Allahyarham Tok Khurasan dan Mufti Kerajaan Kelantan, Allahyarham Haji Wan Musa, ayah kepada Allahyarham Nik Muhammad Mahyuddin Musa.

Kedua-dua ulama yang menjadi guru kepada Allahyarham Haji Nik Mat dianggap pakar dalam segala ilmu, khususnya tafsir, Hadith dan ilmu mantiq.

Allahyarham Maulana Tok Khurasan berasal dari Bhafar, India (sekarang dalam Pakisan) dan Allahyarham telah menamatkan pengajiannya di Universiti Darul Ulum, Deoband. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Allahyarham Tok Khurasan pernah menjadi mahaguru di Darul Ulum, Deoband.

Sementara Allahyarham Haji Wan Musa pula, selain daripada memegang jawatan sebagal Mufti Kerajaan Kelantan, beliau terkenal sebagai seorang ulama yang progresif dan fikirannya lebih terbuka daiipada ulama-ulama lain pada zaman itu.

Di samping berguru kepada Maulana Tok Khurasan dan Mufti Haji Wan Musa, Allahyarham Haji Nik Mat juga mempelajari ilmu tassawuf daripada seorang ulama Sudan yang menjadi tetamu khas kepada Allahyarham Haji Wan Musa.

Ulama Sudan yang dikenali dengan panggilan 'Sheikh Azhari' itu bukan sahaja menjadi tetamu kepada Haji Wan Musa, malah beliau juga menjadi guru kepada Haji Wan Musa dan ulama-ulama lain yang sealiran dengannya.

Saya telah diberitahu bahawa ulama dari Sudan inilah yang mula-mula sekali memperkenalkan tassawuf secara lebih mendalam ke negeri Kelantan. Sebelum itu, tok-tok guru di Kelantan tidak begitu berminat untuk mempelajari ilrnu tassawuf secara Yang lebih khusus dan mendalam lagi.

Tuan Guru Haji Nik Mat dikatakan lebih tegas lagi menentang segala bentuk khurafat dan amalan bid'ah dalam masyarakat Islam setempat setelah mendekati ulama muffassirin dan muhaddithin itu. Allahyarham secara terbuka menentang amalan menunggu kubur, mengadakan kenduri pada hari-hari tertentu setelah kematian seseorang muslim, membayar fidyah dan amalan-amalan lain yang dianggap bid'ah.

Selain daripada itu, Allahyarham bukan sahaja mengharamkan anak-anaknya daripada menghisap rokok, malah Allahyarham tidak menerima sebarang bentuk derma hasil daripadajualan rokok dan hasil daripada jualan daun tembakau.

Ini adalah kerana mengikut pendapat Tuan Guru Haji Nik Mat menghisap rokok itu hukumnya haram dan semua perkara yang ada hubungan dengan rokok seperti daun tembakau dan hasil jualan rokok juga dianggap haram.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat akan mematuhi apa sahaja ajaran dan pendapat guru-gurunya yang lebih arif daripada guru-gurunya yang terdahulu.

Menurut anaknya, Nik Din. Allahyarham pernah menerima hadiah dan pemberian daripada masyarakat setempat kerana penglibatannya dalam amalan-amalan yang dianggapnya bid'ah itu, tetapi setelah Allahyarham berguru dengan Maulana Tok Khurasan, Haji Wan Musa dan Tok Guru Haji Abas maka semua hadiah dan pemberian yang diterima itu dibuang dan ditanam dalam satu tempat khas dalam kawasan kediamannya.

"Tetapi selepas dua tiga tahun kemudian, Allahyarham menemui semula barang-barang hadiah itu dalam kawasan rumahnya, dan Allahyarham terus memusnah dan menghancurkan barang-barang hadiah itu dengan cangkul di tangannya. Allahyarham bertindak seolah-olah menghukum hadiah yang diterima hasil daripada penglibatannya dalam amalan-amalan bid'ah sebelum itu.

"Begitulah keras sikapnya terhadap perkara-perkara yang dianggap bertentangan dengan ajaran Islam yang hakiki," ujar Nik Din lagi.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat, sebagai seorang ulama yang cintakan kepada ilmu pengetahuan, tidak berasa kekok atau segan untuk belajar dengan mana-mana ulama yang dianggap lebih alim dan lebih arif daripadanya.

Tidak pernah saya dengar seorang ulama yang sanggup belajar bersama-sama dengan menantunya dalam masa dan tempat yang sama selain daripada Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar dan Tuan Guru Haji Yaakub Lorong Gajah Mati.

Anak lelaki Allahyarham Tok Khurasan, Encik Taib, mengesahkan kepada saya bahawa tuan Guru Haji Nik Mat Alim bersama-sama dengan anaknya, Haji Nik Abdul Aziz, anak perempuan sulungnya, Nik Zainab, dan menantunya, Haji Nik Amat, belajar dengan ayahnya dalam zaman pemerintahan Jepun dahulu.

'Saya masih ingat lagi, dua orang ulama yang terkenal di Kelantan, iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Yaakub bin Haji Ahmad, yang lebih terkenal dengan panggilan Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, dan Allahyarham Haji Nik Mat Alim, bersama-sama dengan anak-anaknya telah belajar dengan ayah saya di Kampung Sirih,' kata Encik Taib Tok Khurasan.

Allahyarham Tuan Guru Haji Yaakub Lorong Gajah Mati membawa bersama-samanya anak-anaknya iaitu Allahyarham Haji Hassan Yaakub dan Datuk Ustaz Yusuf Zaki Yaakub. Allahyarham Tuan Haji Hassan Yaakub ialah pemilik Pustaka Aman Press, sebuah syarikat penerbitan dan percetakan yang terkenal. Datuk Ustaz Yusuf Zaki Yaakub pula ialah pemilik Pustaka Dian yang nama barunya sekarang ialah Dian Darulnalm Sdn. Bhd., yang juga syarikat penerbitan dan percetakan.

Menurut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, ayahnya pernah menyatakan hasratnya kepada Maulana Tok Khurasan untuk melanjutkan pelajaran ke Deoband, India.

Allahyarham ayahandanya menyatakan bersedia untuk menjual sebidang tanah kebun getah di Rantau Panjang bagi mendapatkan blaya belajar di India.

Allahyarham Tok Khurasan tidak merestui hasrat Tuan Guru Haji Nik Mat itu dengan alasan bahawa tidak wajar seseorang ltu menjual harta benda, kebun atau kampung halaman semata-mata dengan tujuan untuk mendapatkan pelajaran di Deoband, India.

Alasan yang diberi oleh Tok Khurasan itu mungkin kerana beliau tidak mahu melihat Haji Nik Mat menjadi miskin dan papa kedana setelah kembali dari Deoband sedangkan Haji Nik Mat pada ketika itu telah pun diktiraf sebagai ulama yang serba boleh.

Begitulah kuatnya azam dan cita-cita Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat dalam bidang pengajian agama Islam, sehinggakan ketika beliau sudah masuk ke alam tua dan sudah pun beranak cucu masih lagi bercita-cita hendak melanjutkan pelajaran ke luar negeri.

Suatu sifat Haji Nik Mat sejak umur mudanya ialah perangai berjirnat cermat. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberitahu, "Ayah saya pernah membelah sebatang mancis supaya menjadi dua batang untuk menjimatkan perbelanjaan semasa beliau belajar di pondok.'

Apa yang paling menarik sekali dalam mengkaji dan meneliti riwayat Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat dalam soal pelajarannya adalah tentang kecenderungannya kepada ilmu tafsir Al-Quran, ilmu Hadith dan ilmu mantiq.
Kecenderungan beliau ini adalah berbeza dengan kecenderungan ulama-ulama tempatan yang lain ketika itu yang lebih banyak bertumpu kepada ilmu fikah dan tauhid.

Tidak ramai ulama yang mengajar tafsir Al-Quran, ilmu Hadith dan mantiq sebelum munculnya Tuan Guru Haji Abas, Tok Khurasan dan keluarga Mufti Haji Wan Musa di negeri Kelantan.

Ulama-ulama yang mengutamakan ilmu Hadith dan tafsir Al-Quran ini dianggap sebagai ‘kaum muda’ yang tidak disenangi oleh golongan tua atau ulama ilmu fikah.

Tetapi dari segi kesedaran politik dan kemasyarakatan, golongan kaum muda lebih arif dan lebih matang daripada golongan kaum tua.

Oleh sebab itu, gerakan Islam di mana-mana sahaja telah dipelopori oleh golongan yang mendokong Al-Quran dan Hadith, sementara golongan tua hanya menjadi pak turut sahaja dalam mana-mana gerakan Islam itu.

Berdasarkan kepada hakikat itulah, saya katakan bahawa Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mempunyai kesedaran politik yang lebih tinggi daripada ulama-ulama tempatan yang sezaman dengannya.

Kalau Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat tidak mempunyai kesedaran politik mengapa anaknya, Haji Nik Abdul Aziz, tidak dihantar ke pondok Bunut Payung atau ke Pondok Tok Guru Haji Ghani Pasir Mas?

Mengapa Haji Nik Abdul Aziz dihantar ke pondok-pondok dan madrasah-madrasah yang dikuasai oleh golongan yang mendapat didikan di Deoband, India?

Dan mengapa Tok Khurasan, Haji Wan Musa, Tok Guru Haji Abas dan Maulana Abdullah atau Ustaz Lah, menjadi pilihan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat?

Ini jelas membuktikan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat mempunyai pandangan yang jauh dalam meletakkan asas bagi pelajaran anak-anaknya, khususnya Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Mungkin kalau tidak kerana asas pelajaran yang dibentuk oleh almarhum ayahandanya, kita tidak dapat melihat Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz seperti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang menjadi Menteri Besar Kelantan sekarang.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang kita lihat sekarang bukan sahaja layak untuk memegang jawatan Menteri Besar bahkan beliau mampu untuk menjadi seorang guru atau pensyarah di madrasah, di ma'ahad dan di universiti.

Bukan sekadar itu sahaja, beliau sanggup menjadi petani atau pekebun sekiranya tenaganya dikehendaki.

Ini semuanya kerana kebijaksanaan Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat meletakkan asas pelajaran anak-anaknya, khususnya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Selain daripada itu, Tuan Guru Haji Nik Mat juga boleh diperhitungkan sebagai seorang ulama dan pendakwah yang telah berjaya memujuk dan mengajak golongan samseng dan 'kaki pukul' supaya kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah dengan mematuhi ajaran Islam.

Kampung Kedai Lalat dan sekitarnya dahulu terkenal sebagai sarang golongan samseng dan 'kaki pukul' tetapi setelah Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat membuka pondok dan mengajar di masjid Pulau Melaka, jumlah mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah di kawasan itu jauh berkurangan.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bukan sahaja dihormati oleh golongan yang mendapat didikan agama malah Allahyarham dihormati dan dikagumi oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai seorang ulama yang sering mengambil perhatian berat terhadap kedudukan umat Islam dalam segala bidang, Allahyarham merasa sedih dan pilu dengan berita kekejaman komunis terhadap umat Islam di Kemboja.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat berasa begitu dukacita sekali apabila mendengar berita daripada orang-orang pelarian Kemboja yang mengatakan bahawa tentera-tentera komunis menikam kanak-kanak Islam dengan benet dan mencampakkan kanak-kanak itu ke dalam kawah dan kuah yang panas di hadapan ibu bapa mereka.

Allahyarham dikatakan tidak dapat mengawal perasaan sedihnya apabila mendengar berita kekejaman terhadap umat Islam itu.

Menurut anak Allahyarham, Nik Din, ayahnya itu sangat serius apabila memikirkan keadaan yang berlaku di Kemboja ltu.

Allahyarham menghendaki supaya masyarakat antarabangsa melakukan sesuatu untuk menyelamatkan umat Islam Kemboja daripada kekejaman tentera komunis yang tidak berperi kemanusiaan itu.

Allahyarham sendiri telah membeli dua buah kereta sederhana untuk mengangkut pelarian-pelarian Kemboja itu dari sempadan Siam ke Kelantan apabila keadaan mengizinkan.

"Allahyarham juga meminta abang saya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menjadi Ahli Parlimen kawasan Pengkalan Chepa ketika itu, supaya bercakap di parlimen tentang kekejaman komunis di Kemboja pada awal tahun 1977 lagi," ujar Nik Din.

Ekoran daripada berita kekejaman komunis itu, kesihatannya terganggu dan penyakit kencing manis yang dihidapinya juga sudah tidak dapat diatasi lagi walaupun berbagai-bagai ikhtiar dijalankan. Pada 11 Mac 1977 Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 72 tahun. 


Ada dua pendapat yang bertentangan tentang tarikh kelahiran Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar ini. Encik Nik Din mengatakan ayahandanya lahir pada tahun 1890 tetapi seorang ahli sejarah tempatan, Cikgu Tuan Mat bin Haji Tuan Kechik, mengatakan bahawa Tuan Guru Haji Nik Mat lahir pada tahun 1905. Pendapat Cikgu Tuan Mat itu berdasarkan kepada umur ayahnya sendiri, almarhum Haji Tuan Kechik, yang lahir pada 1910. Menurut Cikgu Tuan Mat, almarhum ayahandanya lebih muda lima tahun daripada almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat. Beliau yakin bahawa ayahanda kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz lahir pada tahun 1905 dan tidak pada tahun 1890 sebagaimana yang dicatatkan oleh Nik Din.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Diasuh Dengan Disiplin Tinggi

بِسْــــمِ اﷲِ  الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ dikenali sebagai seorang anak yang paling taat dan patuh kepada perintah ayahandanya, Allahyarham Haji Nik Mat Alim.

Walaupun almarhum ayahandanya mengenakan disiplin dan kawalan yang keras terhadapnya sehinggakan beliau tidak mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam soal yang sekecil-kecil dan sebesar-besarnya tetapi beliau tetap berasa bangga dengan ajaran dan asuhan almarhum ayahandanya itu.

Disiplin yang ketat yang dikenakan ke atasnya itu bukan setakat ketika di alam kanak-kanak sahaja, malah sesudah beliau berumah tangga dan beranak pinak pun, beliau tidak diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam semua perkara. 

Disiplin membentuk keperibadian tinggi Tuan Guru
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan menerima jawatan sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa, tidak akan menyertai PAS dan tidak akan bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir kalau tidak mendapat restu daripada almarhum ayahandanya.

Semua keputusan yang dibuat mengenai perkara itu adalah dengan persetujuan almarhum ayahandanya terlebih dahulu. Tanpa persetujuan ayahandanya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak dapat melakukan sesuatu.

Para penduduk di sekitar Kedai Lalat dan Pulau Melaka sangat arif tentang sikap almarhum Haji Nik Mat Alim terhadap anak-anaknya termasuk Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri.

Tetapi beberapa orang penduduk di sekitar Kedai Lalat yang saya temui mengakui bahawa berkat daripada asuhan dan didikan almarhum Tuan Guru Haji Nik Mat Alim itu telah memberi kesan yang positif dan baik kepada semua anaknya.

Boleh dikatakan semua anak almarhum telah berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Ini adalah kerana berkat daripada asuhan ayahanda mereka.

Seorang tokoh veteran PAS yang tidak asing lagi, Ustaz Yazid Jaafar berpendapat bahawa kejayaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam bidang akademik dan politik adalah kerana beliau menghormati dan mengutamakan nasihat almarhum ayahandanya.

Beginilah pandangan Ustaz Yazid Jaafar:
'Tidak ada seorang ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang begitu takut dan patuh kepada orang tuanya.

Sikap Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz terhadap almarhum ayahandanya tidak berubah sejak beliau berumur lapan tahun hingga beliau lulus M.A. Universiti al-Azhar.

Kalau dalam usia 10- 12 tahun dulu, beliau tidak akan membuat sesuatu pekerjaan tanpa mendapat persetujuan daripada ayahandanya, maka setelah beliau menjadi seorang guru dan ulama pun beliau enggan membuat keputusan sendiri.

Almarhum ayahandanyalah yang akan membuat keputusan sama ada beliau harus menolak atau menerima jawatan yang ditawarkan kepadanya, dan beliau tidak akan membantah segala keputusan yang dibuat oleh almarhum ayahandanya dalam semua perkara.

Dalam erti kata lain, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan membelakangkan pendapat dan nasihat almarhum ayahandanya walaupun beliau sudah menjadi wakil rakyat (Ahli Parlimen) dan sudah diiktiraf sebagai seorang ulama.

"Inilah sifat dan akhlak yang mulia yang ada pada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan tidak ramai jumlah pemimpin yang mengutamakan pendapat orang tuanya dalam menghadapi sesuatu masalah.

"Apabila seorang anak lebih alim dan lebih tinggi pangkatnya daripada bapanya sendiri maka pada ghalibnya dia akan membelakangkan pendapat orang tuanya; dan jauh sekali daripada mengambil nasihat dan pandangan orang tuanya. Sikap begini tidak ada pada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

"Namun begitu, inilah satu daripada rahsia kejayaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam bidang akademik dan politik.

"Bukan sahaja Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz malah ramai antara pemimpin, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan yang telah berjaya dalam bidang masing-masing kerana mereka taat dan patuh kepada ajaran ibu bapa mereka.

'Satu hakikat yang harus diakui bahawa apabila seseorang Muslim itu taat dan patuh kepada ajaran ibu bapanya maka dengan sendirinya dia akan patuh kepada ajaran agama Islam.

'Apabila dia patuh kepada perintah Allah, maka sudah pasti dia tidak akan melakukan maksiat. Dari sinilah akan datangnya berkat dan keredhaan Allah."

Ustaz (Pak) Yazid Jaafar memang sangat mengenali peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Banyak cerita yang saya perolehi mengenai ketaatan dan kepatuhan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kepada almarhum ayahandanya, Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bin Raja Banjar.

Dalam awal-awal tahun 70an dulu, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mempunyai sebuah kereta yang sederhana yang digunaian untuk berulang alik di antara Kota Baharu dan Kuala Lumpur apabila Parlimen bersidang.

Dalam perjalanan balik daripada Kuala Lumpur ke Kota Baharu beliau sering singgah di Ketari, Bentong untuk menemui Haji Ismail Abdullah (lebih terkenal dengan nama panggilan Cik Wel Golok) yang sedang menjalant hukuman buang daerah di situ.

Bukan sahaja Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. malah beberapa orang Anggota Parlimen PAS yang lain juga singgah di Ketari untuk menziarahi Cik Wel Golok dan anaknya, Encik Kamaruzaman Ismail yang bersekolah di Bentung.

Dan sudah menjadi amalan biasa bagi para pemimpin PAS dan wakil-wakil rakyatnya menziarahi dan menemui ahli-ahlinya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau yang kena buang daerah di bawah akta itu.

Dengan kereta wakil-wakil rakyat yang menziarahinya itulah kadangkala Cik Wel Golok menumpang balik ke Kota Baharu, Kelantan.

Entah bagaimana, pada suatu hari Cik Wel Golok menumpang balik ke Kelantan dengan kereta Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. 


Sebagai seorang yang kena buang daerah, Cik Wel tidak dibenarkan keluar daripada daerah Bentung tanpa mendapat kebenaran polis.

Tetapi pada hari itu, Cik Wel memberanikan dirl pulang ke Kelantan dengan menumpang kereta seorang Ahli Parlimen PAS, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, tanpa meminta kebenaran daripada polis tempatan.

Cik Wel Golok berasa yakin dengan menaiki kereta seorang Ahli Parlimen dan seorang Tok Guru beliau akan terlepas daripada pemeriksaan polis di sepanjang jalan.

Alhamdulillah, perjalanan mereka dari Ketari ke Kota Baharu selamat dan tidak ada pemeriksaan polis sebagaimana biasa.

Dalam perjalanan dari Ketari ke Kota Baharu itulah Cik Wel bersungut dan bertanya kepada Tuan Guru, "Bila nak beli kereta baru, Ustaz? Sebagai Ahli Parlimen, Ustaz harus memakai kereta yang lebih baik daripada kereta ini."

Dengan suara agak perlahan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjawab, "Kalau ayah ana menghendaki supaya ana naik bas sahaja ke Kuala Lumpur ana terpaksa ikut dan patuh.

'Ana hanya ikut perintahnya sahaja, dan ana tidak dapat membuat keputusan sendiri tanpa persetujuannya!'

Begitulah jawapan Tuan Guru kepada rungutan dan keresahan yang diluahkan oleh Cik Wel Golok itu.

Begitulah sikap dan pendirian seorang anak yang telah dididik dan dilatih supaya tidak memandai-mandai dalam sesuatu perkara tanpa mendapat keizinan dan persetujuan daripada orang tuanya.

Walaupun didikan dan latihan yang semacam ini dianggap oleh sesetengah orang boleh membantutkan kecerdasan dan kepintaran anak-anak dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan apabila mereka dewasa oleh sebab mereka 'tidak bebas', tetapi anak-anak yang dididik dan ditamrin dengan cara Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim itu lebih berdisiplin dan berjaya dalam kehidupan mereka apabila dibandingkan dengan anak-anak yang diberi 'kebebasan' yang keterlaluan.

Keluarga golongan pertengahan (middle class) masyarakat Arab, Pakistan, dan sebahagian masyarakat India di Malaysia ini dipercayai mempunyai tradisi mendidik anak mereka dengan cara yang diamalkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim. Hasil daripada didikan cara itu telah memberi kesan yang positif kepada anak-anak muda masyarakat tersebut di negara kita.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri tidak merasakan dirinya sebagai ditimpa beban apabila mematuhi disiplin yang dikenakan ke atasnya, malah beliau berbangga dengan cara almarhum ayahandanya mendidik dan melatih beliau dan adik-adiknya.

Beliau pernah mengingatkan Ustaz Idris Ahmad, seorang Ahli EXCO kerajaan negeri Kelantan supaya jangan memanjakan anak-anaknya.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberitahu Ustaz ldris supaya mengikuti jejak langkah almarhum ayahandanya dalam mendidik anak. Beliau menarik perhatian Ustaz ldris bahawa almarhum ayahandanya itu bersikap tegas dan tidak memberi muka kepada anak-anaknya.

Dua orang adik Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang saya temui di Batu Balai baru-baru ini, Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Mat dan Nik Wajih bin Hiji Nik Mat menyatakan rasa bangga kerana mendapat didikan yang berkesan daripada almarhum ayahanda mereka.

Kedua-dua adik Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang saya temui itu telah mengingatkan kembali zaman kanak-kanak mereka di mana mereka telah diperintahkan supaya bangun pada jam 4.00 pagi untuk sembahyang sunat tahajjud dan menghafaz pelajaran-pelajaran yang wajib sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah.

Menurut Haji Nik Abdullah semangat berhijrah, berdakwah dan bertani yang ditanam oleh almarhum ayahandanyalah yang menyebabkan beliau dan adik- adiknya berhijrah dan membuka tanah di kawasan Batu Balai, Jerantut.

'Kami adik beradik merupakan perintis membuka tanah dan bertani di kawasan Batu Balai. Sebelum kedatangan kami adikberadik, tidak ada anak tempatan yang menceburi bidang pertanian di sini.

"Di samping berkebun dan membuka ladang kami adik beradik juga berdakwah dan mengajar Al-Qur'an kepada kanak-kanak tempatan. Seorang daripada ipar kami, Allahyarham Haji Nik Amat telah membuka pondok di kawasan ini," kata Haji Nik Abdullah.

Nik Wajih pula menyatakan bahawa jumlah penduduk Melayu di Batu Balai telah bertambah dengan pesatnya selepas keluarganya membuka tanah di kawasan itu.

"Kedatangan kami adik beradik telah mendorong anak-anak tempatan mencebur diri dalam bidang pertanian. Sekarang ini anak-anak Kelantan dan Pahang bekerjasama untuk membangun Pekan Batu Balai ini mengikut cara kita,' jelas Nik Wajih.

Menyentuh tentang perintah yang dijalankan oleh almarhum ayahandanya terhadap keluarga, beliau menyatakan bahawa 'pemerintahan Islam' telah dilaksanakan di kalangan adik beradik dan ibu-ibu tirinya semasa Allahyarham ayahanda masih hidup.

"Kami adik beradik bukan sahaja dilarang untuk melakukan amalan yang diharamkan oleh agama Islam, malah kami tidak dibenarkan terlibat dalam perkara-perkara yang makruh.

"Ibu-ibu kami diperintahkan supaya menutup aurat sebagaimana yang dilakukan oleh wanita Islam di negara yang mengamalkan pemeriniahan Islam.

"Sebelum kerajaan negeri Kelantan mewajibkan wanita Islam menutup aurat, almarhum ayahanda kami telah menjalankan perintah supaya ibu-ibu, kakak-kakak dan adik-adik kami menutup aurat.

"Sememangnya, 'pemerintahan Islam' telah pun ditegakkan di kalangan keluarga kami pada waktu almarhum ayahanda masih hidup,' ujar Nik Wajih.

Apa yang paling menarik sekali ialah sikap Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim mengenai rokok dan hasil jualan daun tembakau.

Menurut Nik Wajih, Allahyarham menganggap bahawa menghisap rokok itu haram dan hasil daripada jualan daun tembakau untuk dibuat rokok juga dianggap haram.

"Semasa hayatnya, Allahyarham sering menulis surat kepada saya melarang saya daripada menjual rokok dan barang yang dianggap makruh.

'Anak-anak yang lain juga mendapat amaran yang sama mengenai rokok dan perkara-perkara yang makruh,' jelas Nik Wajih seterusnya.

Mengenai Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Nik Wajih menerangkan: 'Zaman Abang Zid (Nik Abdul Aziz) belajar dulu, almarhum ayahanda mengenakan disiplin atau nizam yang lebih ketat lagi daripada zaman adik-adiknya.'

Nik Wajih memberitahu lagi, "Faktor utama kejayaan Abang Zid adalah kerana beliau mematuhl semua perintah dan ajaran daripada almarhum ayahanda.

'Abang Zid ialah satu-satunya antara adik beradik kami yang paling patuh dan taat kepada perintah dan ajaran orang tua kami.

"Sebelum beliau ke lndia dan ke Mesirpun beliau telah dianggap sebagai seorang ulama hinggakan ada orang yang telah memberi tanah waqaf atas namanya.

"Ini semua kerana berkat beliau mematuhi perintah dan ajaran daripada Allahyarham orang tua kami."

Sebagai seorang anak yang mewarisi bapanya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga telah mengikuti jejak langkah almarhum ayahandanya dalam soal mendidik anak-anaknya.

Seorang daripada anaknya, Nik Omar, yang sekarang menuntut di Universitt al-Azhar. Mesir dikatakan kelihatan sering mengantuk di antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi pada waktu beliau belajar di Ma'ahad Muhammadi dulu.

Apabila ditanya oleh rakan-rakan sekelasnya mengapa beliau sering mengantuk pada waktu pagi, Nik Omar pada mulanya agak keberatan untuk menjawab pertanyaan rakan-rakannya itu.

Bagaimanapun, setelah didesak maka akhirnya beliau terpaksa memberitahu tentang sebab-sebab yang beliau kelihatan mengantuk di dalam kelas pada waktu pagi.

Beliau mengakui bahawa telah menjadi amalan tradisi kepada keluarganya bangun tidur pada jam 4.00 pagi, sembahyang sunat tahajjud dan mengulangi mata pelajaran sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah.

Dengan pengakuan yang dibuat oleh Nik Omar itu jelaslah bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga telah mewarisi almarhum ayahandanya dalam soal mendidik anak-anaknya dalam zaman moden ini.

Seorang pelajar Maahad Muhammadi yang seangkatan memberitahu bahawa Nik Omar sendiri ialah pelajar terbaik pada waktu itu.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri masih lagi mengekalkan amalan bangun daripada tidur jam 4.00 pagi. 


Inilah amalan beliau sejak beliau berumur tujuh tahun.

Didikan Bapa Sebagai Asas Keperibadian Tinggi Tuan Guru Nik Abdul Aziz

بِسْــــمِ اﷲِ  الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

TGNA semasa masih muda
FAKTOR utama kejayaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dalam bidang pelajaran dan politik adalah kerana didikan daripada almarhum ayahandanya yang terkenal sebagai seorang ulama yang bersikap tegas dan keras terhadap pendidikan anak-anaknya.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar, ayahanda kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini, ialah seorang ulama yang terkenal pada zamannya dan almarhum juga dikenali sebagai Haji Nik Mat Alim.

Ayahanda kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini juga dikenali dengan gelaran 'Haji Nik Mat Pongoh' di kalangan penduduk sekitar Kedai Lalat dan Pulau Melaka.

Gelaran 'Pongoh' itu diberi kerana almarhum dikatakan bersikap keras dan bengis terhadap anak-anak dan murid-muridnya. Almarhum ialah seorang ulama yang mengambil perhatian yang berat terhadap pelajaran anak-anaknya.

Menerusi pondok Pulau Melaka yang diasaskannya itu, almarhum telah mendidik anak-anaknya bersama-sama dengan ratusan pelajar lain yang datang dari seluruh ceruk rantau Asia Tenggara.

Di Pondok Pulau Melaka inilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mendapat didikan awal daripada almarhum ayahandanya bersama-sama dengan pelajar-pelajar lain.

Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat tidak dapat bertolak ansur dengan anak-anaknya tentang pelajaran dan pakalan. Anak-anaknya diperintahkan supaya memakai kain pelikat, baju Melayu, memakai songkok atau kopiah putih. Dan anak-anaknya dilarang keras berambut panjang.

Perintah-perintah ini bukan sahaja ditujukan kepada anak-anaknya tetapi juga kepada semua muridnya di pondok itu.

Menurut anaknya, Nik Din (adik kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz), almarhum ayahandanya telah mewajibkan anak-anaknya bangun pada jam 4.00 pagi setiap hari untuk membaca dan menghafaz Al-Quran.

"Selepas menunatkan solat fardhu Subuh, kami diperintahkan supaya mengulangkaji dan menghafaz nahu-saraf bahasa Arab.

"Pada sebelah petang, selepas sembahyang Asar, kami diwajibkan mempelajari ilmu tajwid dan membaca Al-Quran.

"Dan selepas sembahyang Maghrib, kami ikuti pelajaran Hadith dan tafsir Al-Quran.

'Kalau ada antara kami yang terlewat bangun dari waktu yang telah ditetapkan, kami akan dihukum, dan paling kurang, kami akan dijiruskan dengan air sebelum waktu Subuh," kata Nik Din.

Nik Din selanjutnya menerangkan bahawa disiplin pada zaman abang-abang (zaman Nik Aziz) dan kakak-kakaknya adalah lebih keras dibandingkan dengan disiplin yang dikenakan terhadap adik-adiknya.

Beliau juga menceritakan bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan adik-adiknya pernah dipukul kerana tidak menghafaz pelajaran sebagaimana yang diperintahkan.

Begitulah kerasnya disiplin Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat terhadap anak-anaknya dalam soal pelajaran dan soal-soal yang ada hubungkaitnya dengan ajaran agama Islam.

Di samping mengenakan disiplin yang ketat kepada anak-anaknya dalam soal pelajaran, Allahyarham juga menggalakkan anak-anaknya supaya menceburkan diri dalam bidang pertanian. Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat sangat berminat dalam bidang pertanian dan anak-anaknya telah dikerahkan supaya membantunya dalam bidang pertanian.

Untuk menggalakkan anak-anaknya supaya membantunya bertani Allahyarham telah membayar upah lima puluh sen kepada tiap-tiap seorang anaknya yang berjaya menggali satu lubang untuk menanam sebatang pokok rambutan.

Selain daripada mengajar dan berdakwah, Allahyarham menghabiskan masa lapangnya dengan menanam pokok rambutan, durlan, nenas, pisang dan tanaman-tanaman lain di sekeliling pondoknya di Pulau Melaka itu. Allahyarham juga dikatakan pernah berkebun secara lebih serius di luar kawasan Pulau Melaka.

Oleh kerana Allahyarham begitu berminat sekali dalam bidang pelajaran agama dan pertanian, maka antara syarat untuk memilih bakal menantunya juga diutamakan kepada mereka yang mendapat didikan agama dan sanggup menjadi petani sepenuh masa. Oleh sebab itulah, Allahyarham Haji Nik Amat, iaitu suami kepada Nik Zainab (kakak kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz) telah menjadi menantunya yang pertama.

Allahyarham Haji Nik Amat merupakan seorang ulama dan seorang petani yang gigih telah membuka pondok dan berkebun di Batu Balai, Jerantut, Pahang. Beliau memang berjaya dalam kedua-dua bidang ini.

Ekoran daripada perpindahan Nik Zainab mengikuti suaminya itu maka beberapa orang adiknya yang terdiri daripada Haji Nik Abdullah, Nik Wajih dan Hajah Aishah bersama-sama suaminya turut berpindah ke Batu Balai, Jerantut.

Kesemua anak dan menantu Allahyarham Haji Nik Mat Alim yang berada di daerah Jerantut ltu masing-masing telah memiliki kebun getah dan kebun durian. Mereka boleh dianggap sebagai pekebun yang berjaya.

Walaupun anak-anak dan menantu Tuan Guru Haji Nik Mat itu berhijrah ke Pahang sebagai pekebun, tetapi mereka telah dilengkapi dan dibekali dengan ilmu dan pengetahuan agama yang membolehkan juga mereka menjadi pendakwah.

Inilah keistimewaan anak-anak dan menantu Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat yang telah memberikan didikan yang berkesan di Pondok Pulau Melaka sebelum berhijrah atau berpindah ke kawasan lain.

Hasil daripada sikap tegas terhadap anak-anaknya itu, maka semua anaknya patuh kepada perintah Tuhan, dan tidak melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam yang maha suci, taat kepada ibu bapa dan berjaya dalam lapangan hidup yang mereka ceburi.

Walaupun anak-anak perempuannya hanya setakat menjadi suri rumah tangga sahaja, tetapi mereka mampu untuk menjadi pendakwah atau guru agama kerana mereka telah mendapat didikan dan latihan daripada orang tua mereka, Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar.

Anak perempuannya yang sulung, Nik Zainab binti Haji Nik Mat, turut belajar bersama-sama suaminya dengan Allahyarham Tok Khurasan di Kampung Sirih, Kota Baharu dalam zaman pemerintahan Jepun dahulu.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan almarhum ayahandanya adalah antara murid-murid Tok Khurasan pada waktu itu. Encik Taib, anak Tok Khurasan, menceritakan bahawa tidak ramai murid ayahnya sedar tentang kehadiran seorang perempuan berguru kepada ayahnya pada waktu itu kerana kehadirannya secara tertutup dan rahsia.

"Keluarga saya sendiri pada mulanya tidak menyedari adanya anak perempuan Haji Nik Mat bersama-sama suami dan adiknya (Haji Nik Abdul Aziz) mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh Allahyarham Tok Khurasan. Ada tabir melindungi keluarga Haji Nik Mat di madrasah itu,' jelas Encik Taib lagi.

Kisah ini sengaja dipaparkan untuk membuktikan bahawa Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim itu seorang ulama dan seorang bapa yang mementingkan pelajaran anak-anaknya sehinggakan anak perempuan sulungnya juga ikut belajar bersama-samanya dengan Tok Khurasan dalam zaman pemerintahan Jepun dahulu.

Tidak ramai anak perempuan atau golongan muslimat yang turut menadah kitab untuk belajar secara sepenuh masa dalam tahun-tahun 1940an dahulu. Tetapi Tuan Guru Haji Nik Mat sudah memandang betapa pentingnya pelajaran untuk anak-anaknya walaupun anak perempuan.

Menurut beberapa orang tua yang rapat dengan keluarga Tuan Guru Haji Nik Mat di Kedai Lalat, disiplin yang ketat dan kawalan yang keras ke atas anak-anaknya itu bukan sahaja telah memberi kesan yang positif kepada kehidupan anak-anaknya, malah telah memberi manfaat kepada anak-anak muridnya iaitu mereka yang seangkatan dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Seorang daripada anggota keluarganya, Haji Nik Ali bin Raja Ismail, yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Ayah Li’ memberitahu saya bahawa hampir semua bekas muridnya telah berjaya menghadapi cabaran hidup kerana berkat daripada asuhan dan latihan yang keras daripada Allahyarham Tuan Guru Haj i Nik Mat.

AllahyarhamTuan Guru Haji Mat mempunyai 27 orang anak daripada empat orang isteri. Sembilan daripadanya telah meninggal dunia dan yang masih hidup seramai 18 orang. Antara yang masih hidup itu ialah sepuluh lelaki dan lapan orang perempuan.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ialah anak yang kedua daripada isterinya yang pertama, Cik Aminah binti Majid. Anak-anaknya daripada isteri yang pertama adalah seperti yang berikut: 
  •  Nik Zainab - ikut suami, Allahyarham Haji NikAmat, membuka tanah berkebun dan membuka sekolah pondok di Batu Balat, Jerantut, Pahang.
  • Nik Abdul Aziz
  • Nik Khadijah
  • Nik Azizah - suri rumah, sekarang menetap di Ayer Lanas.
  • Nik Rozi, lulusan Universitt Al-Azhar, sekarang pensyarah di Institut Teknologi MARA, Shah Alam.
  • Nik Hassan - meninggal dunia ketika berusia 18 tahun.
  • NikAbdul Rahman - meninggal dunia ketika berumur 7-8 tahun.
  • Nik Anuar - meninggal dunia ketika masih menyusu.

Daripada isteri yang kedua, Hajjah Kalthum binti Awang, Allahyarham mendapat seorang anak lelaki yang bernama Nik Hussin, bekas tentera berpangkat Pegawai Waran bahagian perubatan di Kem Terendak, Melaka.

Daripada isteri yang ketiga. Tengku Mariam, Allahyarham mendapat tujuh orang anak:

  • Haji Nik Abdullah - pekebun di Batu Balai, Jerantut.
  • Nik Wajih - membuka tanah kebun di Batu Balai, Jerantut.
  • Hajah Nik Aishah - ikut suami membuka tanah dan berkebun di Batu Balai, Jerantut.
  • Nik Nordin (Nik Din) - lulus SPM dan 4 Thanawi, bertugas di Syarikat Telekom Malaysia.
  • Hajjah Nik Aminah - Lulus 4 Thanawi.
  • Nik Muhammad Nasim - bertugas di Pejabat Pemegang Harta di Kota Bharu.

Dan anak-anak daripada isteri yang keempat, RajaTijah binti Raja Mamat:

  • Nik Zubaidah - suri rumah.
  • Nik Mariam - suri rumah.
  • Nik Daud - seorang peniaga di Kuantan, Pahang.
  • Nik Rosnah - suri rumah.
  • Nik Muhammad Ajun - masih belajar di Universiti Al-Azhar

Kalau diperhatikan daripada kelulusan anak-anaknya dan pekerjaan yang diceburi oleh mereka jelaslah bahawa hasratnya untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang pelajaran dan pertanian telah dimakbulkan oleh Allah yang Maha Kaya.

Faktor utama kejayaan anak-anaknya itu adalah kerana mereka patuh dan tunduk kepada garis-garis panduan yang diberi oleh ayahanda mereka.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri mengakui bahawa kejayaannya sekarang ini adalah kerana berkat daripada asuhan dan didikan almarhum ayahandanya.

"Lebih daripada separuh kejayaan saya di bidang pendidikan dan politik harus diberi kepada almarhum ayahanda saya hasil daripada didikannya yang begitu terasa kekesanannya," ujar Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

Disiplin yang ketat yang dikenakan ke atasnya telah menjadikan beliau sebagai seorang anak yang paling taat kepada kedua ibu-bapanya, dan sekaligus menjadikan beliau seorang hamba Allah yang patuh kepada ajaran agama Islam yang maha suci.

Satu hakikat yang harus diakui ialah sifat wara’ dan merendah diri yang dimiliki oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sekarang adalah kesan daripada ajaran, didikan dan disiplin yang dikenakan ke atasnya oleh almarhum ayahandanya ketika masih dalam alam kanak-kanak hinggalah ke alam dewasa.

Dalam erti kata lain, almarhum ayahandanyalah yang telah membentuk peribadinya untuk menjadi seorang abid yang berdisiplin, patuh kepada perintah Allah dan beristiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan hukum Allah di negara ini.

Biodata YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

بِسْــــمِ اﷲِ  الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan

Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.

Wednesday, April 25, 2012

SPRM 2 Kali Siasat Tuduhan Yang Sama

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


KOTA BHARU: Lebih setahun lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menyiasat mengenai dakwaan berlaku penyelewengan membabitkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Namun tiada kes yang ditemui dan tidak dikemukakan untuk pendakwaan di mahkamah. Sebaliknya kelmarin SPRM dari Putrajaya pula datang bagi menyiasat isu yang hampir serupa.


Di sini timbul tanda tanya kehadiran pegawai SPRM dari Putrajaya mungkinkah ada kaitan dengan orang politik, selepas tiada kes ditemui SPRM Kelantan.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmud berkata, isu yang disiasat pegawai SPRM dari Putrajaya hampir sama dengan apa yang dilakukan SPRM Kelantan sebelum ini.

“Tidak ada banyak beza kes-kes yang disiasat mereka. Hanya berulang isu yang hampir sama sahaja. Bagaimanapun kita tetap memberi kerjasama penuh kepada mereka,” katanya di sini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan SPRM Putrajaya memulakan siasatan dakwaan berlaku penyelewengan dalam AKSB yang mengurus bekalan air di Kelantan.

Laporan akhbar terbabit menyebut siasatan dibuat ekoran menerima laporan daripada Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kononnya berlaku salah urus tadbir AKSB.

Hanapi berkata, beberapa isu yang ditimbul NGO Umno terbabit sudah dijawab beberapa kali termasuk kononnya AKSB mengalami kerugian RM130 juta dalam projek air tidak berhasil (NRW).

Sedangkan katanya, projek berkenaan hanya dijangka siap pada Ogos hadapan selepas memulakan kajian pada awal 2008.

“Lagi pun kontraktor yang melaksanakan kajian itu dipilih sendiri Kementerian Kewangan selepas senarai kontraktor yang layak dikemukakan AKSB.

“Jadi kita pun hairan bagaimana boleh dikatakan projek itu mengalami kerugian besar sedangkan ia belum siap sepenuhnya,” ujarnya.

Menurutnya juga syarikat yang dipilih kementerian turut membekalkan meter digital (smart reader) sebanyak 43,000 buah selepas dilulus Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menggantikan meter lama yang tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun katanya, sebahagian meter baru yang dibekalkan juga didapati bermasalah dan mengikut perjanjian pihak kontraktor yang bertanggungjawab perlu menanggung kosnya.

“Jadi kita pun hairan bagaimanapun ada pihak mendakwa AKSB mengalami kerugian berkali ganda,” tambahnya.

Begitu juga penggunaan bahan kimia PAC3 yang juga dilulus SPAN bagi menggantikan tawas. Biar pun agak mahal, namun ia boleh menjimatkan kos operasi dalam jangka masa panjang.

Mengenai dakwaan pembinaan loji di Pintu Geng melibatkan kos tinggi, Hanapi berkata, ia dibuat secara tender terbuka menggunakan dana sebahagian pinjaman yang dilulus Kementerian Kewangan.

Katanya, projek berkenaan dimulakan pada awal 2010 dan dijangka siap sepenuhnya pada Febuari 2013 melibatkan kos RM52 juta.

MB beri SPRM laluan

Mengulas isu sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan negeri memberi laluan SPRM untuk menyiasat berhubung dakwaan penyelewengan dalam AKSB.

“Saya juga mencadangkan bukan hanya syarikat air di Kelantan sahaja perlu disiasat, bahkan di negeri lain yang diperintah BN juga perlu dilakukan,” katanya selepas majlis pelancaran tabung pembinaan Masjid Al-Ihsan Maahad Pengajian Islam, di sini hari ini.

Kata beliau sekiranya SPRM menyiasat semua laporan rasuah di seluruh negara dan bukan hanya di negeri Pakatan Rakyat sahaja, ia membuktikan mereka bertugas mengikut kehendak Islam dan bukannya kepentingan dunia semata-mata. Harakahdaily 

Komen Penulis:- Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) tak perlu guna nama rakyat Kelantan untuk mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk letak jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan kerana NGO tersebut sebenarnya bukan mewakili suara majoriti rakyat Kelantan.

MTRK sebenarnya ditubuhkan atas kepentingan politik Umno. Jadi mengaku sajalah, desakan MTRK adalah desakan Umno yang takut dengan kewibawaan Tuan Guru sebagai seorang pemimpin negeri yang berwibawa. 

Penulis dan majoriti rakyat Negeri Kelantan Darul Naim dengan ini menegaskan bahawa kami tetap mahukan agar Tuan Guru Nik Abdul Aziz agar terus kekal menerajui Kelantan dan kami meminta agar Tuan Guru tidak melayan kerenah bodoh kuncu-kuncu Umno yang sudah ketandusan isu untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan di bawah pentadbiran Tuan Guru.

Kami juga tetap akan menyokong pentadbiran Tuan Guru dan kami akan berdiri kukuh di belakang Tuan Guru. Dan kami tidak akan membiarkan sama sekali Tuan Guru dicerca dan dihina. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar 

Tok Khurasan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KOTA BHARU, Ibu Negeri Cik Siti Wan Kembang sekitar awal abad 20 yang lalu, mencatat sejarah gemilang sebagai pusat pengajian hadits yang ulung, bukan sahaja di Kelantan Darul Naim, tetapi juga di seluruh Asia Pasifik ini.

Tidak pernah terfikir samada pemimpin politik mahupun rakyat biasa, negeri Kelantan bertuah menerima kehadhiran seorang muhaddits besar dari Khurasan, sebuah negeri kecil di bawah kerajaan Republik Islam Iran yang seuatu ketika dahulu melahirkan ribuan pengembara hadits dan ulamak dalam berbagai-bagai bidang ilmu. Muhaddits ini, sekitar tahun 1911 dan 1912 Masehi tiba-tiba tergerak hatinya untuk merantau ke Kelantan dan berdagang mencari rezeki yang halal. Ia memilih kampung Sireh, sebuah desa yang terletak di pinggir sungai Kelantan, pada mulanya sebagai tempat berteduh, tetapi akhirnya berkembang menjadi sebuah halaqah hadits yang bergema padanya istilah-istilah hadith seperti "Haddatsana" atau "Akhbarana". Halaqah ini kemudiannya makin makmur apabila di kunjungi ratusan ulamak dari seluruh negeri yang cintakan ilmu dari sumbernya yang asli dan jernih. Nama-nama kitab seperti "Misykaatul Mashoobih" karya Imam Waliyuddin Attabriizi (wafat 737H), "Assunanun Sittah" dan sumber-sumber bacaan yang lebih terautoriti tidak kerap diperdengarkan dalam mana-mana halaqah yang pernah diadakan sebelum ini, kerana kitab-kitab yang sering ditatap, ditadah dan ditela'ah adalah berkisar sekitar kitab-kitab karangan ulamak mutaakhirin (kebelakangan) dan ulamak Nusantara (dalam bahasa melayu). Manakala kitab-kitab karangan ulamak mutaqaddimin (yang dahulu) terbatas sekali penggunaannya.

Nama penuh tokoh ini ialah Sayyid Hasan bin Sayyid Noor Hasan Al-Khurasaani, dilahirkan di Pakistan pada tahun 1875M, dan meninggal dunia di Kelantan pada tahun 1944M. Pangggilan ringkas ialah Tok Khurasan atau disebut Maulana sahaja. Beliau mendapat pendidikan awal dan lanjutan di Diuband India, sebuah pusat pengajian hadits yang ulung dari aliran Hanafi, satu aliran yang lebar pengaruhnya di benua kecil India. Pengasas pusat pengajian ini ialah Maulana Muhammad Qasim Annaanuutuwi (1831M -1879M) bersama-sama murid kanannya Mahmud Al-Hasan yang akhirnya dikenali dengan jolokan Syeikh Al-Hindi (1851M-1920M). Jalan sanad dan salsilah hadith bersambung kepada Imam Al-Mujaddid Syah Waliyyullah Addahlawi(1703-1763M) melalui Syah Abdul Ghani Al-Mujaddidi (meninggal 1227H). Tok Khurasan merupakan salah seorang murid kepada Syeikh Al-Hindi ketika di pusat pengajian itu dan seperguruan Maulana Ubaidillah Assanadi(1870-1943M) yang pernah diburu penjajah Inggeris dan juga guru kepada Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Wan Musa (1900-1935M), seorang ahli hadits dan ulamak besar dari Kelantan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sempat berguru dengan Tok Khurasan
Sumber-sumber riwayat menyebutkan Tok Khurasan pada mulanya dikenali sebagai seorang peniaga kain dalam sebuah syarikat yang di urusnya besar bersama kawan-kawannya, termasuk sepupunya yang juga berasal dari Khurasan. Pasaran perniagaan meluas hingga keseluruh negeri Kelantan (lihat Ismail Cik Daud, Maulana Tok Khurasan, Pengasuh bilangan 489). Tidak ramai pelanggannya yang mengetahui siapa sebenarnya penjual kain dari keturunan Khurasan itu, walaupun pengurusan dan hubungannya dengan pelanggan berbeza dengan penjual-penjual kain yang lain. Keilmuannya tentang hadits Rasulullah S.A.W dan urusan jual beli yang berpandukan jual beli secara Islam, mungkin antara faktor yang menarik lebih ramai pelanggan yang datang ke kedainya. Antara mereka yang sering berkunjung ialah Haji Nik Wan Musa bin Ab. Samad, mufti kerajaan Kelantan yang juga seorang ulamak besar dan ahli sufi yang disegani dari Tarikat Ahmadiyyah. Hubungan antara Haji Nik Wan Musa dengan Tok Khurasan menjadi lebih erat apabila mereka dipertemukan atas landasan Al-Qur'an dan As-sunnah. Haji Wan Musa mengkagumi kebolehan dan keilmuan Tok Khurasan dalam hadits hingga akhirnya beliau datang dengan beberapa orang sahabatnya seperti Haji Yaakub bin Haji Ahmad, Haji As'ad Hj Daud, Haji Nik Mat Alim dan lain-lain untuk hadhir menadah kitab-kitab hadits yang belum ada pengajian seumpamanya di Kelantan sebelum itu.

Pengajian Islam di Kelantan sebelum kehadhiran Tok Khurasan sudah lama wujud dan beropersai dengan baik, tetapi sayangnya pengajian itu tertumpu kepada ilmu-ilmu Nahu Arab, Feqah dan Tasawuf, manakala Ilmu Hadits yang meliputi kajian sanad dan matan, penyelidikan tentang shohih dan dhaif, layak dan tidak layak dijadikan dalil sekali dipelajari. Untuk melihat betapa melesetnya pengajian hadits di Kelantan dalam tempoh ini, sila perhatikan kitab-kitab seperti Manjatul Qariibul Mujiib, karangan Tuan Tabal atau nama sebenarnya Ab. Samad bin Muhammad Saleh (1840-1891M) dan Jauharul Mauhuub karangan Hj Wan Ali Kutan bin Wan Ab. Rahman Kutan (1912M). Kandungan kitab-kitab ini menunujukkan nasib pengajian hadits begitu malang jika dibandingkan dengan nasib pengajian Tarikat dan Tasawuf yang bercampur aduk dengan tiori-tiori falsafah. Jika tidak kerana keterbatasan ruangan, penulis akan memetik beberapa perenggan daripada kitab-kitab itu, sekadar membuktikan betapa pengajian hadits yang betul jauh terpinggir dalam tulisan-tulisan mereka. Pada penilaian penulisan, kandungan dua buah kitab di atas tidak mencerminkan kesegaran pengajian hadits ddalam penyelidikan dua orang ulamak besar dari Kalantan itu.

Perubahan dalam masyarakat Islam di negeri Kelantan dan peningkatan tahap pencapaian ilmu serta kematangan berfikir dikalangan ulamak selepas zaman Tok Khurasan begitu ketara, apabila ulamak rata-rata mencari penyelesaian hukum melalui hadits. Mereka juga mula mempersoalkan nilai-nilai hadits yang dijadikan dalil atau hujjah, samada shohih atau dhoif, malah kelahiran kaum-kaum tua dan muda di Kelantan dalam dekad 30an yang lalu, adalah hasil kesedaran ilmiah yang dicetus pada mulanya dalam halaqah hadits yang dibimbamg oleh Tok Khurasan dan kemudiannya tersebar melalui murid-muridnya seperti Haji As,ad Kangkong, Haji Yaakub Gajah Mati, Haji Nik Mat Alim, Haji Abdullah bin Haji Nik Wan Musa dan lain-lain. Antara tajuk yang sering dipolimikkan ini, walaupun kelihatan remeh, tetapi hakikatnya menunjukkan suatu kesedaran telah bermula kearah kebebesan berfikir serta menjadi keputusan hukum syariat daripada mata airnya yang jernih, iaitu Al-Qur'an dan Assunatun Nabawiyyah.


Pada hemat penulis, perbezaan pemikiran antara kaum tua dan muda dalam dekad ini adalah lanjutan kepada pemikiran yang dibawa oleh Tok Khurasan dari Madrasah Syah Waliyyullah Addahlawi, iaitu menghapuskan taklid buta serta mengembalikan umat Islam kepada semangat ijtihad. Menurut Mas'ud Annadawi yang mengggarap pemikiran Imam Waliyyullah Addahlawi : ada dua isu utama yang melemahkan kedudukan umat Islam dan perlu diselesaikan segera, iaitu :
1) Kemerosotan akhlak dan penyelewengan akidah.
2) Wujudnya krisis umat yang menghancurkan perpaduan.

Sebagai bukti pemikiran Tok Khurasan itu datangnya dari Madrasah Syah Waliyyullah Addahlawi ialah wujudnya persamaan haluan pengajaran antara pengajaran Haji Nik Abdullah bin Haji Nik Wan Musa, murid kepada Maulana Ubaidillah Assanadi, yang menjadi rakan seperguruan Tok Khurasan semasa menuntut di Darul Ulum Diuband. Mereka sama-sama menentang amalan bid'ah serta mengajak umat Islam kembali kepada Al-Qur'an dan Assunnah dan menyeru ulamak supaya menghidupkan semangat ijtihad. Bagi meneruskan hasrat ini, langkah-langkah positif telah diambil oleh Haji Nik Abdullah seperti menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam yang diberi nama Madrasah Al-Islah untuk membebaskan pemikiran umat Islam dari belenggu ta'sub dan kejumudan berfikir ( Abdul Hayie Abdul Syukur, sumbangan Syah Waliyyullah Addahlawi kepada pengajian hadits dan pengaruhnya di Kelantan, tesis PHD 1988, Halaman 229).

Beliau juga bercita-cita menubuhkan sebuah balai kajian Islam untuk memperluaskan khidmat dan penyebaran pemikirannya. Bagaimanapun hasrat ini tidak tercapai, kerana beliau lebih dahulu dijemput menyahut panggilan Ilahi ketika baru berusia 35 tahun, iaitu pada tahun 1935M. Hasrat dan cita-cita beliau yang besar ini tidak dapat disambung pembantu-pembantunya yang terdiri daripada keluarganya seperti Haji Nik Mahmud dan Haji Nik Muhyidin Musa yang pada ketika itu terlalu awal dengan matlamat penubuhan balai Islam ini.

Walaupun Halaqah hadits yang disemai oleh Tok Khurasan tidak dapat bertahan lama, kerana tiada penggantinya yang mampu membawa mesej yang serupa, namun pada hemat penulis, zaman ini boleh dianggap sebagai zaman keemasan bagi pengajian hadits di negeri Kelantan. Bahkan usaha-usaha Haji Nik Abdullah ini dapat diteruskan oleh murid-murid Tok Khurasan, nescaya pemikiran umat Islam dirantau ini akan lebih terbuka dan nasib pengajian hadits di Kelantan juga tidak semalang yang disaksikan pada hari ini.

Sesungguhnya negeri Kelantan begitu terhutang budi kepada jasa bakti yang ditabur oleh Tok Khurasan dalam pengajian hadits. Riwayat hidup beliau wajar dicatat dengan tinta emas, tetapi sayang ramai tidak menghargainya. Bagaimanapun penulis merasa lega apabila mendapat berita bahawa kerajaan negeri Kelantan pimpinan yang berhormat Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi menghidupkan kembali sekolah-sekolah Pondok yang terkubur sekian lama. Lebih meyakinkan lagi apabila pendidikan YB Datuk Haji Nik Ab Aziz sendiri bertemu dengan pendidikan Tok Khurasan apabila mereka sama-sama mendapat ijazah hadits dari madrasah dan universiti yang sama, sekalipun pada masa dan usia yang jauh berbeza. Selain itu, kenangan manis kepada suatu zaman yang lalu, iaitu semasa usia kecil YB Datuk Menteri Besar pernah dibawa oleh bapanya menghadhiri halaqah hadits Tok Khurasan tentunya masih segar dalam ingatan. Bak kata pepatah "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain".

Pada masa-masa yang akhir ini suara-suara sombong terhadap kemurnian hadits sebagai sumber hukum dalam Islam sering diperkatakan. Kewibawaan Imam Bukhari dan Muslim terus dilapah, selain ulamak dan pemimpin juga kadang-kadang terikut-terikut dengan arus yang ada pasang surutnya. Maka penulis dalam kesempatan ini ingin menyatakan pendapat ada baiknya jika sebuah pusat pengajian hadits didirikan di Kelantan untuk menyambung hasrat dan usaha baik Tok Khurasan pada suku abad yang lalu.Pusat ini jika boleh, diabadikan nama Tok Khurasan dengan memakai nama misalnya "Darul Hadits Al-Khurasaniah" yang sanad pengajian sama dengan universiti-universiti seperti Darul Hadits Al-Husainiah di Maghribi dan Kuliah Hadits Assyarif di Universiti Madinah. Pengajian seumpama ini begitu penting dalam usaha menghidupkan semula sunnah Rasulullah S.A.W, apa lagi jika zaman orang yang berpegang kepadanya bagaikan orang yang memegang bara api.

Dalam sebuah hadits yang diriwayat oleh Imam Abu Bakar Al-Baihaqi dalam kitabnya Sunan Al-Mustafa, daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda;

Maksudnya: Tiga perkara, sesiapa yang menunaikannya dengan ikhlas dan mengharapkan pahala, nescaya Allah membantu dan memberkati usahanya: orang yang membebaskan belenggu perhambaan, orang yang berkahwin dan orang yang menghidupkan bumi yang mati.

Tidak diragui bahawa menghidupkan pondok-pondok yang mati, sama penting seperti menghidupkan bumi yang sudah mati, kerana semua usaha ini akan memberi pulangan yang menguntungkan, malah lebih penting lagi jika pondok yang hendak dihidupkan itu akan menghidupkan semula sunnah Rasulullah S.A.W yang sekian lama terkubur dibumi Kelantan bersama-sama terkuburnya Maulana Tok Khurasan. Didoakan moga-moga Allah mencucuri rahmatnya keatas roh beliau serta menghimpunnya bersama-sama roh para nabi, Shiddiiqin, Syuhada' dan Sholihin. Amin!.

Gambaran Siksaan Di Akhirat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DIRIWAYATKAN oleh Bukhari dari Samurah bin Jundub : "Pada suatu hari Rasulullah SAW sesudah solat mengadapkan muka beliau kepada kami dan berkata: "Siapa di antara kamu yang bermimpi malam tadi?" Orang yang bermimpi menerangkan mimpinya. Mendengar itu, Rasulullah SAW bersabda:"MasyaAllah!" Di hari yang lain, tiada siapapun yang bermimpi. Rasulullah SAW berkata kepada kami, kebetulan saya bermimpi malam tadi.

"Saya melihat dua orang lelaki datang kepadaku, kedua orang itu memegang kedua tanganku, membawa aku keluar ke bumi suci. Tiba-tiba saya melihat seorang lelaki duduk sementara seorang lagi berdiri. Dia memegang alat yang dibuat dari besi dan mecocokkanya ke mulut hingga ke kerongkong kemudian dicabut kembali dan diulangi semula. Begitulah yang dikerjakan oleh keduanya silih berganti". Lalu aku bertanya : "Siapakah mereka ini". Kedua orang (malaikat) yang membawaku tidak menjawab, malah menyuruhku terus berjalan.

"Sambil berjalan, tiba-tiba saya melihat seorang lelaki sedang berbaring terlentang dan seorang lagi lelaki berdiri di sampingnya memegang batu sebesar penumbuk. Lalu dihempapkannya batu itu ke kepala pemuda berbaring tadi sehingga berkecai kepalanya. Setelah itu digulingkannya batu itu lalu diambil oleh pemuda yang dihempap batu tadi dan kepalanya elok semula. Kemudian diserahkan kembali batu itu kepada lelaki tadi dan dia menghempap semula kepala lelaki terlentang tadi dengan tidak berhenti-henti". Lalu aku bertanya: "Siapakah mereka ini". Kedua orang (malaikat) yang membawaku tidak menjawab, malah menyuruhku terus berjalan.

"Tiba-tiba kami sampai ke sebuah jurang seperti tungku yang sempit di bahagian atasnya, tengahnya luas dengan nyalaan api dengan dua orang yang telanjang dibakar api, seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya hampir tercampak keluar akibat dari gelojakan api tersebut, tiba-tiba api terpadam dan kedua-dua terjatuh ke dasar jurang tersebut. Kemudian api dinyalakan semula dan hal ini terus berlaku berulang-ulangkali." Lalu aku bertanya: "Siapakah mereka ini". Kedua orang (malaikat) yang membawaku tidak menjawab, malah menyuruhku terus berjalan.

"Kemudian kami sampai ke sebuah sungai darah. Terdapat dua lelaki di dalam sungai tersebut di mana lelaki yang pertama memegang seketul batu berada di tengah-tengah sungai. Sementara lelaki yang kedua mengadap lelaki yang pertama, dia mahu keluar dari sungai itu. Namun setiap kali dia cuba keluar dia dilempar dengan batu oleh lelaki yang pertama tadi dan terjatuh semula ke dalam sungai. Keadaan ini terjadi berulang-ulang kali." Lalu aku bertanya: "Siapakah mereka ini". Kedua orang (malaikat) yang membawaku tidak menjawab, malah menyuruhku terus berjalan.

"Tiba-tiba saya sampai di taman yang hijau dan terdapat sebatang pohon yang besar. Di bawah pohon itu terdapat seorang lelaki tua yang sedang menyalakan api bersama-sama dengan beberapa orang anak. Kedua-dua malaikat yang membawaku, lalu membawaku naik ke atas pohon itu. Kemudian keduanya membawaku memasuki gedung yang amat indah yang belum pernah aku lihat. Di dalamnya ada golongan tua dan ada yang masih muda."

Aku dibawa naik lagi. Tiba-tiba aku memasuki gedung yang lebih indah lagi. Ketika itu aku bertanya kepada kedua lelaki yang membawa aku: "Kamu telah membawa aku jauh mengembara pada malam ini, terangkan kepadaku apa yang telah aku lihat"

Keduanya menjawab: "Orang yang engkau lihat memasukkan alat besi sampai ke kerongkongnya adalah pembohong yang sedang berbohong. Ia disiksa begitu hingga hari qiamat." "Orang yang dipecahkan kepalanya dengan batu adalah orang yang pandai membaca al-Quran, tetapi dia tidur dengan al-Quran di malam hari (tidak membacanya) dan tidak mengamalkannya di siang hari. Begitulah siksaannya hingga hari qiamat". Orang yang engkau lihat di dalam jurang adalah penzina dan di dalam sungai adalah pemakan riba. Orang tua yang berada di bawah pohon adalah Nabi Ibrahim sedangkan anak-anak yang berada di sisinya adalah anak-anak manusia. Yang menyalakan api adalah Malik, penjaga Neraka. Gedung indah yang pertama ialah untuk semua orang-orang beriman sementara gedung yang lebih indah adalah untuk para syuhada'. Saya adalah Jibril dan ini Mikail."

Kemudian mereka menyuruh aku mengangkat kepala lalu aku melihat mahligai seperti awan tingginya. Kedua malaikat itu berkata: "Itulah tempat bagimu" Lalu aku berkata: "Biarkan aku memasukui mahligaiku" Jawab mereka: "Umurmu masih ada, sesudah engkau wafat, barulah engkau dibenarkan masuk"

Berikut adalah gambaran siksaan dan pembalasan yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW semasa peristiwa Isra' dan Mikraj.

Peristiwa Isra' :-

1. Orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah
2. Mencium bau yang wangi iaitu bau tukang sikat Firaun yang beriman kepada Allah
3. Sekumpulan manusia menghempap kepala masing-masing dengan batu berulangkali. Gambaran orang yang berat melakukan solat fardhu.
4. Kumpulan manusia telanjang memakan rumput berduri, buah zakkum yang sangat pahit dan makan bara api Jahannam. Balasan orang yang tidak suka menderma, bersedeqah dan tidak mengeluarkan zakat.
5. Orang yang mengguntingkan lidah tidak berhenti-henti. Balasan orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkannya.
6. Ssekumpulan manusia makan daging busuk sedangkan ada daging baik, balasan orang yang berzina sedangkan dirinya ada isteri atau suami yang sah.
7. Orang yang tenggelam timbul dalam lautan darah dan dilemparkan dengan batu. Balasan orang yang makan riba.
8. Kumpulan manusia mencakar-cakar muka dan dada dengan kuku yang tajam. Balasan orang yang suka mengumpat.
9. Orang yang membawa berkas kayu yang banyak tidak terangkat olehnya. Balasan oarang yang menerima amanah tetapi tidak sanggup melaksanakannya.
10. Seekor lembu keluar dari lubang kecil tetapi tidak dapat masuk semula ke dalam lubang tersebut. Gambaran orang yang suka bercakap besar.

Peristiwa Mi'raj:-

1. Wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
2. Wanita tergantung pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk. Balasan wanita yang tidak menutup auratnya (rambut)
3. Wanita berkepala seperti babi, badannya seperti kaldai dan menerima berbagai balasan wanita yang suka membuat fitnah, bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
4. Wanita yang mukanya hitam dan memamah isi perutnya sendiri. Balasan wanita yang mengoda dan menghairahkan lelaki.
5. Lelaki dan wanita yang ditarik kemaluannya ke depan dan ke belakang serta dilontar mukanya ke api neraka. Kemudian ditarik dan dipukul hingga keluar api dari badannya. Balasan orang yang membesarkan diri dan takabur kepada orang ramai.
6. Lelaki dan wanita dimasukkan besi pembakar daging dari duburnya, keluar hingga ke mulutnya. Balasan orang yang membuat fitnah, mengejek dan mencaci.
7) Wanita tergantung rambutnya di pohon Zakkum, api neraka membakarnya lalu kering kecut dagingnya terbakar. Balasan wanita yang minum ubat untuk membunuh janin.
8. Wanita dibelenggu dengan api neraka, mulutnya terbuka luas, keluar api dari perutnya. Balasan wanita yang menjadi penyanyi tidak sempat bertaubat.
9. Lelaki dan wanita yang masuk api ke dalam perut dari duburnya lalu keluar dari mulut. Balasan orang yang makan harta anak yatim.
10. Lelaki dan wanita kepalanya terbenam dalam api, dituang pula air panas ke badannya lalu melecur seluruh tubuhnya. Balasan orang yang berusaha ke arah pergaduhan sesama manusia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...