PRESIDEN Perkasa, Ibrahim Ali dalam satu kenyataan kepada media dilaporkan sebagai memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menggunakan sejarah sebagai senjata kepentingan sendiri, apatah lagi cuba untuk memesongkannya.
Dalam peringatan tersebut, beliau membidas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengatakan polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Bukit Kepong pada tahun 1950 sebagai bukan pejuang kemerdekaan sebenarnya di samping kenyataan bahawa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Dato' Onn Jaafar sebagai pegawai British.
Ibrahim juga turut mengambil kesempatan membidas Profesor Datuk Dr. Zainal Kling yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British sebagai bercakap semata-mata mahu tunjuk pandai.
Minda Penulis tidak berminat untuk mengulas serangan atau kritikan Ibrahim kepada Mat Sabu mahupun Zainal Kling. Cuma apabila Ibrahim mengkritik kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan Zainal Kling dan rakan-rakan dalam Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai orang yang tidur dalam gua yang mana Ibrahim menyifatkan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai bercelaru, itu yang menimbulkan minat Minda Penulis untuk beri sedikit ulasan.
Dalam kritikan Ibrahim terhadap ulasan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, beliau mempertikaikan kelayakan untuk bercakap soal sejarah kerana dakwa Ibrahim, Menteri Besar Kelantan itu tidak belajar di sekolah melayu sebaliknya hanya tiga bulan belajar di Sekolah Kedai Lalat, kemudiannya pada 1952 ke India dan 1957 ke Lahore. Jadi atas alasan itu, Ibrahim menyifatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak tahu sejarah.
Minda Penulis ingin ulas kritikan Ibrahim mengenai kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa Zainal Kling tidur dalam gua. Sebenarnya kalau difahami apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tidak timbul bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz kata Zainal Kling tidur dalam gua. Apa yang diperkatakan oleh beliau ketika disoal oleh wartawan ialah Zainal Kling dan MPN hanya 'DISIFATKAN' seperti tidur dalam gua.
Apa yang disifatkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebenarnya ada kebenarannya kalau difikirkan dengan mendalam. Cuba kita lihat peristiwa pemuda Ashabul Kahfi sepertimana yang diceritakan di dalam al-Qur'an. Dalam kisah tersebut, tujuh orang pemuda yang mempertahankan iman mereka telah melarikan diri dari buruan raja yang zalim dan bersembunyi di dalam sebuah gua. Allah SWT kemudiannya menidurkan kesemua pemuda yang beriman tersebut selama beratus-ratus tahun dan apabila disedarkan kembali oleh Allah SWT, kenyataannya kesemua pemuda tersebut tidak tahu langsung apa yang telah berlaku di luar gua tersebut.
Mengambil iktibar dari kisah tersebut, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengkiaskan Zainal Kling dan MPN sebagai orang yang tidur dalam gua kerana dalam tempoh hanya tidak sampai 60 tahun selepas Tanah Melayu diisytiharkan merdeka, Zainal dan rakan-rakannya sudah tidak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku pada Tanah Melayu.
Oleh yang demikian, Minda Penulis tidak nampak sebarang cacat cela atau celaru pada kenyataan berbentuk kiasan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Mengulas mengenai kenyataan Ibrahim yang mempertikaikan kelayakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk bercakap dalam soal sejarah, Minda Penulis tidak nampak di mana perlunya seorang yang ingin bercakap soal sejarah mesti diwajibkan untuk bersekolah di sekolah Melayu. Pada pandangan Minda Penulis itu sebenarnya tidak perlu bahkan sekiranya seseorang itu tidak pernah bersekolah sekalipun, orang itu layak untuk bercakap soal sejarah asalkan orang itu tahu apa yang diperkatakannya. Itu sudah cukup memadai.
Mungkin Ibrahim lupa, bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilahirkan pada tahun 1931. Oleh yang demikian, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah tentulah hidup pada zaman penjajahan British dan semasa Tanah Melayu ini diisytiharkan merdeka, perlu diingat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berusia 26 tahun. Satu umur yang sudah cukup matang untuk seseorang itu berfikir dan membuat penilaian.
Oleh yang demikian, tuduhan Ibrahim bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak tahu sejarah adalah merupakan satu tuduhan yang tidak berfakta dan dibuat kerana seorang yang dipanggil Tuan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sudah dikuasai dengan perasaan hasad dengki dan busuk hati yang sudah membarah menjadi suatu barah yang sudah berada pada tahap yang terakhir serta hanya menanti masa saja untuk kembali kepada Yang Maha Esa. Dan yang sebenarnya, Ibrahim Ali lah yang bercelaru pemikiran.
No comments:
Post a Comment