بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
SETIAP apa yang dihukumkan sebagai haram oleh Allah SWT ada sebab dan musababnya. Semuanya ada dalam pengatahuan Allah SWT yang bersifat Maha Mengetahui. Ianya termasuklah hukum meminum arak atau apa sahaja benda-benda yang memabukkan. Apabila telah dihukumkan Allah SWT sebagai haram, maka tidak ada alasan lagi bagi kita sebagai hamba untuk menghalalkannya.
Padah enggan habiskan baki arak
Kuala Lipis: Akibat gagal mengawal emosi selepas mabuk, seorang lelaki bertindak luar dugaan apabila mencekik leher sebelum menghantuk kepala rakannya ke dinding dalam kejadian di Kampung Kenit, Pos Betau, di sini, Rabu lalu.
Akibat hantukan itu, mangsa, Kassim Bah Litap, 34, dari Kampung Kenit, di sini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh, kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penoreh dipelawa seorang rakannya berusia 24 tahun datang ke rumah kira-kira jam 9 malam.
Difahamkan, ketika minum sambil berborak, mangsa dipercayai mendesak rakannya supaya menghabiskan baki arak dalam tin tetapi rakannya itu enggan kerana terlalu mabuk.
Bagaimanapun, mangsa terus mendesak membuatkan rakannya berang sebelum bangun dan mencekik leher dan dan menghantuk kepala mangsa ke dinding.
Ketua Polis Daerah, Supritenden Abdul Razak Hassan berkata, selepas dihantuk beberapa kali ke dinding, mangsa yang berdarah hidung terduduk tanpa berkata apa-apa sebelum meminta izin pulang ke rumah, kira-kira jam 12 tengah malam.
"Sebaik tiba di rumahnya, mangsa terus masuk ke bilik dan tidur sebelum dikejutkan isterinya kira-kira jam 10 pagi," katanya di sini, semalam.
Bagaimanapun, suri rumah terbabit menyedari mangsa sudah tidak sedarkan diri dan isterinya itu menemui kesan darah beku pada hidung suaminya.
Susulan, itu suri rumah terbabit memaklumkan kepada ibu mertuanya sebelum menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Betau untuk pemeriksaan.
Abdul Razak berkata, mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk rawatan lanjut namun dikejarkan ke Hoshah, Temerloh atas nasihat pakar perubatan.
"Bagaimanapun, polis mendapat panggilan daripada Hoshah, jam 5 petang kelmarin mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat kecederaan di kepala," katanya.
Menurutnya, susulan kejadian itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) membuat serbuan di rumah suspek sebelum menahannya yang sedang berehat di ruang tamu.
Katanya, pada masa yang sama, polis merampas beberapa bahan bukti termasuk 10 tin minuman keras yang ditemui dalam rumah suspek sebelum dibawa ke IPD.
Kes terbabit yang pada asalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan tetapi ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
No comments:
Post a Comment