بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
IMAM MALIK dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah yang terletak berdekatan Kota Himyar jajahan Yaman. Nama asal beliau ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.
Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Baghdad. Ketika itu Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Ja'far bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjawat jawatan Mufti di Madinah.
Semasa timbulnya masalah perceraian atau talaq, maka Imam Malik telah mengeluarkan fatwa bahawa talaq yang dipaksakan adalah tidak sah, ertinya talaq suami terhadap isteri tidak gugur. Fatwa ini sangat berlawanan dengan kehendak gabenor iaitu Ja'far bin Sulaiman. Kerana tidak mahu fatwa yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut sampai kepada masyarakat, gabenor telah memanggil Imam Malik untuk datang mengadap.
Gabenor kemudiannya meminta agar fatwa yang telah dikeluarkan tersebut ditarik kembali dan jangan sampai masyarakat mengetahui akan hal tersebut. Walaupun demikian, Imam Malik tetap tidak mahu menarik kembali fatwa beliau dan tetap disiarkan kepada masyarakat. Bahkan Imam Malik tetap menyiarkan fatwa beliau itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah serta kuliah agama, kerana fatwa tersebut dikeluarkan berdasarkan hadis Rasulullah saw yang perlu diketahui oleh umat Islam.
Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun beliau masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut ditarik segera dan Imam Malik dihukum dengan deraan serta diikat dengan tali serta dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa agar menarik kembali fatwanya itu.
Mereka mengarak Imam Malik supaya beliau merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih kekal dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, beliau dihukum dengan 70 kali sebatan, yang telah mengakibatkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya;
"Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwaku. Demikian Said al-Musayyid, Muhamad al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga"
Bagi Imam Malik, hukuman seperti itu, tidak mampu mengurangkan pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana sememangnya, setiap perjuangan itu perlukan pengorbanan. Imam al-Laits, seorang alim yang menjadi mufti Mesir pada ketika itu, saat mendapat tahu penyiksaan ke atas Imam Malik lantaran fatwanya itu telah berkata;
"Aku mengharapkan semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga".
Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment