Powered By Blogger

Wednesday, January 18, 2012

Dato' Dr Haron Din

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DATO' Dr. Haron bin Din dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis.

Pendidikan

Kolej Islam Klang (1962-1965) - Sijil Tertinggi Kolej
Diploma Pendidikan Al-Azhar, Kaherah (1966-1968)
M.A. Syariah dari Ain-Shams, Universiti Kaherah (1972-1974) - Ph.D Syariah
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan beliau Profesor pada tahun 1986.
Beliau telah menulis banyak buku antaranya ialah, manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam, Hudud dalam Perundangan Islam dan banyak lagi.

Kerjaya

Pensyarah
Profesor
Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)
Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB
Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia
Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor
Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan
Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank
Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd
Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis
Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

Mula bergiat aktif dalam PAS sejak dari tahun 1974
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Majlis Syura Ulamak
Timbalan Mursyidul Am PAS

Pilihan raya

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 , Datuk Haron Din yang mewakili Parti Islam SeMalaysia mendapat undi 14,124 di kawasan Parlimen Arau. Beliau tewas kepada pencabarnya , Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mewakili Barisan Nasional ) mendapat undi: 17,367 . Syed Razlan telah diisytiharkan menang pilihan raya tahun 2004 . Majoriti-diperolehi : 3,243 , Jumlah Undi : 32,024, Undi Rosak : 533 , Peratus Mengundi : 84.23%

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Dr Haron Din sekali lagi tewas kepada calon Barisan Nasional/ UMNO. Ismail Bin Kasim telah menang dengan mendapat undi sebanyak 16451. Dr Haron Bin Din mendapat 16,151 undi sahaja. Peratus pengundi yang keluar ialah 83.4%.  Peratus Undi rosak sebanyak 586%.

Dato' Haji Harun Taib

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


DATO Haji Harun bin Taib merupakan pemimpin politik PAS di kawasan DUN N22 Manir, Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia. Beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu dan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat kini.

Latar belakang

Beliau belajar di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Usuluddin. Kemudian peringkat sarjana siasah syariah di Universiti al-Azhar, Mesir. Kini beliau masih lagi menyiapkan tesis Ph.D dalam bidang politik antarabangsa.

Isterinya To' Puan Hajjah Fatimah Ibrahim merupakan seorang suri rumah tangga dan pasangan ini mempunyai lima anak.

Politik

Beliau kini merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yang DiPertua PAS Hulu Terengganu dan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat.

Setelah PAS berjaya memerintah kerajaan negeri Terengganu pada 1999, Harun Taib menjadi Exco kanan Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Undang-Undang Syariah Terengganu. Beliau terbabit dalam penggubalan Undang-Undang Syariah (termasuk hudud / qisas) di Terengganu dan Kelantan.

Pilihan raya

DUN Manir mempunyai tujuh peti undi iaitu Kedai Manir, Teluk Menara, Beladau Kolam, Pulau Bahagia, Batu Hampar, Pujuk dan Durian Mas. Hampir 99 % penduduk / pengundinya adalah keturunan Melayu. PAS menang di Manir sejak 1990 lagi. Dalam pilihan raya 1999, Harun Taib mengalahkan Shamsuddin Sulong (BN).

Dalam pilihan raya umum 2004, Datuk Harun Taib (PAS) menumpaskan Wan Sagar (BN-UMNO) dengan memperoleh 4,451 undi manakala Wan Sagar mendapat 4,141 undi iaitu majoriti 310 undi.

Pilihan raya 2008

Dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008, Harun Taib berjaya menewaskan Wan Sagar Wan Embong (BN), orang yang sama ditewaskannya pada 2004, kali ini dengan majoriti 406 undi. Pada 16 September 2008, panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Arifin Zakaria dan Dato' Zulkefli Ahmad Makinudin menolak petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya kawasan Manir pada 8 Mac 2008. Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin. Sebelum ini, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Kang Hwee Gee menolak petisyen Wan Sagar kerana tidak ada secebis buktipun. Insiden 2 pengundi iaitu Mustaffa Yusof dan Muhammad Amiruddin yang dikatakan ditahan dan dipukul di hadapan pusat mengundi juga tidak dapat dibuktikan.

Video: Kembalikan Hak Rakyat Kelantan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Tuesday, January 17, 2012

Berikan Royalti Kepada Kelantan Bukti Kerajaan Ikhlas Bantu Rakyat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
BERIKAN ROYALTI KEPADA KELANTAN BUKTI KERAJAAN IKHLAS BANTU RAKYAT
23 Safar 1433 bersamaan 17 Januari 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar kerajaan Malaysia supaya memberikan royalti kepada kerajaan Kelantan sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas mahu menolong rakyat khususnya orang Melayu di negeri itu.

DPPM melihat kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bahawa Kelantan belum lagi layak mendapat royalti minyak kerana Ordinan Darurat baru sahaja dibatalkan dan perlu menunggu sehingga enam bulan adalah alasan beliau semata-mata. Bagi DPPM, jawapan tersebut merupakan alasan terknikal yang diguna bersandarkan kepada undang-undang. Sepatutnya Datuk Seri Nazri Aziz menjawab dengan usaha mempertimbangkan tuntutan kerajaan Kelantan untuk memberikan royalti tanpa menunggu tamatnya Ordinan Darurat. Kerajaan juga perlu memberi jaminan untuk mengusahakan pemberian royalti itu kepada kerajaan Kelantan pada waktu yang sepatutnya.

Isu royalti Kelantan menunjukkan belang sebenar pemimpin UMNO dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini. Selama ini berdegar-degar suara mereka di seluruh pelusuk dunia kononnya hanya UMNO sahaja pejuang bangsa Melayu. UMNO adalah tempat berpaut orang Melayu dan UMNO sahaja mampu membantu orang Melayu di negara ini.

Namun demikian, dalam isu royalti minyak di Kelantan, tindakan kerajaan UMNO-BN seakan dwi standard terhadap kerajaan Kelantan. Sedangkan rakyat mengetahui bahawa Kelantan diperintah oleh orang Melayu beragama Islam. Majoriti rakyat di Kelantan pula adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Soalnya, apakah orang Melayu Kelantan berbeza dengan orang Melayu di negeri lain? Adakah orang Melayu Kelantan tidak berhak menikmati kemudahan seperti mana perjuangan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin UMNO?  Mengapa tiada usaha serius dilakukan oleh kerajaan pusat bagi membantu rakyat dan negeri itu dalam keadaan mereka mengetahui bahawa rakyat Kelantan ada yang hidup dalam keadaan susah?

DPPM hairan bagaimana UMNO boleh bermimpi untuk menawan Kelantan dalam keadaan pemimpin mereka menyekat hak yang patut dinikmati oleh rakyat di negeri itu. Ini menunjukkan pemimpin UMNO sendiri tidak ikhlas membantu rakyat di negeri itu kerana tidak turut sama berjuang memberikan hak kepada Kelantan tanpa mengira siapa pemerintahnya. Rakyat Kelantan kini lebih mengenali siapa pemimpin sebenar untuk diangkat sebagai pemerintah yang jujur dan ikhlas dan siapa pula yang hanya berpolitik dan mahu mengambil kesempatan di negeri itu.

Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia  

Monday, January 16, 2012

Juru Kimpal Laknatullah

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Rogol kanak-kanak tiga tahun, anak rakan baik isteri sendiri

KEMAMAN - Tidak ada sifat kemanusiaan langsung bilamana seorang juru kimpal dipercayai tergamak merogol seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun yang juga merupakan anak rakan baik isteri sendiri dalam kejadian di sebuah kampung di Chukai, Kemaman, Terengganu.

Perbuatan lelaki berusia 46 tahun itu di sedari ibu mangsa bila mendapati seluar anaknya basah dan berbau air mani. Selepas diperiksa lagi oleh ibu mangsa, bahagian luar lampin pakai buang mangsa serta pangkal peha hingga lutut mangsa turut berbau air mani.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, ibu mangsa telah membuat laporan polis Chukai dan hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa.

Berikutan itu saspek ditangkap oleh pihak polis dan ditahan reman di bawah Seksyek 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Baca lanjut di sini

Entah apa nak jadi dengan masyarakat negara kita sekarang ini. Sanggup melakukan perbuatan terkutuk sebegitu dan membiarkan nafsu serakah mengatasi akal fikiran serta iman. Penjenayah tersebut memang layak di golongkan dalam golongan laknatullah. Kesalahan beliau itu teramat besar dan hanya Allah SWT sahaja yang Maha Layak untuk memberikan pengampunan bila di akhirat kelak dan di atas dunia ini, hukuman yang paling wajar dilaksanakan hanyalah hukum Hudud.

Imam Malik Diseksa Kerana Mempertahankan Fatwa

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

IMAM MALIK dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah yang terletak berdekatan Kota Himyar jajahan Yaman. Nama asal beliau ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.

Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Baghdad. Ketika itu Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Ja'far bin Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjawat jawatan Mufti di Madinah.

Semasa timbulnya masalah perceraian atau talaq, maka Imam Malik telah mengeluarkan fatwa bahawa talaq yang dipaksakan adalah tidak sah, ertinya talaq suami terhadap isteri tidak gugur. Fatwa ini sangat berlawanan dengan kehendak gabenor iaitu Ja'far bin Sulaiman. Kerana tidak mahu fatwa yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut sampai kepada masyarakat, gabenor telah memanggil Imam Malik untuk datang mengadap.

Gabenor kemudiannya meminta agar fatwa yang telah dikeluarkan tersebut ditarik kembali dan jangan sampai masyarakat mengetahui akan hal tersebut. Walaupun demikian, Imam Malik tetap tidak mahu menarik kembali fatwa beliau dan tetap disiarkan kepada masyarakat. Bahkan Imam Malik tetap menyiarkan fatwa beliau itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah serta kuliah agama, kerana fatwa tersebut dikeluarkan berdasarkan hadis Rasulullah saw yang perlu diketahui oleh umat Islam.

Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan, namun beliau masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan keras supaya fatwa tersebut ditarik segera dan Imam Malik dihukum dengan deraan serta diikat dengan tali serta dinaikkan ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian Imam Malik dipaksa agar menarik kembali fatwanya itu.

Mereka mengarak Imam Malik supaya beliau merasa malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih kekal dengan pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, beliau dihukum dengan 70 kali sebatan, yang telah mengakibatkan tulang belakangnya hampir patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya;
"Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwaku. Demikian Said al-Musayyid, Muhamad al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman demikian lantaran fatwanya juga"
Bagi Imam Malik, hukuman seperti itu, tidak mampu mengurangkan pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya. Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada jalan kebenaran. Kerana sememangnya, setiap perjuangan itu perlukan pengorbanan. Imam al-Laits, seorang alim yang menjadi mufti Mesir pada ketika itu, saat mendapat tahu penyiksaan ke atas Imam Malik lantaran fatwanya itu telah berkata;
"Aku mengharapkan semoga Allah mengangkat darjat Imam Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan satu tingkat baginya masuk ke syurga". 
Insya-Allah.

Sunday, January 15, 2012

Al Imam As-Syafi'i Difitnah Sebagai Syiah

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

AL IMAM AS-SYAFI'I ketika berusia 9 tahun, beliau telah menghafal Al-Quran 30 Juz. Umur 19 tahun telah mengenali isi kitab Al-Muwatha', karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha' telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha' tersebut berisi hadis-hadis Rasulullah saw, yang dihimpun oleh Imam Malik. Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadis serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berusia 20 tahun, beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Iran dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untut menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah, diceritakan bahawa setiap malam beliau membahagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau menggunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, Sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Shafi'i di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana, Kerana beliau termasuk orang pendatang yang secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah menceritakan bahawa sewaktu Sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap golongan Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk menjatuhkan kekuasaan Abbasiyyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu ketika datang surat baginda sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada wali negeri itu diberitahukan supaya semua golongan Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai, semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Shafi'i juga ditangkap kerana di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafi'i termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafi'i dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam, pengadilanpun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik perbicaraan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa soalan, mereka dijatuhi hukuman mati dengan dipenggal kepala tahanan tersebut.

Imam Syafi'i dalam keadaan tenang menunggu giliran dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafi'i menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua-dua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafi'i mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

"Assalamualaika, Ya Amirul Mu'minin wabarakatuh"

Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan dengan "Warahmatullah".

"Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh", jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: "Mengapa engkau mengucapkan salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?"

Imam Syafi'i menjawab: "Tidak saya ucapkan kata 'Warahmatullah' kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati Amirul Mu'minin sendiri". Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafi'i membaca surah An-Nur Ayat 55 yang bermaksud:-
"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa".
Setelah membaca ayat di atas, kemudian Imam Syafi'i berkata: "Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang Amirul Mu'minin telah menjadi khalifah, jawapan salam Amirul Mu'minin tadi membuat hati saya menjadi aman". 

Mendengar jawapan itu, hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun Ar-Rasyid bertanya kembali: "Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu".

"Saya tidak dapat menjawab pertanyaan Amirul Mu'minin dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka, Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna". Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat Imam Syafi'i itu.

Setelah rantai yang membelenggu Imam Syafi'i dibuka, maka beliau duduk dengan baik dan kemudiannya membaca surah Al-Hujarat ayat 6 yang bermaksud:-
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kami tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".
"Ya Amirul Mu'minin, sesungguhnya berita yang sampai kepada Amirul Mu'minin itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan tuanku Amirul Mu'mininlah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana tuanku Amirul Mu'minin adalah putera bapa saudara Rasulullah saw iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah". Demikian jawapan Imam Syafi'i.

Baginda Sultan Harun Ar-Rasyid pun menekurkan kepalanya dan kemudian berkata kepada Imam Syafi'i: "Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafi'i".

Demikianlah kehidupan Imam Syafi'i sebagai ulama besar yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tidak mengerti akan hakikat kebenaran yang sebenarnya.

Perutusan TGNA: Bersihkan Malaysia

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Konvensyen Ke-3 Pakatan Rakyat – “Bersihkan Malaysia”

Pada 22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010 yang lalu saya telah merakam suatu pengharapan bersempena dua tahun usia Pakatan Rakyat yang terbina dan mencorakkan politik Malaysia pasca PRU-12.

Mengingati semula apa yang saya tegaskan dalam rakaman pengharapan tersebut, saya ulangi: “Perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam. Malah, Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah-ubah tindakan memfitnah PAS, misalnya menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.”

Atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat.

Pilihan Raya Harmoni

Saya kekal dengan keyakinan bahawa kerjasama politik Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Meskipun di sebalik proses pilihan raya yang berjalan sekarang nampaknya paling tidak adil dan penuh dengan pelbagai spekulasi yang mendera dan menekan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Justeru, kenangan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 lalu perlu dipersegarkan, meskipun pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib telah menggunakan taktik melengah-lengah menerusi pengisytiharan Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen ke arah penambahbaikan pilihan raya. Ia suatu usaha yang patut diragui keikhlasannya.

Ia tidak lebih daripada taktik mengalih perhatian umum supaya rakyat tidak menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya dengan proses pilihan raya yang diamalkan selama ini. Apa yang jelas, ia suatu taktik supaya rakyat melupai lapan perkara tuntutan Bersih 2.0!

Maka, sukacita saya rakamkan balik apa yang pernah saya nyatakan sebelum ini iaitu, “tidak ada maknanya pilihan raya diadakan tanpa mengambil kira usaha-usaha pembaharuan pilihan raya, malah mengkebelakangkan lapan tuntutan yang dibangkitkan rakyat…. pilihan raya bersih hanya akan terjelma melalui kertas undi. Maka kalau pilihan raya diadakan dalam keadaan undang-undang dan peraturan yang ada, ia masih menghasilkan pilihan raya yang kotor.”

Bersih 3.0

Atas prinsip dan pemahamaan tersebut, saya berpendapat sikap Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohd Najib sekarang ini perlu terus diasak dan dipastikan agar penambahbaikan proses pilihan raya dibuat dalam pilihan raya ke-13 nanti. Ayuh, kita bangkit menggerakkan Bersih 3.0 demi memenuhi pilihan raya yang adil, telus dan bersih.

Bagi PAS, sampai masanya semua bahagian parti dapat menggarap dan meningkatkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat. Kesempatan konvensyen ke-3 ini harus dimanfaatkan semoga hasilnya nanti, agenda Bersih 3.0 akan berjaya.

Ia suatu kerjasama yang pasti memartabatkan lagi Pakatan Rakyat selepas 901–– keadilan untuk Datuk Seri Anwar. Harapnya ia selari dengan firman Allah Subhanahu wa Taala:


Maksudnya, “Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya.”
[Surah as-Syura, ayat 41-42]

Semoga kerjasama politik Pakatan Rakyat ini benar-benar memenuhi prinsip tahaluf-siasi dan merupakan kebajikan yang mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Kejayaan Pakatan Rakyat, tertegaknya keadilan di puncak Putrajaya.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.
20 Safar 1433 bersamaan 14 Januari 2012.

Alor Setar, Kedah Darulaman.

Thursday, January 12, 2012

Ke Tandaspun Ada Adabnya

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


ISLAM mengajar adab tertentu mengenai qadha hajat dan istinjak. Orang Islam tidak melakukan qadha hajat dengan keadaan tidak ingat kepada peraturan dan adab-adabnya.

Pelbagai peraturan telah tersedia untuk kehidupan manusia agar menjadi insan berakhlak mulia.

Sejak bangun tidur sebelum fajar hingga ke waktu tidur semula pada malam berikutnya, setiap detik dilengkapi dengan peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh agama Islam, untuk mengawal kehidupan manusia agar mereka dalam keredaan Allah SWT.

Makhluk diciptakan berpasangan. Begitu juga taraf sesuatu tempat, ada yang dikategorikan sebagai tempat baik serta mulia. Ada tempat digolongkan sebaliknya, iaitu tempat yang hodoh dan tidak dihormati agama.

Kanan dan kiri mempunyai falsafahnya tersendiri. Islam mensifatkan di kalangan orang yang mendapat keredaan Allah SWT di akhirat dikenali sebagai ‘Ahlul Yamin’ (orang yang mendapat suratan di tangan kanan).

Sementara orang yang gagal mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT, disebut sebagai ‘Ahlus Syimal’ (Orang yang mendapat suratan di tangan kiri).

Nabi s.a.w. menyimpulkan bahawa ‘kanan’ sebagai lambang kebaikan, kejayaan dan keredaan Allah SWT. Sementara kiri pula sebagai lambang kejahatan, kegagalan dan kemurkaan Allah SWT.

Sesuai dengan kedudukan sesuatu tempat, maka sepasang kaki antara kanan dan kiri berperanan mengikut kesesuaiannya.

Tandas suatu tempat yang diperlukan, tetapi ia dianggap hodoh oleh agama, maka kaki kiri selayaknya untuk memulakan langkah masuk ke dalamnya, kaki kanan untuk melangkah keluar darinya.

Bagi tempat yang mulia seperti masjid, mushalla dan sebagainya, semestinya dikehendaki melangkah masuk dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.

Demikian indahnya adab atau akhlak yang ditetapkan oleh syariat Islam, tujuannya untuk membina pekerti manusia walaupun dalam perkara yang kecil seperti qadha hajat.

Meskipun urusan qadha hajat dianggap remeh oleh segolongan manusia, mematuhi adab yang diajar oleh Nabi s.a.w. walaupun di tempat yang hodoh seperti tandas itu, pasti mendatangkan pahala kepada orang-orang beriman yang mentaati perintah Nabi s.a.w.

Tandas meskipun dibina dengan bahan yang mahal seperti marmar, jubin dan sebagainya, ia tidak menukar taraf jadi mulia dengan sebab materialnya yang bernilai tinggi.

Islam tidak menilai sesuatu binaan berdasarkan materialnya, sebaliknya berdasarkan taraf yang ditetapkan dan bersesuaian dengan keperluan manusia.

Masjid meskipun dibina hanya dengan batang pokok tamar dan beratapkan daun serta pelepahnya, sebagaimana masjid yang pertama kali dibina oleh Nabi s.a.w. di Kuba, ia tetap mulia kerana taraf masjid di sisi agama ialah sebagai ‘Rumah Allah.’

Di dalamnya tempat manusia sujud menyembah Allah SWT, serta melakukan pelbagai ibadah, zikrullah dan aktiviti-aktiviti lain dalam kemasyarakatan.

Tandas tetap dianggap tempat yang hodoh kerana di situ tempat manusia terpaksa dedahkan aurat kerana qadha hajat.

Sesungguhnya malaikat tidak berada di tempat manusia membuka auratnya, walaupun dalam situasi terpaksa.

Tandas menjadi tempat hodoh terbukti dengan larangan membawa ke dalamnya benda yang bertulis kalimah Allah dan Rasul-Nya. Jika membawa kalimah Allah ke dalam tandas pun terlarang, apatah lagi menyebut kalimah tersebut.

Justeru itu ketika keluar dari tandas disunatkan mengucapkan ‘Ghufranak’ yang bermaksud; memohon ampun kepada Allah SWT.

Apakah kesalahan dan dosa seseorang itu ketika berada dalam tandas, sehingga sebaik saja keluar lantas dianjurkan segera mohon ampun kepada Allah SWT?

Bagi insan bertakwa duduk dalam situasi terhalang daripada menyebut kalimah Allah SWT (zikrullah), ia adalah suatu pembaziran usia yang amat berharga itu.

Wajarlah baginya mohon ampun kepada Allah SWT, apabila terpaksa mensia-siakan detik usia yang dikurniakan kepadanya.

Wajar ikhtiar agar tidak terlalu lama berada di tempat yang hodoh itu.

Justeru itu Nabi s.a.w. mengajar cara duduk bertinggung dengan memberatkan ke kiri ketika qadha hajat, agar boleh mencepatkan proses keluar najis.

Dengan demikian dapat meringkaskan masa dan menjimatkan usia ketika berada di tandas. Bagi seorang mukmin dapat menunaikan qadha hajat dalam tempoh yang segera, adalah suatu nikmat yang wajar disyukuri.

Justeru sebaik saja seseorang itu keluar tandas mengucap ‘Ghufranak’. Kemudian disusuli dengan ucapan syukur kepada Allah SWT, yang dengan izin-Nya telah mengeluarkan sisa makanan dan minuman yang tersimpan dalam perut, jika tidak keluar pasti akan mendatangkan mudarat kepada diri.

Sebaik saja sisa makanan dalam bentuk najis keluar, ia adalah suatu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Lebih besar nikmat qadha hajat itu terutama bagi mereka yang mengalami penyakit sembelit dan sukar membuang najis.

Alhamdulillah syukur kepada Tuhan yang telah menghilangkan penyakit melalui qadha hajat itu, malah telah mengekalkan zat dan pelbagai vitamin terdapat dalam makanan dan minuman, yang diperlukan oleh tubuh badan.

Segala intisari zat dan pelbagai vitamin itu untuk tenaga bagi melaksanakan ibadat sebagai hamba Allah, dan lain-lain kegiatan dan keperluan setiap insan yang berperanan dalam keluarga dan masyarakat.

Tazkirah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

YANG BERHORMAT DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG, lahir 20 Oktober 1947) merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia dan mantan Menteri Besar Terengganu (1999-2004).

Kehidupan awal  
Lahir pada 6 Zulhijjah 1366H, di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Anak ke-5 dari 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang.

Keluarga
Beliau mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajah Zainab bt. Awang dan Dr. Norzita Taat. Dikurniakan 13 orang anak. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 3 orang anak. Anak sulung beliau berumur 22 tahun dan kini belajar di Universiti Iman, Yaman.

Pendidikan
Beliau diberi pendidikan awal daripada ayahnya sendiri pada usia kecil. Mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil aliran Sanawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Di samping itu beliau belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 - 1975).

Politik dan NGO
Beliau menjadi Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu (1977-1978). Pada 1982,apabila Presiden ABIM, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO, Abdul Hadi menyertai PAS bersama Ustaz Fadhil Noor.

Sebenarnya Abdul Hadi mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS Kampung Rusila, Marang. Pada 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.

Pilihan raya
Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

Antarabangsa
Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Aram Mesir.

Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat. Antaranya :-
* Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul, Turki.
* Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.
* Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.
* Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.
* Menyertai delegasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.
* Menyertai delegasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.
* Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama delegasi pemimpin Jerman Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan Mujahidin Afghanistan.

Kerjaya 
Kerajaan:-
* Menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 - 1978.
* Menjadi Menteri Besar negeri Terengganu semasa tahun 1999-2004

Badan bukan kerajaan:-
Menjadi Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Terengganu 1977 - 1978.

Hasil penulisan
* Bagaimana Islam memerintah negara: PTS; 2009.
* Islam adil untuk semua : PTS Islamika, c2009.
* Fahaman & ideologi umat Islam : PTS Islamika, 2008.
* Takwa : takut tetapi rindu : PTS Publications, 2008.
* Beriman kepada qadak & qadar : PTS Publications & Distributors, 2008
* Beriman kepada hari akhirat : PTS Islamika, 2008.
* Beriman kepada Malaikat & kitab : PTS Islamika, 2007.
* Beriman kepada Rasul : PTS Publications, 2007.
* Beriman kepada Allah : PTS Islamika ; 2007.
* Inilah akidah muslim; PTS publications, 2007.
* Islam & demokrasi: PTS Islamika, 2007.
* Ramadan : tetamu yang dirindui: PTS Islamika, 2007.
* At-Tibyan dalam mentafsirkan Al-Qur'an : surah Al-Hasyr (Pengusiran) & Al-Fil (Gajah): As-Syabab Media, 2002.
* Surah al-Hujurat (bilik-bilik): As-Syabab Media, 2002.
* Muqaddimah aqidah al-Muslimin : Pustaka Aman Press, 1988.
* Jika Islam mentadbir : wawancara wartawan U.P.I., Paul Wedel dengan Abdul Hadi Awang : Penerbitan Gedung Ummah, 1984
* Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa ar-Rasyidin

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Pilih Jadi Nelayan...

بِسْــــمِ ﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


SAYA terpegun bercampur pilu membaca kenyataan Persiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang memilih untuk menjadi nelayan semula setelah adanya Perdana Menteri dan kerajaan yang hendak menjalankan pemerintahan bagai yang dikehendaki oleh Islam.

Ini jawapannya kepada pertanyaan tentang calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat kiranya calon yang disediakan iaitu Anwar Ibrahim berhalangan disebabkan dipenjara dan sebagainya.

Ada yang menyebut namanya sebagai seorang calon. Memang dalam politik di zaman ini, rakyat diberi kuasa menyokong menentukan kerajaan melalui pilihan raya, maka mereka mahu tahu calon Perdana Menteri.

Momentum atau persaingan hebat bagi menentukan penguasa Putrajaya dalam PRU 13 ini buat pertama kali, disebabkan keupayaan pembangkang menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak Pakatan Rakyat terjelma.

Hakikat menentukan keadaan jadi begitu. Tetapi suasana juga menuntut akan calon alternatif jika berlaku sesuatu.

Ustaz Hadi sebagai seorang ulama haraki tidak pernah menolak tanggungjawab. Apabila beliau ditanya soalan itu, maka beliau memberikan satu jawapan politik dan dakwah mengikut semangat yang selalu diberi oleh ulama besar silam.

Pertama tidak menjawabnya secara tepat sebelum keperluan itu tiba tetapi adalah tanggungjawab ulama tidak menolak tanggungjawab apabila amanah itu diletakkan kepadanya.

Saidina Abu Bakar cepat-cepat mencalon Umar al-Khatab sebagai khalifah menjalan tugas pimpinan sebaik Nabi SAW wafat, kerana merasakan dirinya bukan calon terbaik. Saiduna Umar r.a. pula cepat-cepat menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.

Itu akhlak yang berkelayakan besar bagi memimpin umah. Pimpinan negara atau kerajaan adalah penting, tetapi pemimpin Islam yang berwibawa sentiasa melihat siapa berupaya dan berkelayakan selain daripadanya, kerana yang utama bagi Islam ialah tuntutan dan hendak Islam dapat dipenuhi dan ada orang lain yang dapat memenuhinya, kalau pun tidak lebih baik, sekurang-kurang sama baik dengannya.

Maka pilihan mereka ialah membuat pekerjaan sendiri bagi menyara diri seperti beternak, bertani, menangkap ikan. Abu Zar misalnya menolak semua jawatan, memilih menjadi tukang anyam bakul bagi menyara hidupnya.

Ustaz Hadi adalah seorang tokoh besar ulama dan politik di peringkat nansional dan antarabangsa, pendakwah gigih, pernah menjadi Menteri Besar, berkelayakan untuk menjadi pentadbir. Semuanya bersetuju beliau diberi peranan.

Jika boleh diberi kebebasan untuk memilih kehidupan yang paling dekat di hatinya iaitu sebagai orang biasa yang kembali ke laut sebagai nelayan. Memang beliau dilahirkan dalam keluarga nelayan, besar sebagai keluarga nelayan. Walau pun sebok dengan hidup politik dan dakwah, tetapi ke laut dan menjala ikan tetapi menjadi hobinya dan ada kandang kambingnya sebagai tempat bersantai setelah penat kempen dan mengajar.

Jika tugas politiknya dapat dikurangkan, atau kewajipan itu dapat dipangku orang lain, tentu beliau ada masa yang selesa untuk mencandak sotong dan turun ke laut dalam menangkap ikan untuk keperluannya dan orang-orang sekelilingnya.

Mulanya saya tidak pernah memikirkan Ustaz Hadi patut lebih ke laut dari mengendalikan pemerintahan apabila Allah gilirkan bagi PAS untuk sama-sama memerintah. Keutamaan baginya di tempat pemerintahan ialah bagi memastikan tuntutan Islam itu berjalan sebaik-baiknya. Jika ada yang boleh mengendalikannya, maka pilihannya untuk ke laut seperti datuk-datuknya dulu dan saudara maranya.

Inilah pilihan yang dibuat oleh Rashied Ghanusi apabila Parti An-Nahzah memenang pilihan raya Tunisia baru-baru ini dan ini kaedah yang digunakan oleh Ikhwanul Muslimin yang menyertai pilihan raya Mesir sekarang. Pimpinan utama Ikhwan tidak menyertai pilihan raya pun, tetapi mereka memberi amanah kepada orang-orang yang dipercayai dapat memenuhi perjuangannya.

Kita boleh mengambil sikap terbuka boleh mengambil laluan yang diambil oleh rakan-rakan di Tunisia dan Mesir dan boleh menasihatkan Ustaz Hadi supaya menangguhkan dulu keinginannya menjadi nelayan penuh masa.

Mungkin buat masa terdekat ini ke laut itu jadi hobi seperti orang turun ke padang golf dan bermain tenis.

Oleh: Subky Latif

Wednesday, January 11, 2012

Jin, Manusia, Masing-Masing Dibayangi Syaitan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

MENURUT satu pendapat lain daripada Ikrimah, Allah SWT jadikan bagi manusia dan jin itu syaitan-syaitan untuk diri masing-masing. Di mana syaitan-syaitan berkenaan akan bertemu antara satu sama lain menceritakan bagaimana cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka.

Tidak ada dinamakan syaitan di kalangan jin dan manusia tetapi Allah telah lahirkan bagi mereka syaitan-syaitan yang menggoda dan menyesatkan manusia dan jin.

Mereka saling bantu membantu antara satu sama lain untuk menyesatkan manusia dan jin sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)

Ikrimah juga dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa syaitan manusia dimaksudkan dengan syaitan yang menyesatkan manusia, sementara syaitan jin dimaksudkan syaitan yang menyesatkan jin. Syaitan- syaitan berkenaan bertemu antara satu sama lain. Berkatalah salah seorang dari mereka kepada rakan-rakannya: “Sesungguh aku telah menyesatkan pengikut-pengikut ku dengan cara demikian, demikian. Manakala engkau pula menyesatkan pengikut engkau dengan cara begini, begini.” Mereka belajar cara menyesatkan pengikut-pengikut mereka antara satu sama lain.

Sementara Ibnu Jarir mengambil kefahaman daripada penjelasan ini dengan menyatakan bahawa, yang dimaksudkan dengan syaitan-syaitan manusia itu sebagaimana dijelaskan oleh Ikrimah dan as-Suddi ialah syaitansyaitan daripada kalangan jin yang menyesatkan manusia bukan yang dimaksudkan syaitan-syaitan manusia yang menyesatkan sesama manusia.

Tidak syak lagi inilah zahir percakapan Ikrimah. Manakala pendapatan As-Suddi pula (pada pandangan Ibnu Jarir) tidak seperti makna yang dimaksudkan itu.

Ertinya manusia dan jin ada syaitan masing-masing. Manusia ada syaitannya yang menyesatkan mereka dan jin pula ada syaitannya yang menyesatkan mereka.

Sesungguhnya telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim seumpama itu daripada Ibnu Abbas daripada riwayat ad-Dhohhaq. Berkata Ibnu Abbas, sesungguhnya bagi jin ada syaitan yang menyesatkan mereka daripada kalangan jin, manakala manusia ada syaitan yang menyesatkan mereka daripada kalangan manusia.

Bertemu kedua-dua mereka (syaitan daripada kalangan jin dan manusia) sambil menceritakan cara mereka menyesatkan pengikut-pengikut mereka masing-masing sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini yang bermaksud, “Sebahagian daripada mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.” (Surah al-An’am: 112)

Apa yang sahihnya ialah apa yang terdahulu disebut daripada hadis Abi Zar bahawa sesungguhnya bagi manusia terdapat syaitan-syaitan terdiri dari kalangan mereka dan begitu juga jin terdapat syaitan-syaitan di kalangan mereka. Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan syaitan itu ialah setiap sesuatu yang mendurhakai Allah SWT.

Yang demikian itulah telah dinyatakan dalam hadis sohih Muslim yang diriwayatkan dari Abi Zar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Anjing hitam itu adalah syaitan.”

Allah sahaja yang mengetahui maksud sebenar hadis ini. Ertinya ada terdapat syaitan di kalangan anjing. Untuk menjelaskan perkara ini banyak riwayat lain menjelaskan bahawa syaitan akan merupakan dirinya seperti binatang termasuk anjing, ular dan seumpamanya dengan merupakan tubuhnya berwarna hitam terutama di waktu senja.

Oleh sebab itu jika ditemui binatang yang dalam keadaan mencurigakan di waktu senja dan badannya berwarna hitam maka halaulah mereka dan ada ulama menasihatkan supaya jangan membunuh mereka.

Jika ditemui binatang dalam keadaan situasi berkenaan maka berkatalah kepadanya: “Wahai binatang, jika engkau syaitan, pergilah kamu dari kami sejauh-jauhnya dan janganlah kamu mengganggu kami lagi.”

Jika didapati ia masih tidak bergerak, masih berada di situ dan ia boleh mengancam keselamatan nyawa kamu, maka bolehlah ia dibunuh kerana ia bukan syaitan tetapi binatang biasa. Allah sahajalah yang Maha mengetahui segala-galanya.

Sementara itu berkata Mujahid dalam menafsirkan ayat ini, sesungguhnya orang-orang kafir di kalangan jin itu adalah syaitan, mereka membisikkan sesuatu kepada syaitan daripada kalangan manusia yakni orang-orang kafir dari kalangan mereka dengan kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdayakan pendengarnya.

Tazkirah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia

Larangan Allah Duduk Bersama Orang Jahat

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

ALLAH berfirman yang bermaksud, “Dan jika engkau dilupakan oleh syaitan.” [Surah Al-An'am: 68] Ertinya jika syaitan menyebabkan kamu lupa untuk menghindarkan diri daripada majlis seumpama itu, kamu dimaafkan kerana sebab lupa. Bagaimanapun Allah berfirman yang bermaksud, “Maka jangan kamu duduk selepas ingat semula bersama kaum yang zalim itu.” (Surah Al- An’am: 68)

Selepas kamu ingat akan amaran Allah, maka berkewajipan kepada kamu menghindarkan diri daripada majlis tersebut melainkan mereka tidak lagi bercakap menghina Islam, menghina hukum Allah SWT dan menghina Nabi s.a.w.

Ayat ini mengajar kita umat Islam, menjadi manusia mulia dan sukakan perkara yang mulia. Ia juga termasuk dalam perkara dakwah dan perjuangan.

Bukan sahaja mengajar umat Islam cintakan kemuliaan tetapi mengajar manusia sedar, bahawa orang yang menghina Islam dan Nabinya s.a.w. adalah manusia yang jahat atau zalim bahkan kufur terhadap Allah SWT

Kemuliaan seseorang terjadi dengan Islam dan iman kepada Allah SWT, satu satunya Tuhan yang sebenar, tidak ada sekutu bagi-Nya.

Walaupun ada manusia menghina ayat-ayat Allah, perjuangan untuk menyampaikannya tetap diteruskan. Samada ada atau tidak orang menghina Islam, perjuangan untuk menyampaikan Islam wajib diteruskan di samping menjaga adab-adab pergaulan dengan manusia pelbagai ragam dan majlis mereka yang pelbagai jenis.

Oleh kerana itu Imam Hassan Al-Banna pernah pergi ke kelab malam bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada penghuninya. Ertinya menghadiri kelab seumpama itu untuk tujuan menyampaikan dakwah Islam, suatu yang dipandang mulia dan diizinkan oleh syarak.

Justeru Islam menetapkan cara bersosial yang selamat daripada fitnah, memberi dukungan kepada kebaikan dan menghapuskan majlis mungkar apabila diberi kuasa memerintah. Inilah sikap kita para pejuang Islam di sepanjang zaman.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikit pun atas orang-orang yang bertakwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ngejek) itu. Akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingatkan (larangan Allah itu), supaya mereka bertakwa.” (Surah Al-An’am: 69)

Berkata Ibnu Abbas r.a. apabila datang larangan Allah supaya tidak duduk bersama majlis kaum musyrikin dan perintah supaya tinggalkan majlis mereka, maka berkata, orang-orang Islam pada zaman Nabi s.a.w.: “Tidak mungkin kami boleh memasuki masjid dan tawaf di sekeliling Kaabah.”

Maka Allah menurunkan ayat yang bermaksud, “Akan tetapi kewajipan orang-orang Islam mengingatkan larangan Allah itu.” (Surah Al-An’am: 69) Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran.

Ertinya jika kamu duduk bersama mereka, kamu hendaklah memberi peringatan tentang amaran Allah tersebut, supaya mereka jangan menghina Islam atau mengejek-ngejek ayat-ayat Allah di dalam Al-Quran.

Al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini dikatakan telah dinasakhkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahnya) di dalam kitab (Al-Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan kaum munafik) maka janganlah kamu duduk (bergaul) bersama-sama mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.

“Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam.” (Surah An-Nisa’: 140) Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah memberi keringanan kepada umat Islam untuk bergaul dengan golongan musyrikin Makkah sebelum pembukaan kota suci tersebut sebagai “taqiyyah” (takut menzahirkan Islam dalam keadaan tertentu).

Tazkirah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia

Haron Din, Taib Azamuddin Dan Ismail Kamus Tiada Di Rumah Hasan Ali

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KUALA LUMPUR, 11 Jan: PAS hari ini mengesahkan bahawa laporan berita mengenai kehadiran beberapa pemimpin PAS yang dilaporkan berada di rumah bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Ali, Ahad malam yang lalu adalah palsu.

Selepas Hasan dipecat pada siang hari, media melaporkan bahawa ramai pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan moral kepada bekas Pesuruhjaya PAS Selangor tersebut.

Antara nama yang disebut hadir ialah Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din, ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib dan Datuk Ustaz Ismail Kamus.

“Laporan tersebut adalah tidak betul dan mempunyai niat tidak senonoh, kerana hakikatnya kesemua mereka tidak bersama pada malam tersebut.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa mantan timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang turut hadir bersama presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk memberikan sokongan moral kepada Hasan ada memaklumkan kepada Majlis Syura akan kehadirannya terlebih dahulu.

“Jelas perkara di atas adalah usaha pihak tertentu bermotif untuk memberi imej buruk kepada para pimpinan parti dan mengelirukan ahli-ahli PAS sehingga bersangka buruk terhadap pimpinan parti demi mengganggu persiapan terakhir pilihanraya.

Lantaran itu, semua ahli dan pimpinan parti mesti merujuk kepada media rasmi parti iaitu Harakahdaily dan Harakah cetak untuk mendapatkan sumber sahih dan rasmi parti,” tegas Tuan Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga menasihatkan semua ahli dan pimpinan parti untuk menguatkan kesedaran politik agar tidak mudah dipengaruhi permainan jahat pihak lawan.

“Dalam suasana ini, semua ahli PAS diseru untuk memperkukuhkan perpaduan dan ukuhwah dalaman parti agar kita dapat menjauhi kerja yang tidak menguntungkan jamaah dan menumpukan seluruh masa, tenaga dan dana bagi menghadapi persiapan pilihanraya umum yang semakin hampir,” seru beliau.

Tuesday, January 10, 2012

Pantun Khas Buat PAS Kelantan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SAYA tujukan pantun berkait ini khas buat Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS dan dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 81.


Katak plastik barang permainan,
Barang permainan si anak siam,
Kami bangga menjadi anak Kelantan,
Kerana dipimpin pemimpin berjiwa Islam.

Barang permainan si anak siam,
Jadi mainan menyakat orang,
Kerana dipimpin pemimpin berjiwa Islam,
Kelantan kekal dikenang-kenang.

Jadi mainan menyakat orang,
Terlompat-lompat latah Kak Limah,
Kelantan kekal dikenang-kenang,
Dua puluh dua tahun sudah Tuan Guru memerintah.

Terlompat-lompat latah Kak Limah,
Bila disakat si anak siam,
Dua puluh dua tahun sudah Tuan Guru memerintah,
Kelantan sejahtera Membangun Bersama Islam.

Bila disakat si anak siam,
Marah Kak Limah meraung-raung,
Kelantan sejahtera Membangun Bersama Islam,
Islam Dijunjung Raja Disanjung Rakyat Dipayung.

Marah Kak Limah meraung-raung,
Keliling kampung anak siam dihambat rotan,
Islam Dijunjung Raja Disanjung Rakyat Dipayung,
Itulah asas pentadbiran Kelantan.

Keliling kampung anak siam dihambat rotan,
Tercungap-cungap bermandikan peluh,
Itulah asas pentadbiran Kelantan,
Akan kami pertahan dari diruntuhkan musuh.

Thursday, January 5, 2012

Ulasan Tokoh Agama Dalam Isu Nur Amalina Che Bakri

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

HEBOH negara kita bilamana timbul pendedahan melalui internet kontroversi melibatkan Nur Amalina Che Bakri yang pernah menggegarkan negara kita dengan kejayaannya memperolehi keputusan 17 A1 dalam peperiksaan SPM 2004 dan sekaligus dinobatkan sebagai pelajar terbaik.

Berikutan kontroversi tersebut, ibu kepada Nur Amalina iaitu Sabariah Hassan, 52, telah tampil untuk membuat kenyataan pembelaan terhadap anak gadis beliau yang kini sedang menuntut di University of Edinburgh, Scotland bawah tajaan Bank Negara Malaysia dalam jurusan perubatan dan sains farmakologi. Lihat jawapan di sini

Berikutan itu, kontroversi yang melanda tersebut juga turut mendapat perhatian dari Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan yang telah menitipkan sebuah bingkisan kata kata nasihat dan pengharapan buat Nur Amalina. Lihat sini

Kontroversi tersebut juga turut mengundang minat seorang lagi tokoh agama negara kita iaitu Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman yang telah menitipkan kata-kata nasihat buat semua yang bergelar ibu bapa dengan kata-kata:-
"Setiap anak lahir dalam keadaan suci, ibubapa akan berperanan besar untuk menjadikannya seperti Yahudi, Nasrani, Majusi atau menjadi Muslim yang sebenarnya. Ibubapa DERHAKA kepada Allah dan anak apabila mengabaikan takrif kejayaan sebenar yg boleh membantunya & anak untuk melepasi alam dunia ini. Bukan sekadar kejayaan atas kertas. Wahai ibubapa, insaflah kita, telitilah tugas kita, didiklah mereka dengan sifat malu bersalut AGAMA. Jangan sesekali dibelikan seluar @ baju 'berlubang untuk si anak gadis', kelak nanti musibah bertambah pedih. Nabi sabda :"Jika kamu sudah tiada malu, (pasti kamu akan) lakukanlah apa shj."

Terus terang, saya pada asalnya amat sukar untuk mempercayai pendedahan yang dibuat mengenai isu ini. Tetapi apabila membaca jawapan ibu Nur Amalina seperti yang tersiar dalam akhbar tempatan, saya merasa amat kecewa dengan sikap ibu bapa Nur Amalina yang mana pada pandangan saya boleh disifatkan sebagai ibu bapa yang gagal untuk mendidik anak-anak ke arah yang direhai oleh Allah SWT.

Walaupun sebagai ibu bapa, mereka telah berjaya mendidk Nur Amalina untuk mendapatkan keputusan yang amat cemerlang dalam bidang akademik tetapi dalam soal didikan ke arah jalan yang mendapat redha Allah SWT, kedua-kedua ibu bapa Nur Amalina telah gagal.

Memang jadi tanggungjawab ibu bapa untuk mempertahankan anak-anak dari menjadi bahan kutukan dan cercaan tetapi perlu diingat, tanggungjawab ibu bapa juga untuk mencorak masa depan anak-anak untuk menjadi insan berguna dan berakhlak. Jangan sampai suatu masa nanti anak-anak yang ditatang bagai minyak yang penuh akan memalukan dan menconteng arang ke muka orang tua.

Sama-samalah kita bermohon dan bermunajat kepada Allah SWT agar apa yg berlaku pada Nur Amalina tidak menimpa kaum keluarga kita terutamanya anak-anak di bawah jagaan dan bimbingan kita.

Monday, January 2, 2012

Lagi Orang Kuat Dan Penyokong Umno Sertai PAS

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
‘Tumpas’ kerana ingin ‘jerat’ YDP PAS

Written by Rizal Tahir (Harakahdaily)
 
KOTA BHARU, 2 Jan: Hanya kerana ingin ‘menjerat’ Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dalam laman tertutup facebook Umno-tumPAS, akhirnya aktivis dan penyokong Umno, Wan Musa Wan Ahmad yang tumpas dan seterusnya menyertai PAS.

Bekas Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Batu Empat, Jalan Kuala Krai itu petang tadi menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS bersama 20 orang yang lain kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha PAS negeri, Zulkifli Mamat, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Exco kerajaan negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Wan Musa yang juga Setiausaha JKKKP Mukim Padang Enggang ketika ditemui memberitahu pada mulanya dia menyertai halaman tertutup Umno-tumPAS bertujuan untuk ‘menghentam’ pemimpin PAS terutama Wan Rahim.

“Memang saya menghentam dia sebelum ni, tetapi dia tidak membalas kutukan saya terhadapnya, sebaliknya rakan-rakan lain yang membela beliau.

“Tetapi akhirnya dia ingin bertemu saya, sepatutnya saya yang bertemu dia, begitu hebat jiwa pemimpin PAS, ada sifat rendah diri dan akhirnya saya ‘kalah’ dan seterusnya mengakui pemimpin PAS memang terbaik,” ujarnya.

Sambungnya, andainya Wan Rahim sahaja telah dapat menawan hatinya, belum lagi pemimpin besar lain terutama Tuan Guru dan ulama lain yang berada dalam PAS.

Beliau juga turut mengakui pemimpin Umno semakin tidak boleh dipercayai dari hari ke hari.

Tambahnya, dengan penyelewengan yang berlaku di peringkat menteri dan bawahannya, jelas membuktikan mereka hanya berjuang untuk peribadi dan keluarga dan bukannya untuk rakyat.

Ketika ditemui, beliau menyeru semua rakan-rakannya yang masih bersama Umno dan BN turut menyertai PAS.

Sempena majlis itu juga, memorandum dari rakan-rakan Umno-tumPAS telah diserahkan kepada Tuan Guru yang antara lainnya untuk mendedahkan kehebatan kerajaan PAS Kelantan.

Memorandum itu diserahkan oleh seorang rakan laman sosial itu, Mat Kamal Awang (MKA).  

Video Sidang Media Mangsa Insiden Serangan Polis

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

 

Tahniah anak muda. Teruskan perjuangan dan keberanian kalian dalam menuntut hak. Semoga Allah SWT memberikan keberkatan dalam setiap gerak perjuangan kalian walaupun pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa ditempuhi. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...