Powered By Blogger

Tuesday, January 25, 2011

UMNO DAN BN BUTA SEJARAH

Pilihanraya kecil dun Tenang yang bakal diadakan pada 30 Januari 2011 nanti bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan Umno dimana PAS mempertaruhkan muslimat sebagai calon untuk merampas kerusi tersebut dari tangan Umno. Tersentak dengan pemilihan calon dari muslimat itu, Umno dan sekutunya dalam BN mula memainkan beberapa isu untuk menyerang PAS dan peribadi calon itu sendiri. termasuklah fitnah jijik yang menuduh calon PAS melakukan zina. Nauzubillahiminzalik... Sebagai contohnya, Parti MCA dan Gerakan telah memainkan isu yang menyentuh persoalan agama untuk memburuk-burukkan imej calon PAS sekaligus cuba untuk menakut-nakutkan pengundi-pengundi dari kaum Tionghua terutamanya. Namun begitu, tidak perlu saya nyatakan isu apa kerana semua pihak semestinya sedia maklum apa isu yang dimainkan oleh MCA dan Gerakan.

Namun begitu, isu-isu yang dibangkitkan oleh MCA dan Gerakan itu dilihat tidak mampu untuk menjatuhkan PAS dan calon kerana ramai pengundi-pengundi dari masyarakat bukan Islam diyakini matang untuk membuat penilaian sendiri. Di samping isu-isu itu telah dijawab oleh PAS sendiri dan apa yang agak membanggakan adalah isu tersebut turut dijawab oleh rakan-rakan PAS dari DAP dan PKR sehinggakan pada akhirnya Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah meminta MCA dan Gerakan agar menghentikan isu-isu yang menyentuh pegangan agama dengan alasan yang diberi adalah banyak perkara lain yang lebih perlu diutamakan oleh BN.

Namun begitu, serangan-serangan terhadap PAS tidak terhenti setakat itu sahaja. Umno sekarang didapati memanipulasikan isu pemilihan calon PAS dari kalangan muslimat pula dan perjuangan Umno itu turut dibantu oleh pihak-pihak media-media arus perdana. Boleh dikatakan media-media tunggangan Umno ini setiap hari memainkan isu-isu sebegini untuk menghasut pemikiran masyarakat.

Sebagai contohnya akhbar Berita Harian pada Selasa 25 Januari 2011 dalam ruangan  'Cakap-Cakap', penulis yang menggelarkan diri sebagai Mamat telah menuduh PAS tidak ada pendirian bila memilih calon dari muslimat. Mamat ini juga mendakwa pengikut PAS jadi tak tenang sebab PAS diketahui mempunyai pandangan yang negetif terhadap wanita. Ruangan 'Minda Pengarang' akhbar yang sama pada tarikh yang sama juga mendakwa PAS terdesak untuk mengiktiraf wanita bagi mendapatkan undi golongan wanita yang meliputi lebih 50 peratus undi di Dun Tenang. Penulis 'Minda Pengarang' juga mendakwa PAS menggadai pendirian semata-mata untuk kepentingan politik. Penulis ruangan tersebut juga turut menuduh PAS selama ini mendiskriminasikan dan menafikan prestasi pemimpin wanita dalam PAS dan banyak lagi tuduhan serta fitnah yang yang dilemparkan terhadap PAS.

Sebagai menjawab tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap PAS, perlu saya nyatakan bahawa semua tuduhan serta fitnah tersebut adalah karut. Tuduhan si Mamat dalam ruangan 'Cakap-Cakap' adalah bersifat tuduhan kosong kerana PAS tidak pernah mempunyai pandangan yang negetif terhadap wanita selama ini dan bagi penyokong-penyokong PAS, sememangnya sudah memahami prinsip PAS tersebut. PAS selama ini tidak pernah menafikan hak serta potensi muslimat, sebaliknya pendirian PAS tersebut adalah berpandukan keadaan semasa yang mana PAS tidak menurunkan calon muslimat adalah pada ketika yang dirasakan tidak sesuai untuk mencalonkan muslimat atas faktor-faktor keselamatan calon itu sendiri. Untuk rekod, satu ketika calon dari kalangan muslimat tidak sesuai kerana Umno memiliki pasukan 'Pemuda Tahan Lasak' yang seringkali bertindak kasar dan ganas terhadap calon PAS. Sebagai contohnya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah diserang oleh pasukan ini. Sebagai contoh juga dan telah tercatat dalam lipatan sejarah di mana ada calon serta petugas PAS telah terbunuh ekoran dari tindakan ganas pasukan ini. Maka kerana itulah, PAS pada suatu ketika tidak menurunkan calon dari kalangan muslimat. Bukan kerana menafikan potensi muslimat, tetapi adalah kerana faktor-faktor keselamatan calon itu sendiri. Dan kini, PAS bersedia untuk menurunkan calon-calon dari kalangan muslimat kerana PAS meyakini bahawa keselamatan calon dari muslimat kini lebih terjamin.

Manakala bagi menjawab tuduhan penulis ruangan 'Minda Pengarang' pula, ditegaskan di sini bawa PAS tidak pernah terdesak dan tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan selama ini dan PAS juga tidak panik dan sekali lagi ditegaskan bahawa PAS juga pernah mendiskriminasikan golongan muslimat. Untuk makluman, PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh muslimat dalam perjuangan PAS dan penghargaan tersebut kekal dari dulu sehingga ke hari ini. Tidak timbul langsung soal PAS panik kerana calon yang dipilih di Dun Tenang mempunyai kelayakan untuk bertanding di situ dan dilihat boleh memainkan peranan yang besar untuk membantu dan berkhidmat untuk masyarakat di kawasan tersebut.

Umno dan media arus perdana seharusnya perlu melihat kembali sejarah perjuangan PAS selama ini. Mungkin Umno lupa bahawa pada tahun 70an, PAS pernah meletakkan calon muslimat iaitu Khatijah Sidek untuk bertanding di Parlimen  Dungun dan hasilnya, calon tersebut menang dengan majoriti yang agak besar. Dan Umno serta media arus perdana sepatutnya tidak lupa dengan Adun dan Ahli Parlimen dari kalangan muslimat PAS yang masih lagi berkhidmat sehingga sekarang ini, contohnya  Dr. Lo' Lo' Ghazali, Dr Mariah Mahmud, Ustazah Siti Zailah dan lain-lain lagi atau apakah Umno serta media arus perdana sudah tidak boleh mengenal jantina antara lelaki dan perempuan. Bagi saya sekiranya Umno dan media sudah tidak boleh mengenal perbezaan jantina lagi, ini bermakna Umno dan media sudah sampai pada tahap nyanyuk dan sudah sepatutnya PAS mengambil alih tempat Umno sebagai pentadbir negara ini. Wallahuaklam...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...