Powered By Blogger

Monday, September 5, 2011

Tok Janggut. Fakta Yang Tidak Diketahui

SEBELUM ini, Minda Penulis ada menyiarkan artikel berkenaan kisah sejarah perjuangan seorang pejuang menentang penjajahan Kolonial British di Kelantan iaitu Tok Janggut. Namun begitu artikel berkenaan adalah berdasarkan sejarah yang Minda Penulis belajar sewaktu masih di bangku sekolah lagi dan fakta-fakta yang terdapat di dalam sejarah tersebut sebenarnya masih tidak lengkap dan masih ada fakta yang tidak diketahui ataupun cuba disembunyikan dari pengetahuan. (Rujuk link:- http://nasronhashim.blogspot.com/2011/07/tok-janggut-1853-25-jun-1915.html)

Tok Janggut atau nama sebenar beliau Haji Hassan bin Panglima Mat Munas merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi di mata sejarawan-sejarawan tempatan. Seorang pejuang yang gugur syahid dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan Islam.

Lebih dikenali dengan nama Tok Janggut dikatakan kerana janggut panjangnya. Mungkin nama Tok Janggut ini sengaja dipopularkan berbanding dengan nama asal beliau kerana ia adalah satu strategi penjajah British untuk menenggelamkan atau menyembunyikan unsur-unsur jihad yang diperjuangkan oleh beliau.

Isu 1: Ada apa dengan haji?.. Bilamana disebutkan nama seseorang itu bermula dengan Haji, contohnya Haji Wan, akan terbayang kepada kita wajah seorang pakcik yang tenang wajahnya, berkopiah, dan sedang senyum ke arah kita. Satu bayangan atau persepsi yang dirasai oleh semua orang tanpa perlu diajarkan kepada mereka. Kesamaan universal!

Mungkin ada yang kurang faham sejauh mana peranan seorang yang dikenali sebagai Haji dalam kebangkitan masyarakat dalam perjuangan menentang penjajah. Untuk melihat impak Haji ini, kita kena terjun dan menyelami situasi masyarakat nusantara pada ketika itu. Haji ketika itu dikenali sebagai satu fenomena! Fenomena Haji AMAT DITAKUTI oleh penjajah sehingga memaksa seorang orientalis Belanda yang tersohor, Dr. Christian Snouck Hugronje menjalankan satu penyelidikan khusus bagi mendalami amalan agama dan adat budaya masyarakat setempat (Acheh).

Hasil dari penyelidikan Snock Hugronje, beliau mengatakan: “Belanda tidak perlu takut kepada pengaruh Haji Indonesia kerana mereka hanya pulang dengan serban, iaitu simbol Haji semata-mata dan tidak semestinya bersikap benci kepada orang kafir. Tetapi jika mereka pulang dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai satu cara hidup lengkap, termasuk politik (siasah) maka kelompok haji ini mesti diawasi oleh pihak penguasa….”

Hebatnya pengaruh Haji ini sehinggakan British mengeluarkan arahan memaksa Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah perintah melarang rakyat (yang di kalangannya terdapat ramai ulama) menyokong kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malah British juga memaksa mufti Kelantan ketika itu mengeluarkan satu surat sokongan menyokong kerajaan British dalam peperangan!

Ringkasnya kita dapat simpulkan yang nama Haji Hassan itu sahaja sudah cukup untuk menggerunkan British ketika itu!

Isu 2: Cukai yang ingin dikenakan oleh penjajah British.. Di bangku sekolah dahulu, kita diajar bahawa kebangkitan Tok Janggut adalah disebabkan oleh cukai yang tidak munasabah semata-mata. Sebelum pergi dengan lebih jauh lagi, syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak kementerian kerana hari ini fakta tersebut telah diperbetulkan!

Sultan Mansur merupakan Sultan Kelantan yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Sultan Mansur merupakan seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda termasuk umara’ (pemerintah) yang mendampingi ulama'. Antaranya adalah, Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim @ Syed Muhammad bin Syed Alwi (juga seorang haji), Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat. (Perhatikan kaitan Haji dan ulama!!!)

Sultan Mansur telah menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang SYARAK dalam acara guaman sama ada jenayah ataupun mal. Selain perlaksanaan undang-undang hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat.

Sesungguhnya, zaman Sultan Mansur merupakan suatu zaman gemilang dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan keagamaan rakyat negeri Kelantan. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar...

Kelantan menerima pengaruh British yang bertindak sebagai penasihat semenjak tahun 1903 namun British terlibat secara lansung dalam pentadbiran Kelantan selepas 1910 setelah Kelantan membantah Perjanjian British-Siam 1909.

Campurtangan British dalam pentadbiran Sultan Muhammad IV menyaksikan British memperkenalkan peraturan baru. Antaranya adalah Sistem Pemilikan Tanah Torrens! Bilamana sistem ini diperkenalkan, secara automatiknya ia menolak undang-undang tanah tradisional Melayu.

Apa undang-undang tanah tradisional Melayu? Buka mata kita.. Ketahuilah semua bahawa undang-undang tanah tradisional Melayu adalah undang-undang tanah yang mengikut syariat ISLAM!!, iaitu berdasarkan prinsip ihya(usaha) dan thajir(tanda). Maka pengenalan sistem tanah baru yang hendak diperkenalkan oleh penjajah British sekaligus MENOLAK undang-undang Islam!

Sahabat-sahabat sekalian, kalau sekarang ini bilamana PAS menyuarakan keinginan untuk melaksanakan Hudud, kala itu sudah ada penyokongnya kerana mereka sudah tahu keberkesanannya. Apatah lagi reaksi masyarakat yang ketika itu sememangnya HIDUP di bawah perlaksanaan hukum Islam (Zaman Sultan Mansur), lalu tiba-tiba ingin dihapuskan! Maka ketahuilah sahabat-sahabat semua, perjuangan Tok Janggut dan kawan-kawan bukan setakat menentang cukai yang tinggi tapi yang lebih penting daripada itu adalah perjuangan MENENTANG PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Saat itu menyaksikan rakyat membantah kehendak British ini. Surat-surat bantahan dihantar oleh rakyat kepada pihak berkuasa. Salah satunya, datang dari penduduk Kampung Cherang Tuli. Kampung Cherang Tuli merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dalam kebangkitan ini. Nah, lihatlah sendiri, penentangan ini BUKAN penentangan cukai semata-mata, tapi PENENTANGAN PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Isu 3: Kebangkitan peribadi.. Terima kasih kepada Prof Nik Anuar Nik Mahmud di atas kupasan yang cukup menarik dalam isu ini. Mungkin ada yang mengatakan kebangkitan Haji Mat Hassan ini lebih bersifat individu, kebangkitan untuk meraih kepentingan sendiri semata-mata. Atau mungkin ada yang berpendapat pemberontakan ini hanya berpunca dari kekecewaan pembesar daerah mengenai kekuasaan dan kedudukannya.

Tok Janggut pada ketika itu berusia 65 tahun. Ulangan, 65 tahun. Apakah seorang yang sudah berusia sanggup melawan British yang sangat berkuasa itu atas dasar kepentingan diri semata-mata? Bukankah harga yang perlu dibayar dengan menentang British jauh lagi MAHAL berbanding harga cukai tinggi yang dikenakan!

Sahabat,
British punya angkatan tentera yang tidak usah dicerita akan ramainya. Punya puluhan kapal-kapal perang yang sedia membedil mereka-mereka yang menentang. Tapi mereka yang memberontak di Pasir Puteh ini memiliki apa? Mereka tidak ada kapal perang. Mereka tidak ada bedil-bedil atau senapang-senapang secanggih askar British. Mereka tidak punya angkatan tentera yang ramai. TAPI MEREKA MEMILIKI SEMANGAT JIHAD FISABILILLAH!!

Semangat inilah yang dibuktikan oleh Khatib Abu Bakar yang berdepan dengan tentera Inggeris berbangsa Sikh tanpa rasa gementar dan takut sedikit pun. Beliau hanya bersenjatakan sebilah golok!

Pemberontakan di Pasir Puteh ini adalah sebagai satu respon di atas tindakan British yang kurang ajar. Ia hanya bersifat lokaliti semata-mata dan tidak tersusun.” Pendapat ini mesti ditolak atas beberapa alasan:

1. Seruan Jihad
Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-I Ekbar Fardi Ayn terhadap British dan sekutu-kutunya pada 14 November 1914. Sebagai reaksinya, British telah mengeluarkan enakmen MELARANG akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dengan Turki Utmaniyyah pada 21 November 1914. Pemberontakan Tok Janggut adalah pada 1915.

Jadi macam mana seruan jihad ini boleh sampai di Tanah Melayu? Pertama-tamanya, mari kita melihat siapa itu Haji Hassan.

Tahukah anda Haji Mat Hassan pernah menuntut di Mekah dan berguru dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani. Haji Mat Hassan pulang dari Mekah pada tahun 1910. (Rujuk tulisan atas untuk melihat apa yang terjadi di Kelantan pada 1910)

Siapa pula Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani? Beliau merupakan guru kepada hampir seluruh ulama nusantara ini! Ringkasnya Syeikh Ahmad ini merupakan pengasas kepada persatuan orang Melayu iaitu Jami’yatul Fathaniyah di Mekah dan dilantik oleh Sultan Abdul Hamid II sebagai Ketua Jawatankuasa Percetakan Kerajaan Othmaniyyah. Malah beliau juga dianugerahkan kerakyatan Uthmaniyyah pada 1889.

Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani –> Tuan Haji Mat Hassan

2. Sebelum pemberontakan di Kelantan ini, telah berlaku beberapa siri pemberontakan:  
1833, Vietnam(Champa) – Gerakan pembebasan oleh Katip Sumat. Katip Sumat ini adalah nama yang telah mengalami evolusi, asalnya Katip Sumat ini merujuk kepada Khatib Abdul Samad!
Akhir abad ke-19, Indonesia – Cetusan gerakan kesedaran Gerakan Pan-Islamismee oleh Konsul Sadik Bey dan Duta Muhammad Kamil Bey.
1915, 15 Februari, Singapura – Askar-askar Indian Muslim dari pasukan 5th Light Infantry, di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah, Imam Masjid Kampung Jawa telah memberontak sebagai menyahut seruan jihad Turki Uthmaniyyah.

3. Pemberontakan Singapura
Pemberontakan di Singapura menjadi topik perbincangan orang-orang Melayu di Kelantan. Calvert Wells, seorang pegawai British di Kelantan mencatatkan:
“…the Malays in Pasir Mas were said to be discussing the Singapore comutiny before the news was known to the Kelantan Government.”

4. Usaha British
Selain dari memaksa Sultan mengeluarkan titah untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya, British juga mengarahkan kapal H.M.S Calmus mengawal Kuala Semerak. Mengapa harus mengawal perairan? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghalang bantuan asing tiba. Bantuan asing itu merujuk kepada siapa? Fikir-fikirkan!

5. Waktu pemberontakan berlaku
Pemberontakan yang dipimpin oleh Tok Janggut ini berlaku pada bulan April. Apa yang uniknya bulan April ini?

Kebiasaanya, pada bulan April, padi telah dituai. Masyarakat pada bulan ini dan beberapa bulan seterusnya hanya melakukan kerja-kerja ringan seperti berkebun dan mengutip hasil-hasil hutan. Maka dengan kata lain, gerakan pada bulan ini tidak akan membantutkan perkembangan ekonomi masyarakat setempat! Adakah ini masih lagi belum menunjukkan ketersusunan gerakan ini?

Cantiknya sewaktu pemberontakan ini berlaku, pentadbiran kolonial di Kelantan sedang berdepan dengan beberapa masalah. Antaranya adalah masalah kewangan yang teruk sehingga menyebabkan gaji kakitangannya tertunggak beberapa bulan.

6. Sultan yang misteri
Walaupun dijelaskan yang Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah supaya rakyat Kelantan menyokong British, namun itu hanya dibuat atas dasar keterpaksaan. British tidak mempercayai Sultan Kelantan, lantaran itulah British bertindak mengerahkan askar mereka untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya. Asalnya, urusan pemberontakan ini diminta diselesaikan oleh Sultan.

Sultan Muhammad pernah mengatakan tentera Jerman mesti menang dalam peperangan dengan British. Tentera Jerman adalah sekutu Turki!

Malah, menurut Wells, ketika beliau sedang mengukur keluasan Sungai Kelantan dengan tujuan untuk membina stesen kereta api di tebing sebelah Kota Bharu. Ketika itu, Sultan Terengganu mudik dari kuala ke Kota Bharu. Kapal Sultan Terengganu telah melanggar bot peralatan mengukur Wells dan salah satu bot yang digunakan terbalik meskipun Wells telah berusaha supaya kapal Sultan itu mengelaknya. Sultan Terengganu tersenyum sahaja ketika kapalnya bertindak demikian. Wells juga mengatakan yang Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu selalu bertemu dan kedua-duanya tidak menyukai British!

Nah, sudah terang lagi bersuluh akan keteraturan gerakan ini sebenarnya. Sesungguhnya gerakan menentang penjajah di Nusantara ini bukanlah gerakan yang semborono tanpa melibatkan perancangan yang teliti, cuma kita sahaja yang buta! Buta kerana sejarah kita ditulis untuk memenangkan satu pihak sahaja. Sejarah kita ditulis untuk mengagungkan pihak-pihak tertentu sahaja.

Artikel ini disalin dengan sedikit pengubahsuaian dari artikel http://pencacai-semalaysia.blogspot.com/2011/09/ni-dia-cerita-sebenar-tok-janggut.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2Frcyiu+%28Pencacai+SeMalaysia%AE%29

2 comments:

Marzuki Yusoff said...

7. Sultan yang misteri

Walaupun dijelaskan yang Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah supaya rakyat Kelantan menyokong British, namun itu hanya dibuat atas dasar keterpaksaan.

Pernah saya diberitahu oleh Arwah Datuk Saudara saya yang mengatakan bahawa Hj Mat Hassan (Tok janggut) sebenarnya tidak mati dibunuh Polis British, sebaliknya atas titah Sultan, diarak mayat orang lain atas kereta lembu ke Kota Bharu bagi menunujukkan kepada British bahawa Hj Mat Hassan telah tumpas. Beliau (Datuk Saudara) juga mengikut kereta lembu itu berarak.

Hj Mat Hassan dikatakan menghilangkan diri selepas itu.

Wallahualam

SURAU-ISTIQAMAH said...

katanya beliau telah tercedera semasa peperangan yang dikatakan meragut nyawa beliau, beliau telah dibawa dalam keadaan tercedera untuk bersembunyi di Negeri sembilan. Beliau kemudiannya berkahwin dan telah hidup sehingga 1969...wallahuallam.. P/S boleh sesiapa mengesahkan perkara ini?..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...