
Dalam masa SPR dan parti-parti bertanding sedang sibuk di Dun Tenang, Speaker Dun Selangor, Teng Chang Khim telah melakukan kejutan bilamana beliau telah mengishtiharkan bahawa kerusi Dun Pelabuhan Klang yang kini sedang disandang oleh sdr Badrul Hisham Abdullah telah dikosongkan. Pengumuman tersebut dibuat dengan alasan Adun tersebut yang sebelum ini memenangi kerusi tersebut atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi telah melompat keluar dan kini menjadi Adun Bebas telah gagal untuk menghadiri sidang Dun Selangor melebihi 6 bulan. Secara automatiknya, apabila speaker telah mengumumkan kekosongan satu-satu kerusi maka satu pilihanraya kecil perlu diadakan untuk mencari pengganti. Namun dalam hal ini, penyandang kerusi tersebut telah menafikan bahawa beliau telah gagal untuk menghadiri sidang selama lebih 6 bulan dan beliau bercadang untuk mencabar perkara tersebut di mahkamah manakala dipihak SPR pula dilihat cuba untuk berdolak dalik bila pengerusi badan tersebut telah mempertikaikan kuasa speaker untuk mengumumkan kekosongan kerusi Dun. Pengerusi SPR tersebut mendakwa sepatutnya speaker perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada SPR sebelum membuat pengumuman.
Dalam rakyat sedang berkira-kira kemungkinan dua pilihanraya kecil akan berlaku di awal tahun ini, kita telah dikejutkan pula dengan kematian Adun Merlimau iaitu Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari 2011 kerana serangan jantung. Allahyarham menjadi Adun kawasan tersebut setelah beliau yang mewakili parti Umno telah menewaskan calon PAS iaitu Mejar(B) Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. Sehubungan itu, SPR tidak mempunyai pilihan lain selain dari mengumumkan satu lagi pilihanraya kecil akan diadakan tidak lama lagi dan SPR dilihat tidak boleh berdolak-dalik di Merlimau kerana kekosongan berlaku kerana kematian.
Seawal tahun 2011, SPR nampaknya terpaksa bekerja keras kerana yang pastinya badan 'bebas' tersebut hendak tak hendak terpaksa menguruskan dua pilihanraya kecil iaitu Dun Tenang dan Merlimau. Itu yang sudah tentu pasti. Manakala bagi Dun Pelabuhan Klang pula, SPR perlu bersilat untuk mengelakkan dari berlakunya pilihanraya kecil kerana sekiranya pilihanraya kecil terpaksa juga diadakan di Dun Pelabuhan Klang, ianya dilihat bakal menguntungkan Pakatan Rakyat dan Umno mungkin terpaksa menelan kepahitan.
Maka sama-samalah kita lihat nanti samada Dun Tenang dan Merlimau berjaya dipertahankan oleh Umno atau rakyat di kedua-dua Dun tersebut bakal beralih arah dan sama-samalah kita lihat samada Dun Pelabuhan Kelang bakal menyaksikan satu pilihanraya kecil akan diadakan atau ianya bakal menerima nasib yang sama dengan Dun Kota Seputeh di Kedah yang sehingga sekarang masih lagi kosong tanpa pengganti walaupun mahkamah telah mengesahkan kekosongan tersebut. Bak kata orang putih "Just wait and see".
No comments:
Post a Comment