KEMAMAN, 7 September 2011. Dalam satu serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Terengganu hari ini, lima orang wanita warganegara Thailand ditahan.
Pemeriksaan yang dilakukan hasil aduan awam di Kemaman Seaview Hotel Sdn Bhd pada jam lebih kurang jam 9.20 pagi itu telah menemui kelima-lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran di 3 bilik berasingan dalam hotel tersebut.
Dalam pemeriksaan tersebut juga, pihak berkuasa turut menemui sejumlah pil dipercayai pil perangsang dan juga kondom dalam kuantiti yang banyak berada dalam simpanan semua suspek dan kelima-lima suspek juga didapati menginap di hotel berkenaan untuk tempoh yang lama dan ketiga-tiga bilik tersebut telah didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan berbangsa cina.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kelima-lima suspek tersebut didapti memiliki pasport dan pas lawatan yang sah tetapi disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Manakala dalam satu pemeriksaan berasingan malam tadi, pihak polis telah menahan seorang wanita warganegara Indonesia di hadapan Balai Polis Kerteh, Kemaman. Hasil pemeriksaan yang dilakukan, wanita tersebut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Keenam-enam suspek berusia antara 19 hingga 38 tahun yang ditahan tersebut, kemudiannya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut pihak Imigresen.
No comments:
Post a Comment