Powered By Blogger

Tuesday, May 29, 2012

Pertemuan Kuala Sungai. Lihatlah Kebesaran Allah SWT

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
CONFLUENCE (kuala) merupakan istilah geografi yang digunakan untuk menggambarkan pertembungan antara dua atau lebih sumber aliran air. Gambar-gambar di bawah ini adalah antara tempat pertembungan air sungai yang terkenal dan ianya mempunyai warna air yang jelas berbeza disebabkan sungai-sungai tersebut mengandungi komposisi air yang berlainan.

Kuala sungai Rhone dan Arve, Switzerland
Kuala sungai Danube, Inn dan Ilz, German
Kuala sungai Drava dan Danube, Croatia
Kuala sungai Green and Colorado, Utah, USA
Kuala sungai Jialing dan Yangtze, China
Kuala sungai Monongahela dan Allegheny, Pennsylvania, USA
Kuala sungai Mosel dan Rhine, Germany
Kuala sungai Ohio dan Mississippi, Illinois, USA
Kuala sungai Rio Negro dan Rio Solimoes, Brazil
Kuala sungai Rio Uruguay dan tributary, Argentina
Kuala sungai Thompson dan Fraser, Canada
Maha Suci Allah yang mempunyai kuasa atas segala apa ciptaanNya. Maka sama-samalah kita renungkan akan KebesaranNya.
Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. [Ar-Ra'd:3]

Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu) tidak mengetahui. [An-Naml:61]

Ingkar Perintah Allah Dan Melakukan Maksiat. Apa Peringatan Dari Allah...

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


ADAPUN orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). [Hud:106]

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, [Al-Hijr:39]

Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. [Al-Israa':16]

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [An-Nisaa':110]

Anwar Ibrahim Dihalang Menyampaikan Tazkirah. Apa Peringatan Dari Allah..

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DAN siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. [Al-Baqarah:114]


Wednesday, May 23, 2012

Tanah Orang Asal: Kelantan Luluskan, Jakoa Bermasalah

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

GUA MUSANG: Bekas juruhebah RTM pada 1980-an mempersoalkan mengapa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kurang memberi kerjasama kepada kerajaan negeri bagi membolehkan penduduk Orang Asli memiliki tanah sendiri.

Ajong Alang, 60 pernah berkhidmat di RTM bagi rancangan Orang Asli selama 14 tahun berkata, sepatutnya Jakoa memberi kerjasama penuh bagi membolehkan tanah disukat sebelum dapat dikeluarkan geran.

“Saya hairan mengapa agensi berkenaan tidak mahu mengeluarkan peruntukan bagi kerja-kerja mengukur sempadan bagi membolehkan geran hak milik dikeluarkan kerajaan negeri.

“Saya difahamkan isu ini sudah lama dibangkitkan, namun sekarang Jakoa seperti tidak serius. Sedangkan kerajaan negeri sudah bersetuju untuk memberi hak milik kepada kami.

“Cuma sekarang mengapa Jakoa tidak mahu membayar upah ukur. Kalau hendak kata tiada peruntukan tidak lojik langsung, setiap tahun Jakoa mendapat geran daripada kerajaan pusat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memberitahu Jakoa sehingga kini tidak memberi kerjasama bagi membayar upah ukur sempadan membolehkan geran hak milik tanah dikeluarkan kepada penduduk Orang Asli beberapa tempat termasuk di Kuala Betis.

Ajong yang kini tinggal di Kuala Betis berkata, kerajaan negeri sudah lama bersetuju meluluskan surat hak milik tanah kepada penduduk Orang Asli, namun Jakoa pula bermasalah.

“Sekarang sangkut kat Jakoa. Isu tanah sudah lama dibangkitkan ketika BN memerintah Kelantan lagi. Namun selepas PAS memerintah baru kelulusan tanah dipersetujui,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau Pos Jedip sudah diluluskan kerajaan negeri untuk diberi hak milik kepada Orang Asli. Begitu juga penempatan di Kuala Betis, Sendrop, Sigar dan Tuai.

Yaakub Busu, 49 dari Pos Tuai pula mempertikaikan segelintir Orang Asli yang didalangi Jaringan Orang Asli Semenanjung mendakwa kerajaan negeri merampas tanah adat Orang Asli.

Katanya, sehingga kini tidak ada tanah yang dirampas seperti didakwa mereka.

“Kelantan bukan macam Sarawak ada tanah adat. Mereka seperti terikut-ikut dengan perjuangan peribumi di sana.

“Mana ada tanah adat Orang Asli yang dirampas. Kami malu dengan tindakan segelintir Orang Asli yang berdemontrasi di Kota Bharu baru-baru ini,” ujarnya. Harakahdaily

Monday, May 21, 2012

Ada Lagi Pegawai Kanan PDRM Akan Sertai PAS

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari kini dengan rasminya telah menyertai PAS. Lihat sini

Kita panjatkan kesyukuran ke hadhrat Ilahi atas limpah kurniaNya yang telah menggerakkan dan membuka hati Datuk Fauzi untuk menyertai perjuangan PAS dalam usaha untuk mendaulatkan hukum syari'at Allah SWT di negara kita.  Dan kita juga bersyukur kerana bukan sahaja Datuk Fauzi sahaja yang kini menyertai perjuangan PAS (yang dituduh dengan pelbagai tuduhan berupa fitnah seperti tuduhan sesat, tergelincir, kafir dan berbagai-bagai lagi tuduhan) bahkan ramai lagi mereka-mereka yang telah sedia dikenali ramai termasuklah dari kalangan artis-artis tanahair kita.

Kembali kepada penyertaan Datuk Fauzi ke dalam PAS, beliau dikenali dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur sehinggakan tindakan beliau tersebut pernah mendapat kecaman dari seorang menteri kabinet  yang menyifatkan tindakan beliau itu akan menghalau pelancong asing.

Penulis sebenarnya tidak berapa terkejut dengan penyertaan Datuk Fauzi ke dalam PAS kerana semasa beliau masih lagi dalam perkhidmatan polis, beliau dilihat sebagai seorang penjawat awam yang sememangnya mempunyai hemah yang tinggi. Beliau juga banyak melakukan penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka-mereka yang bergelumang dengan industri maksiat di negara kita walaupun tindakan beliau tersebut tidak begitu digemari oleh banyak pihak termasuklah pemerintah sendiri.

Penulis menjangkakan selepas ini, akan lebih ramai lagi penjawat awam termasuklah dari pegawai kanan PDRM sendiri akan menyertai Pakatan Rakyat terutamanya PAS. Dan penulis sedang membayangkan seorang lagi pegawai kanan PDRM yang juga berpangkat Datuk bakal menyertai PAS apabila beliau telah bersara kelak (Penulis mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa beliau akan menyertai  PAS). InsyaAllah... Namun begitu, penulis tidak akan nyatakan siapa orangnya tersebut. Biarkanlah ianya menjadi teka-teki buat masa ini.

Bahaya Ancaman Islam Liberal

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Eikhwan Ali, 21 Mei 2012

GOLONGAN Islam Liberal ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fekah. Segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulamak, termasuk tafsiran daripada Rasulullah s.a.w. dan sahabat serta ulamak mujtahid ditolak oleh mereka.

Pengaruh liberalisme yang telah terjadi dalam agama Yahudi dan Kristian mulai diikuti oleh sekumpulan sarjana dan pemikir muslim termasuklah dengan menubuhkan forum diskusi dan institusi seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia dan Sister in Islam (SIS) di Malaysia.

Gerakan Islam Liberal ini sebenarnya adalah lanjutan daripada gerakan modernisme Islam yang muncul pada awal abad ke-19 di dunia Islam sebagai suatu konsekuensi interaksi dunia Islam dengan tamadun barat. Modernisme Islam tersebut dipengaruhi oleh cara berfikir barat yang berasaskan kepada rasionalisme, humanisme, sekularisme dan liberalisme.

Rancangan musuh-musuh Allah dan muslim, iaitu Zionis dan Amerika adalah untuk memecahbelahkan umat Islam dengan memberi sokongan kepada golongan Islam yang radikal dan pada belahan dunia Islam yang lain mereka menaja kelompok Islam liberal, disamping menghidupkan semula tarekat-tarekat sufi yang menyimpang, MAKA gambaran majoriti umat Islam sebenar yang mengikuti manhaj ahli sunnah wal jamaah dan menjadi umat pertengahan tidak dapat dilihat dengan jelas.

Menurut penganut dan aktivis kumpulan Islam liberal ini, agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara qat’ie. Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Sebenarnya, program Islam liberal ini dilancarkan oleh barat untuk memperkuatkan liberalisme politik di negara-negara umat Islam setelah gagalnya sekularisme di Timur Tengah (dunia Islam). Bagi mereka, tanpa liberalisme Islam yang kuat, maka liberalisme politik di Timur Tengah dan negara umat Islam yang lain tidak akan berhasil. Kerana itu, mereka menaja kumpulan-kumpulan dan individu-individu tertentu di negara-negara umat Islam untuk mempromosikan fahaman Islam liberal ini.

Secara ringkasnya, ada tiga bidang dalam ajaran Islam yang menjadi sasaran liberalisasi iaitu; [1] liberalisasi bidang aqidah dengan penyebaran fahaman pluralisme agama, [2] liberalisasi bidang syariah dengan melakukan perubahan metodologi ijtihad, dan [3] liberalisasi konsep wahyu dengan melakukan dekonstruksi terhadap al-Quran.

Semoga Allah selamatkan kita daripada sebarang bentuk kesesatan.

Wallahua’lam


Penulis ialah Naib Presiden GAMIS, merangkap Pengerusi INSPIRASI ANAK MUDA.

LGBT: Ambiga Dikecam, Irshad Manji Dibiarkan.

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kekesalan terhadap kerajaan atas kegagalan menghalang Irshad Manji (gambar) memasuki negara ini, biarpun menerima bantahan awal daripada PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan kerajaan sewajarnya menghalang kemasukan Irshad dengan kuasa yang ada, lebih-lebih lagi arif mengenai pegangan Irshad.

Tegas beliau, kerajaan bukan tidak tahu mengenai Irshad, sedangkan warga Kanada itu pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini dengan bukunya-The Trouble With Islam Today.

"Kerajaan sepatutnya menghalang lebih awal, sebelum kemasukan beliau. Macam sekarang, ia sudah terlewat apabila buku terbarunya- Islam, Liberty and Love dilancarkan di negara ini, pagi tadi.

"Sedangkan PAS, melalui Dewan Pemuda PAS Pusat sebelum ini, ada menyerahkan nota bantahan meminta kerajaan menghalang kemasukannya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu lagi, kerajaan juga tidak bersikap konsisten berhubung isu LGBT ini, memandangkan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga terus dikecam kerana dikatakan penyokong LGBT.

Sebaliknya, tambah Tuan Ibrahim, kerajaan tidak bertindak tegas terhadap Irshad yang juga dikatakan pro-LGBT.

Begitu juga, katanya dengan pihak-pihak tertentu yang kononnya menentang dan mengecam Ambiga sebelum ini, apabila kemudiannya hanya berdiam diri berhubung isu Irshad.

"Bagi saya, ia hanya tindakan sandiwara politik yang dimainkan kerajaan berhubung LGBT. Sedangkan kerajaan tidak konsisten, malah tidak menggunakan kuasa yang ada untuk menghalang program beliau," kata Tuan Ibrahim lagi.

Memandangkan buku terbaru Irshad telah dilancarkan, maka Tuan Ibrahim menggesa kerajaan agar meneliti semula dan bertindak segera terhadap penjualan buku tersebut.

Katanya, jika sebelum ini kerajaan bertindak mengharamkan buku pertamanya, hanya selepas lapan bulan dilancarkan, PAS menggesa kerajaan segera bertindak untuk buku terbaru Irshad ini.

Irshad, pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk 'The Trouble With Islam Today' yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel 'The Satanic Verses', Salman Rushdie.

Manakala, buku terbaru yang dilancarkan hari ini, bertajuk 'Islam, Liberty and Love' yang dikatakan dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian. 

p/s: Kenapa bising-bising mengatakan menentang LGBT tapi dalam masa yang sama membiarkan individu warga asing yang pro LGBT masuk ke Malaysia dan mempromosikan buku yang menghina Islam dan menyokong LGBT? Kalau Ambiga boleh di bantah, kenapa pula Irshad Manji yang bersahabat baik dengan Salman Rushdie tidak dibantah sebaliknya pula dibiarkan? Kenapa boleh berlaku double standard sebegini atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidur kah?  


Dalam masa yang sama, pandangan Irshad Manji yang agak negetif terhadap agama Islam telah menjadikan beliau seorang yang murtad serta terkeluar dari agama Islam. Kemana pergi suara-suara NGO Jati dan pemimpinnya, Dato' Mohamed Hasan Ali yang lantang mengatakan berjuang untuk mempertahankan aqidah umat Islam di Malaysia? Kemana pula suara-suara tokoh-tokoh agama dalam Umno dan juga mufti-mufti di Malaysia ini termasuklah Tan Sri Harussani Zakaria? Bisukah mereka ini?

Saturday, May 19, 2012

Muzakarah: PAS Tidak Pernah Menolak Dan Muhyiddin Berbohong

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



SAYA merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mei 2012 yang lalu yang dikatakan sedia menyahut seruan PAS untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Di dalam kenyataan tersebut, Muhyiddin turut dilaporkan berkata, "...Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara
Malaysia kita tidak jadi masalah.."

Suka saya membuat sedikit penjelasan terhadap kekeliruan Muhyiddin tentang sikap Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku al-Mursyidul Am Pas. Di dalam isu dialog dengan mana-mana pihak atas nama muzakarah, muqabalah mahupun mujadalah, YAB Tuan Guru sentiasa konsisten dengan komitmen bahawa pertemuan dialog harus dilakukan sentiasa bagi mencari penyelesaian.


Antaranya sukalah saya merujuk kepada kronologi berikut:


1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 5 Februari 2011 yang antara lain menyatakan kesediaannya untuk berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan ekoran dakwaan yang menyatakan beliau mengeluarkan fatwa yang melanggar syarak. Antara lain beliau berkata,


“Saya setuju benar orang berdialog dengan saya. Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan ‘hendaklah kamu berdebat dengan mereka dengan cara terbaik.." Kenyataan ini boleh dirujuk di sini

2. Pada 20 Ogos 2009, YAB Tuan Guru sebagaimana dilaporkan Bernama juga menyatakan kesediaannya untuk bersemuka dengan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu-isu yang timbul ekoran kenyataan yang dikeluarkan olehnya. Laporan Bernama di pautan berikut boleh dirujuk di sini


3. Bahkan pada tahun 2008, YAB Tuan Guru juga menyatakan kesediannya untuk bermuqabalah (bersemuka) dengan mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelaksanaan undang-undang Islam. Ia boleh dirujuk melalui laporan BERNAMA di sini


Justeru, apabila Muhyiddin menyatakan bahawa YAB Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah, ia menunjukkan kekeliruan di pihak Muhyiddin yang gagal membezakan antara muzakarah dengan penyatuan antara PAS-Umno. Di dalam isu penyatuan Pas-Umno, benar sekali YAB Tuan Guru konsisten menentang penyatuan ini yang dilihat hanyalah helah Umno untuk menyelamatkan diri dari lemas dalam pilihan raya.

Kekeliruan Muhyiddin memahami perbezaan antara kedua-dua isu ini menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa YAB Tuan Guru tidak pernah setuju untuk bermuzakarah. Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Muhyiddin sendiri yang menolak debat dengan pembangkang. seperti yang dilaporkan di pautan sini

 

Menolak debat dengan pembangkang namun dalam masa yang sama bersetuju dengan muzakarah bersama Pas membuktikan sedikit sebanyak silap faham Muhyiddin dalam isu ini. Sekalipun muzakarah dan debat berkemungkinan sedikit berbeza tetapi asasnya sama iaitu bertemu, berdialog dan berhujah. Apatah lagi jika muzakarah ditafsirkan sebagai penyatuan, ia lebih silap!

Hakikatnya, bukan YAB Tuan Guru yang mengemukakan pelawaan untuk bermuzakarah. Beliau hanya menjawab soalan wartawan selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada 16 Mei 2012 yang lalu iaitu "Adakah Pas sedia bermuzakarah?" maka jawapan dari YAB Tuan Guru ialah, "Ya.."


Dipercayai soalan wartawan tersebut merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Datuk Seri Presiden Pas yang memberikan respons ekoran kenyataan Mufti Perak yang menyatakan bahawa Pas telah terpesong daripada perjuangan Islam. Justeru, respons Tuan Guru Datuk Seri Presiden Pas ialah, "Pas bersedia membuka pintu dan bermuzakarah dengan semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuklah Umno..." Rujuk di sini


Kesimpulannya, pendirian YAB Tuan Guru al-Mursyidul Am Pas dalam isu muzakarah ialah jelas. Pintunya sentiasa terbuka untuk sesiapa sekalipun. Tetapi untuk berpadu dengan Umno bagi menyelamatkan Umno yang sedang terkapai-kapai, pohon maaf.


Kenyataan oleh:
Ahmad Fadhli Shaari, 
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan

10 Golongan Yang Diusir Dari Padang Mahsyar

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) hari (ketika) Kami kumpulkan daripada setiap umat segolongan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, iaitu mereka dibahagi-bahagi (dalam kelompok-kelompok)." [surah An-Naml:83]

Renung-renungkan dan muhasabahlah diri kita sendiri. Tanyakan diri kita sendiri, adakah kita termasuk dalam 10 golongan yang disebutkan ini?
1. Mereka diusir berupa kera. Mereka adalah manusia yang suka mengadu domba.
2. Mereka diusir berupa babi. Mereka adalah manusia yang suka memakan barang yang haram.
3. Mereka dihalau dalam keadaan terbalik kaki di atas dan kepala di bawah. Mereka adalah dari golongan yang suka berdusta.
4. Mereka dihalau dalam keadaan bisu dan pekak serta tidak berakal. Mereka adalah dari golongan yang riak bangga diri dan sombong.
5. Mereka dihalau dalam keadaan mengunyah lidah sendiri sedang lidahnya itu menjulur ke bawah sampai ke dadanya dan dari mulutnya keluar nanah yang menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan perilakunya.
6. Mereka dihalau dalam keadaan tersalib di pohon kurma dari neraka. Mereka adalah manusia yang berusaha mengajak orang ramai untuk menyokong pemimpin yang tidak jujur.
7. Mereka dihalau dalam keadaan terpotong tangan dan kakinya. Mereka adalah orang-orang yang mengganggu jiran-jiran.
8. Mereka dihalau dalam keadaan buta. Mereka adalah dari golongan yang curang dalam menetapkan hukum.
9. Mereka dihalau dalam keadaan busuknya lebih busuk daripada bau bangkai. Mereka adalah orang yang gemar melepaskan nafsu syahwat dan menolak perkara wajib seperti zakat, puasa, solat, dan lain-lainnya serta tidak menjalankan kerja da'wah dan sebagainya.
10. Mereka dikumpulkan dalam keadaan memakai pakaian besi yang panas. Mereka ini adalah manusia yang syirik kepada Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman (maksudnya): "Dan barang siapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia; Ya Tuhanku, mengapakah Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, pada hal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman; "Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami maka kau melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan." [Surah Thaha: 124-126]

Mustafa Kamal Ataturk Pengkhianat Islam

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

MUSTAFA KAMAL ATATURK (12 Mac 1881 - 10 November 1938) atau nama penuh Gazi Mustafa Kamal Pasha adalah pengasas Republik Turki. Beliau merupakan pegawai tentera, pemimpin revolusi dan presiden Turki yang pertama.

Beliau membuktikan diri beliau sebagai komander tentera yang berjaya ketika berkhidmat dalam Pertempuran Gallipoli pada Perang Dunia I. Setelah kekalahan Empayar Uthmaniyyah di tangan Tentera Bersekutu, terdapat rancangan oleh Tentera Bersekutu untuk memecahkan negara Turki. Mustafa Kamal kemudiannya memimpin gerakan nasional Turki dalam apa yang kemudiannya menjadi Perang Kemerdekaan Turki.

Setelah kejayaan dalam Perang Kemerdekaan Turki dan dipilih sebagai Presiden Turki yang pertama, beliau telah memindahkan ibu negara Turki dari Islambul (Istanbul) ke Angora yang kini dikenali sebagai Ankara. Mustafa Kamal telah membentuk semula aspek kehidupan rakyat Turki agar bersesuaian dengan tuntutan semasa yang dikenali sebagai ideologi "Kamalisme". Ideologi ini bertujuan untuk menyediakan Turki ke arah negara moden, demokratik dan negara sekular, positif dan bertindak rasional. Beliau memerintah dari tahun 1918 sehingga tahun 1934. Mustafa Kamal Ataturk meninggal dunia pada tahun 1938.

Nama "Mustafa" bermaksud manusia pilihan manakala "Kamal" bermaksud sempurna. Nama asal beliau adalah Mustafa Kamal Pasha. Nama tersebut digunakan sehinggalah beliau bersara dari Tentera Uthmaniyyah. Semasa Perang Kemerdekaan Turki, beliau dipanggil 'Gazi' atau 'Gazi Mustafa Kamal'. Setelah undang-undang keluarga diperkenalkan di Turki pada 21 November 1934, beliau diberi nama 'Ataturk', bermaksud 'Bapa Rakyat Turki'.
Ataturk dilahirkan pada tahun 1881 di Selanik (Thessaloniki, Greece). Bapa beliau, Ali Riza Efendi mula bekerja sebagai pegawai kastam dan kemudiannya membuka perniagaan kayu balak. Ataturk berusia 7 tahun ketika bapa beliau meninggal dunia. Beliau kemudian dibesarkan oleh ibunya, Zübeyde Hanım.

Apabila berusia 12 tahun, beliau dihantar ke sekolah tentera Selanik dan Manatir (kini Bitola, Republik Macedonia). Ataturk menyertai Akademi Tentera Uthmaniyyah di Manastir pada tahun 1895 dan ditugaskan di Damsyik. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai leftenan dan mula membabitkan dirinya di dalam gerakan reformasi sulit yang dipanggil 'Vatan ve Hurriyet' (Tanah air dan Kebebasan). Gerakan sulit ini aktif menentang Khilafah Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Abdul Hamid II.

Mustafa Kamal Ataturk 1881-10 November 1938 adalah pengasas Republik Turki . Beliau merupakan pegawai tentera, pemimpin revolusi, negarawan dan presiden Turki yang pertama.

Beliau adalah komander tentera yang berjaya dan berkhidmar sebagai panglima tentera semasa Pertempuran Gallipoli iaitu ketika Perang Dunia I. Angkatan tentera pimpinan beliau berjaya merampas kembali wilayah Anatolia dan Palestin. Ketika itu Empayar Ottoman / Uthmaniyah sedang diperangi oleh Tentera Bersekutu. Mujurlah Mustafa Kamal telah memimpin pergerakan kebangsaan Turki menghadapi Perang Kemerdekaan Turki. Namun begitu itu adalah sebenarnya satu perancangan sulit antara Tetntear Bersekutu yang diketuai oleh British dengan Mustafa Kamal Ataturk.

Beliau telah memindahkan ibu negara Turki dari Islambul (Istanbul) ke Angora yang kini dikenali sebagai Ankara.

Mustafa Kamal telah membentuk semula aspek kehidupan rakyat Turki agar sesuai dengan tuntutan semasa yang kemudian dipanggil ideologi Kamalist. Ideologi ini bertujuan menyediakan Turki ke arah negara moden, demokratik dan negara sekular, positif dan bertindak rasional.

Beliau memerintah dari tahun 1918 hingga 1934. Beliau adalah seorang negarawan yang berkebolehan dalam bidang politik. Memeperkenalkan sistem politik sekularisme, beliau ‘berjaya’ meruntuhkan empayar Turki Uthmaniyyah. Mustafa Kamal Ataturk meninggal dunia pada tahun 1938 dan telah dikebumikan di sebuah makam di Ankara iaitu ibu negaranya.
Dosa Mustafa Kamal
1. Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt/ROK.
2. Membolehkan lelaki memakai seluar panjang dengan syarat pakai tali leher dan topi (sesuai dengan kehendak barat)
3. Menyuruh wanita dan lelaki menari di khalayak ramai. Beliau sendiri pernah menari dengan seorang wanita di sebuah parti umum yang pertama di Ankara.
4. Beliau pernah menegaskan bahawa “negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden”
5. Menggalakkan minum arak secara terbuka.
6. Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki
7. Menukar azan ke dalam bahasa Turki. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi.
8. Mengambil arkitek-arkitek dari luar negara untuk memodenkan Turki. Hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya diseluruh bandar Turki.
9. Satu ucapan beliau di bandar Belikesir di mana beliau dengan terang-terangannya mengatakan bahawa agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan.
10. Agama Islam juga dibuang sebagai Agama Rasmi negara.
11. Menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan
12. Menggubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat.
13. Menukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja.
14. Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.
15. Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin.
16. Membatalkan undang-undang waris, faraid secara islam
17. Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin.
18. Mengganggap dirinya tuhan sama seperti firaun. Berlaku peristiwa apabila salah seorang askarnya ditanya “siapa tuhan dan di mana tuhan tinggal?” oleh kerana takut, askar tersebut menjawab ‘Kamal Atartuk adalah tuhan” beliau tersenyum dan bangga dengan jawapan yang diberikan oleh askar itu.

Kematian Kamal Ataturk Yang Menyeksakan

Di saat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia.

Antaranya ialah: 
1. Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki di mana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan.
2. Sakit jantung
3. Penyakit darah tinggi
4. Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau.

Maha suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang.Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka-mereka yang bertanggung jawab telah menghantar beliau ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk.

Allah itu Maha Besar, panasnya tak juga hilang! Pada 26 september 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas lalu dia sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan.

Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia. Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. Mayat ini diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turkimemandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya.

Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan. Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (susah jenazahnya hendak masuk ke liang lahad). Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan ke alam muzium yang diberi nama EtnaGrafi di Ankara selama 15 tahun (sehingga tahun 1953).

Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya. Habis ikhtiar, mayatnya dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan marmar beratnya 44 ton. Mayatnya ditanam di celah-celah batu marmar.

Apa yang menyedihkan, ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa “jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk!” Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Wednesday, May 16, 2012

Taubat Abi Mihjan At-Tsaqafi:

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KETIKA Islam diturunkan oleh Allah SWT, keadaan masyarakat Arab pada waktu itu telah berada pada keruntuhan sosial secara total. Kehidupan jahiliyah dan penyembahan berhala telah berhasil menghilangkan ajaran-ajaran Rasul Allah yang terdahulu. Seakan-akan sudah tidak lagi cahaya walau sedikit pun, yang dapat menerangi kehidupan mereka yang begitu kelam. 
 
Kehidupan mereka selalu diisi oleh moral yang buruk seperti minum khamr, pelacuran, merampas harta orang dengan cara batil, serta membunuh orang secara zalim dan segala perbuatan keji lainnya. Ja’far bin Abi Thalib sendiri menggambarkan krisis moral yang melanda bangsa Quraisy di masa jahiliyah di hadapan raja Najasyi, sebagai berikut, “Wahai raja, ketika kami masih hidup di zaman jahiliyah kami menyembah patung, senantiasa memakan bangkai, senang barang keji, kami putuskan tali kekeluargaan dan hubungan baik dengan tetangga dan kami selalu memusuhi orang yang lemah.”

Kemusyrikan dan kebiasaan-kebiasaan buruk tersebut telah menjadi budaya dan adat-istiadat selama berabad-abad, sehingga menjadi tradisi yang sulit dirombak. Akibatnya ketika seruan Nabi s.a.w. yang mengajak kepada ketauhidan dan akhlakul karimah dikumandangkan, tentangan-tentangan yang besar dan berat menghadang dengan dahsyatnya. Untuk merevolusi masyarakat yang demikian, tentunya memerlukan usaha dan pengorbanan yang besar serta proses waktu yang tidak sebentar.

Namun demikianlah kekuasaan Allah SWT telah membalikkan semuanya menuju cahaya Islam yang terang-benderang. Sedikit demi sedikit Nabi kemudian menanamkan aturan-aturan syariat Islam. Perbuatan zina yang dahulu menjadi tren, kini diharamkan dengan hukuman rajam. Minum khamr atau yang memabukkan lainnya pun diharamkan setelah melalui beberapa tahap, juga aturan-aturan lainnya.

Tentunya, aturan-aturan itu berlaku bagi semua orang tanpa pilih kasih, dan demikian halnya yang terjadi pada diri Abu Mihjan at-Tsaqafi. Sebelum masuk Islam, ia termasuk dari mereka yang dalam kehidupannya selalu mabuk, yakni minum khamr. Ketika Abu Mihjan mengikrarkan dirinya dengan menyatakan dua kalimah syahadah, ia masih sukar meninggalkan kebiasaannya yang buruk itu.

Abu Mihjan sendiri sebenarnya telah menyedari akan hal itu. Akan tetapi bagaimana pun kebiasaan buruk itu masih membayangi dirinya. Akibatnya berulang kali Abu Mihjan dikenakan hudud. Agama Islam memang sangat tegas dalam memberikan hukuman bagi mereka yang melanggar ketentuan. Tujuannya tidak lain adalah untuk menciptakan kemaslahatan dalam masyarakat.

Sampai akhirnya suatu ketika, Abu Mihjan ini dihukum penjara akibat perbuatan yang sama. Ia dipenjara oleh panglima Sa'ad bin Abi Waqqas, seorang sahabat yang gagah berani, muttaqin, shalih dan seringkali dipercaya Nabi untuk memimpin peperangan.

Ketika Abu Mihjan masih menjalani hukumannya di penjara, maka terjadilah perang Qadisiyyah antara tentera Islam melawan tentera kafir Parsi yang diketuai oleh panglima Rostum. Panglima Sa'ad bin Abi Waqqas pun pergi ke medan peperangan memimpin tentera Islam. Peperangan ini berlangsung dengan sangat sengitnya. Namun memang kekuatan kedua belah pihak sangat tidak berimbang. Pasukan Islam yang jumlahnya jauh lebih sedikit, semakin lama semakin tersepit dan terkepung. Khabar tentang terkepungnya kaum Muslimin ini pun tersebar, tidak terkecuali juga sampai ke pengetahuan Abu Mihjan at-Tsaqafi.

Abu Mihjan yang merasa dirinya telah banyak berbuat dosa, berkeinginan menebusnya dengan berbuat kebajikan. Kemudian Abu Mihjan mengirim surat kepada isteri Sa'ad yang isinya minta agar dibebaskan sekadar diperbolehkan untuk ikut berperang dan nanti dia akan kembali ke penjara itu segera.

Isteri Sa'ad yang menerima surat itu segera mendatangi tahanan Abu Mihjan. Ia meminta penjelasan kepada Abu Mihjan tentang maksud dan pernyataannya itu. Setelah melihat kesungguhan dan tekad Abu Mihjan, ia meminta sumpah Abu Mihjan dan membebaskannya. Abu Mihjan pun berjanji, “Demi Allah yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, saya tidak akan lari.”

Setelah itu Abu Mihjan maju ke depan medan pertempuran dengan naik kuda dan pedang yang terhunus. Abu Mihjan bertempur tanpa ada rasa gentar sedikit pun. Di dalam benaknya tidak ada tujuan lain selain syahid. Akhrinya dalam peperangan itu Abu Mihjan berhasil mengkucar-kacirkan musuh hingga Allah memberikan kemenangan pada kaum Muslimin.

Setelah peperangan selesai, Abu Mihjan segera menepati janjinya. Ia kembali ke penjara dan seketika itu juga mengikat kakinya seperti sediakala. Dengan begitu, siapa pun pasti tidak akan menyangkanya bila ia baru saja dibebaskan.

Sewaktu Sa'ad kembali ke rumah dia ditanya oleh isterinya, “Bagaimanakah keadaan peperangan hari ini?”

“Semula jalannya peperangan kaum Muslimin tersepit oleh pasukan musuh. Namun Allah mengutus seorang yang serupa dengan Abu Mihjan. Demi Allah jika saya tidak menahan Abu Mihjan pasti kusangka Abu Mihjan ikut berperang. Dan orang itu mengkucar-kacirkan barisan musuh sampai mereka mendapatkan kekalahan.”

Isteri Sa'ad yang mendengar jawaban dari suaminya itu hanya tersenyum. Ia selanjutnya menceritakan dengan sebenarnya kejadian Abu Mihjan yang telah dipenjarakannya itu. Sa'ad yang mendapat keterangan dari isterinya ini pun kagum dan tidak mampu menyembunyikan rasa terharunya.

Tapa berpikir panjang, dia terus menuju ke tahanan Abu Mihjan. Setelah Sa'ad memberitahukan penjelasan isterinya dan Abu Mihjan mengakuinya, Sa'ad membebaskan tahanannya itu.

Abu Mihjan juga berjanji, “Aku tidak akan minum khamr lagi.” Pahlawan perang Qadisiyyah itu menepati janjinya selamanya.

Hukum Memotong Kuku Ketika Berjunub

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



DISEBUTKAN dalam kitab al-Iqna' Fi Hal Alfaz Matn Abi Syuja' iaitu kitab fiqh mazhab Syafi'i bahawa Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitabnya Ihya' Ulum al-Din: "Tidak boleh seseorang bercukur, mengetip kuku, menipiskan bulu, mengeluarkan darah atau memutuskan mana-mana bahagian daripada badannya sedangkan dia berjunub kerana kesemua itu akan datang pada hari akhirat dalam keadaan berjunub." Ada pendapat mengatakan bahawa setiap bulu tadi akan menuntut daripada tuannya kerana ia masih belum suci.

Bagaimanapun, pendapat ii tidak mempunyai dalil yang menyebutkan larangan perbuatan tersebut ketika dilakukan semasa berjunub, juga tiada dalil menyebutkan bahawa bahagian-bahagian anggota badan itu akan membuat tuntutan daripada tuannya pada hari akhirat. Soalan yang sama telah ditanyakan kepada Ibnu Taimiyah, maka beliau menjawab: "Telah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. bahawa apabila dikatakan kepada Baginda tentang junub, Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang Mu'min tidak najis samada dalam keadaan dia hidup atau meninggal dunia." Ibn Taimiyah berkata lagi: "Saya tidak mendapati suatu dalil di sisi syara' pun tentang larangan memotong bulu dan mengetip kuku bagi orang yang berjunub."

Bahkan, Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Buanglah darpadamu rambut kekufuran (penampilan orang kafir) dan berkhatankah." Baginda memerintahkan orang yang baru memeluk Islam supaya melakukan perkara tersebut, dan tidak menyuruhnya melambatkan khatan dan membuang bulu sehingga orang itu selesai mandi.

Hadis Baginda s.a.w. ini juga menandakan bahawa dua perkara ini dibolehkan, sama juga keadaannya apabila wanita yang didatangi haid disuruh supaya menyikat rambutnya sedangkan ia boleh menggugurkan sebahagian rambut. Maka, daripada dalil tadi dapat disimpulkan bahawa perbuatan itu bukanlah sesuatu yang dilarang. Manakala apa yang telah disebutkan tentang larangannya sebelum ini sebenarnya tidak mempunyai dalil.

Ata' berkata: "Orang yang berjunub boleh berbekam, mengetip kukunya, mencukur rambutnya walaupun dia tidak berwudhu'." [Riwayat Imam al-Bukhari]

Oleh itu, tidak ada larangan mencabut, memotong bulu dan mengetip kuku semasa berjunub. dan perbuatan itu juga tidak membatalkan wudhu'. Wallahua'lam.

(petikan daripada kitab Fatwa Ahsanul Kalam yang dikarang oleh Syeikh 'Athiyyah Saqr)

Tuesday, May 15, 2012

Katak Dipanaskan Kiasan Kepada Masalah Murtad

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEEKOR katak dicampakkan ke dalam bekas berisi air yang mendidih, ia akan segera melompat keluar kerana kepanasan. Tetapi sekiranya katak itu dimasukkan ke dalam bekas air yang sejuk dan kemudiannya air itu dipanaskan perlahan-lahan, katak tadi tidak akan segera melompat. Ia tidak akan perasan bahawa iar itu semakin panas dan akan selesa berada dalam kepanasan itu. Tanpa disedarinya, akhirnya ia akan mati kepanasan apabila suhu mencapai 100 darjah centigred.

Umat Islam kini bagai katak yang dipanaskan. Kita tidak akan diseret kepada kemurtadan secara mendadak. Tetapi kita diajak meninggalkan cara hidup (Addin) Islam sedikit demi sedikit. Kita tidak akan sedar, bahkan kita akan terus selesa. Tanpa menukar agama atau nama, tetapi hanya dengan menukar cara hidup. Tanpa kita sedari, seperti katak yang dipanaskan. Inilah yang disebutkan dalam hadis bahawa umat Islam akan mengikut mereka sedikit demi sedikit, bukan dengan cara mendadak.

Sekarang ada pihak yang heboh kononnya hendak membela 'aqidah Islam dan amat membenci musuh Islam. Tetapi cara hidup mereka pun sama dengan musuh yang mereka benci itu.

Oleh yang sedemikian, seandainya ada perasaan kasih dan cinta kita pada 'aqidah Islam, maka kita perlulah kembali kepada cara hidup (Addin) Islam barulah kita akan mampu untuk mempertahankan 'aqidah Islam dan menghalang gejala murtad dari merebak di kalangan umat Islam.

Monday, May 14, 2012

Bagaimana 'Aqidah Umat Islam Dirosakkan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

RAMAI yang mempunyai pemahaman bahawa gerakan 'missionary kristian' semakin berjaya memurtadkan umat Islam. Sebenarnya ukuran kejayaan gerakan tersebut bukanlah berdasarkan kejayaan mereka memurtadkan umat Islam. Itu hanyalah boleh dianggap sebagai bonus kepada mereka. Ukuran kejayaan sebenar mereka adalah cukup sekadar umat Islam meninggalkan cara hidup (Addin / The Way Of Life) Islam. Tidak perlu tukar agama dan nama, tetapi hanya cukup dengan tukar cara hidup dari cara hidup secara Islam kepada cara hidup yang bertunjangkan nafsu.

Gerakan itu juga tidak terlalu laju dalam kegiatan memurtadkan umat Islam, tetapi yang sebenarnya adalah gerakan da'wah Islamlah yang bergerak terlalu perlahan. Oleh kerana kita bergerak amat perlahan, maka terasalah mereka bergerak laju. Cuba kita bergerak lebih laju, maka mereka akan kelihatan perlahan dan pasti akan jauh terkebelakang.

Bagaimana 'Addin' Islam Ditinggalkan





Cuba kita lihat cara umat Islam sekarang berpakaian, bergaul, berhibur, bercakap dan bertindak. Apakah mengikut cara hidup Islam? Kita tengok pula ibadah kita. Kajian menunjukkan sudah hampir 80% umat Islam meninggalkan solat. Ramai yang mendedahkan aurat atau tidak menjaganya. Bergaul bebas dan budaya hidup berseronok dan berhibur hebat dipromosikan di sana-sini termasuklah oleh media-media kita sendiri tanpa ada sekatan dari pemerintah atau penguasa.

Secara langsung atau tidak, bila umat Islam mula lupa nilai-nilai akhlaq dan melanggar syari'at, mereka sebenarnya sedang menjejaskan prinsip 'aqidah. Bila ini berjaya dilaksanakan maka mudahlah umat Islam untuk dimurtadkan.

Orang yang obses atau gila dengan hiburan dan kebendaan tidak akan sempat berfikir nasib agamanya. Inilah racun yang meruntuhkan semangat Islam kalangan remaja Arab di Timur Tengah dan di mana-mana sahaja tidak terkecuali di negara kita.

Fatwa Ulama' Mu'tabar Tentang Hukum Mencium Tangan Seseorang

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


IMAM IBNU HAJAR AL-ASQALANI telah menakwil pendapat Imam Nawawi sebagai berikut :

قالَ الاِمَامْ النَّوَاوِيْ : تقبِيْلُ يَدِ الرَّجُلِ ِلزُهْدِهِ وَصَلاَحِهِ وَعِلْمِهِ اَوْ شرَفِهِ اَوْ نَحْوِ ذالِكَ مِنَ اْلاُمُوْرِ الدِّيْنِيَّةِ لاَ يُكْرَهُ بَل يُسْتَحَبُّ.

Ertinya : Imam Nawawi berkata : mencium tangan seseorang kerana zuhudnya, kebaikannya, ilmunya, atau kerana kedudukannya dalam agama adalah perbuatan yang tidak dimakruhkan, bahkan hal yang demikian itu disunahkan. 
Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Bajuri dalam kitab “Hasyiah”,juz 2,halaman.116.

2. Imam al-Zaila’i
Beliau berkata :

(يَجُوْزُتقبِيْلُ يَدِ اْلعَالِمِ اَوِ اْلمُتَوَرِّعِ عَلَى سَبِيْلِ التبَرُكِ…

Ertinya : (dibolehkan) mencium tangan seorang ulama dan orang yang wara’ kerana mengharap barakahnya.

Syaikh al-Albani berpendapat dalam mencium tangan orang alim itu perlu mematuhi beberapa adab:
i) Tidak boleh mencium tangan orang alim jika dia menghulurkan dgn sombong
ii) Tidak terbukanya jalan ke arah cuba mendapat tabarruk (berkah)
iii) Tidak menjadikan sebagai adat kebiasaan (sering dilakukan)
iv) Dia tidak mengingkari lebih utama berjabat salam
v) Tidak boleh meletakkan tangan ke dahi

Namun, sekiranya (cium tangan) kerana kekayaan seseorang, pangkat atau status di mata manusia di dunia ini dan sebagainya ianya adalah makruh. [Lihat juga al-Azkar an-Nawawi, ms. 262]

Sunday, May 13, 2012

Yuran Sekolah Agama Kelantan: Awang Adek Fikir Rakyat Kelantan Bodoh Ke?

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
PRU13: BN Janji Mansuh Yuran Sekolah Agama Kelantan
 
BACHOK - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan akan memansuhkan yuran pengajian sebanyak RM190 setahun yang dikenakan kepada murid sekolah agama di Kelantan sekiranya diberi peluang memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, yuran yang dikenakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) ketika ini sangat membebankan golongan ibu bapa.

"Kita berjanji akan memansuhkan yuran berkenaan, jika diberi kepercayaan (memerintah)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok di Pangkalan Petah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan ibu bapa yang terpaksa menanggung bayaran yang tinggi untuk anak mereka yang sedang belajar di sekolah agama.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata selain memansuhkan yuran itu, kerajaan BN juga berjanji untuk menaikkan taraf sekolah agama rakyat di negeri itu yang dalam keadaan kekurangan.

Beliau berkata ini termasuk gaji guru dan kakitangan yang kini agak rendah dan tidak diberi taraf pencen walaupun telah berkhidmat lebih 20 tahun.

Ramai di kalangan mereka telah mengadu kepadanya mengenainya dan saya sangat bersimpati dengan nasib mereka, katanya. - Bernama (Sinar Harian)

Komen:- Penulis ada seorang anak yang sedang belajar di sebuah sekolah agama kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). Penulis hanya dikenakan bayaran yuran tahunan sebanyak RM145 setahun bukannya RM190 seperti dakwaan Awang Adek dan pada pendapat penulis, jumlah RM145 tersebut tidaklah menjadi suatu beban dan ianya adalah satu saham akhirat untuk bekalan anak-anak.


Penulis memahami bahawa YIK bukanlah suatu agensi yang mendapat bantuan dari kerajaan persekutuan maka yuran yang dikenakan tersebut adalah munasabah untuk menampung pelbagai kos yang terpaksa ditanggung oleh YIK. Namun begitu, YIK tidak dilupakan oleh kerajaan negeri Kelantan sekarang ini kerana Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PAS tetap memberikan peruntukan tahunan kepada YIK untuk membantu operasi YIK.


Kita juga seharusnya sedar dan tidak lupa, siapa yang menyekat bantuan tahunan sekolah-sekolah agama rakyat. Bukannya PAS yang menyekat bantuan tersebut tetapi Umno BN lah yang zalim tersebut. Jadi kalau selama ini, Umno yang menyekat bantuan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), maka apa rasionalnya janji-janji Awang Adek untuk memansuhkan yuran tahunan tersebut?


Terus terang penulis katakan bahawa penulis tidak percaya langsung dengan janji-janji yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Umno termasuklah Awang Adek. Pada pendapat penulis, janji-janji Awang Adek itu adalah janji-janji menjelang pilihanraya yang akan dilupakan apabila selesai pilihanraya walaupun parti racist tersebut diberi mandat oleh rakyat. Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada seluruh pengundi di Kelantan agar tidak menggadaikan masa depan anak-anak kita dan janganlah memberikan undi kepada golongan yang menipu untuk mendapat keuntungan dunia semata-mata.

p/s:- Yuran RM190 setahun korang bising. Rokok RM10 sehari tak pulak nak memekak. RM10 sehari, kalau sebulan dah RM300. Kalau setahun dah berapa korang belanjakan? Bangang!!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...