Powered By Blogger

Wednesday, September 21, 2011

Miss Bikini Malaysia: Penjelasan Mufti Dan MB Perak Dituntut

IPOH, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Perak menuntut penjelasan Menteri Besar Perak, dan Mufti  berhubung penganjuran Pertandingan Full Moon Beach Party (FMBP) yang bakal diadakan di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober nanti.

Program itu juga difahamkan turut akan mempertandingkan Miss Bikini Malaysia.

Setiausahanya, Salman Saleh berkata pihaknya terkejut apabila penganjuran itu turut diiklankan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan juga dipromosikan melalui laman sosial Facebook.

"Jesteru itu, kami menuntut penjelasan berikutan sudah tersebarnya hebahan pertandingan tersebut yang jelas amat memalukan.

"Kami juga amat kecewa kerana ianya diadakan di kawasan (Menteri Besar) Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang kini sebagai orang nombor satu negeri Perak dan memegang portfolio agama Islam," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, program pelancongan ini yang di bawah kendalian Datuk Hamidah Osman perlu peka dan sensitif terhadap perkara ini.

"Kami juga memohon Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri (Dr) Haji Harussani Zakaria agar memberikan nasihat kepada Kerajaan Negeri Perak di dalam isu ini," desaknya.

Beliau juga mahu program tidak bermoral tersebut dibatalkan dengan kadar segera.


Komen Minda Penulis:- Artikel ini, Minda Penulis rakam dari facebook Harakahdaily. Sebagaimana lazimnya, ada yang memberikan komen terhadap artikel tersebut. Namun begitu, Minda Penulis rasa amat kecewa bilamana ada antara pengunjung Harakahdaily memberikan komen yang merapu, tidak bertanggungjawab dan tidak langsung membina. Senang kata, komen tersebut adalah komen yang bodoh.

Minda Penulis merasa amat kecewa dengan komen dari seorang pengunjung yang menyindir PAS dengan kata-kata, "full moon tu...sejak bila puak pas dah alergik dgn bulan??? oh ye, terlupa pulak..pas dah lebih kepada bintang 3 skrg ni..so bulan dah tak laku la ye? kah! kah! kah!!!"

Sepatutnya, tukang komen tersebut sedar bahawa ini bukannya persoalan 'bulan penuh' tetapi persoalan yang timbul ini adalah merupakan persoalan agama dan moral yang menuntut satu persepakatan dari seluruh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi dari yang beragama Islam untuk menentang dan membatalkan penganjuran pesta tersebut.

Lebih memalukan lagi bila ada di kalangan penulis blog yang cuba untuk mengaitkan penganjuran pesta maksiat ini dengan pemimpin Pakatan Rakyat di Perak yang mana kononnya pesta maksiat ini dianjurkan oleh pemimpin tersebut.

Seharusnya semua pihak perlu sedar bahawa penganjuran pesta tersebut adalah jelas sekali merupakan satu penganjuran pesta maksiat yang bertentangan dengan kemuliaan serta kemurnian agama Islam dan juga bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran masyarakat Malaysia.

Sehubungan itu semua pihak, tidak kira dari pemahaman politik mana sekalipun terutamanya yang mengaku dan mendakwa beragama Islam perlu bersatu padu dengan menyatakan ketegasan dalam membantah penganjuran pesta maksiat ini.

Lupakan seketika perbezaan fahaman politik dalam hal ini kecualilah ada di kalangan kita yang mengaku beragama Islam tapi suka dan gemar dengan pesta-pesta maksiat sebegini dan tidak mahu ianya dibatalkan. Akhir kata, TEPUKLAH DADA KITA SENDIRI DAN TANYALAH IMAN....

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...