بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
AL IMAM AS-SYAFI'I ketika berusia 9 tahun, beliau telah menghafal Al-Quran 30 Juz. Umur 19 tahun telah mengenali isi kitab Al-Muwatha', karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha' telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha' tersebut berisi hadis-hadis Rasulullah saw, yang dihimpun oleh Imam Malik. Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadis serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.
Ketika berusia 20 tahun, beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Iran dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untut menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah, diceritakan bahawa setiap malam beliau membahagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau menggunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, Sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika Imam Shafi'i di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana, Kerana beliau termasuk orang pendatang yang secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah menceritakan bahawa sewaktu Sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap golongan Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk menjatuhkan kekuasaan Abbasiyyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.
Suatu ketika datang surat baginda sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada wali negeri itu diberitahukan supaya semua golongan Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai, semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Shafi'i juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafi'i termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.
Peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafi'i dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam, pengadilanpun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik perbicaraan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dijatuhi hukuman mati dengan dipenggal kepala tahanan tersebut.
Imam Syafi'i dalam keadaan tenang menunggu giliran dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafi'i menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua-dua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafi'i mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.
"Assalamualaika, Ya Amirul Mu'minin wabarakatuh"
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan dengan "Warahmatullah".
"Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh", jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: "Mengapa engkau mengucapkan salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?"
Imam Syafi'i menjawab: "Tidak saya ucapkan kata 'Warahmatullah' kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati Amirul Mu'minin sendiri". Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafi'i membaca surah An-Nur Ayat 55 yang bermaksud:-
"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa".
Setelah membaca ayat di atas, kemudian Imam Syafi'i berkata: "Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Amirul Mu'minin telah menjadi khalifah, jawapan salam Amirul Mu'minin tadi membuat hati saya menjadi aman".
Mendengar jawapan itu, hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun Ar-Rasyid bertanya kembali: "Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu".
"Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Amirul Mu'minin dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka, Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna". Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat Imam Syafi'i itu.
Setelah rantai yang membelenggu Imam Syafi'i dibuka, maka beliau duduk dengan baik dan kemudiannya membaca surah Al-Hujarat ayat 6 yang bermaksud:-
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kami tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".
"Ya Amirul Mu'minin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Amirul Mu'minin itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan tuanku Amirul Mu'mininlah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana tuanku Amirul Mu'minin adalah putera bapa saudara Rasulullah saw iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah". Demikian jawapan Imam Syafi'i.
Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid pun menekurkan kepalanya dan kemudian berkata kepada Imam Syafi'i: "Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafi'i".
Demikianlah kehidupan Imam Syafi'i sebagai ulama besar yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tidak mengerti akan hakikat kebenaran yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment