Powered By Blogger

Saturday, May 12, 2012

Pondok Pengajian Tolak 'Sumbangan' Dari Kerajaan Pusat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

TUMPAT – Pondok Berangan di Kampung Berangan memutuskan untuk menolak peruntukan RM100,000 pemberian daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pondok Berangan antara lima pondok di negeri ini yang tersenarai akan menerima peruntukan itu ketika perjumpaan khas Muhyiddin dengan pengasas pondok Geting (Pondok An–Najmiah) di sini, Abdullah Samah pada 24 April lalu.

Guru Pondok Berangan, Muhammad Ali berkata, dia menolak peruntukan itu kerana sejak pondok ini dibuka 70 tahun lalu, pihak pengurusan pondok di sini pada zaman pengasasnya lagi tidak pernah menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Memang ada bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dihulurkan untuk membantu pondok ini, tetapi ditolak oleh pengasas pondok ini.

“Disebabkan itu, saya sebagai generasi kedua juga akan berbuat demikian, menolak bantuan RM100,000 untuk pembangunan pondok yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri ketika berkunjung ke Pondok Geting baru–baru ini. “Pihak saya pun setakat ini tidak menerima apa–apa lagi berkaitan wang peruntukan itu,” katanya ketika ditemui di pondoknya semalam.

Pondok Berangan diasaskan Allahyarham Yaakob Ishak dikenali sebagai Tok Guru Kob, membuka pusat pengajian pondok ini pada tahun 1942.

Sekarang ini seramai 35 pelajar lelaki dan perempuan mengikuti pengajian pondok di sini dan ada diantara mereka dari Kemboja, Thailand dan Pahang.

Sebanyak 30 pondok disediakan sebagai tempat tinggal pelajar tersebut.

Pada 25 April lalu, Sinar Harian menyiarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membantu lima pusat pengajian pondok di bawah Persatuan Ulama’ Minda Pondok di negeri ini.

Antara pondok itu ialah Pondok Berangan, Pondok Bunut Susu, Pondok Jal Besar, Pondok Pulau Ular dan Pondok Geting.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...