Powered By Blogger

Friday, June 22, 2012

Membongkar Kemunafikan Syiah: Akidah Al-Bada' Memang Wujud Di Kalangan Syiah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ustaz Mohamad Ismail
BANGI, 20 Jun – Akidah Al-Bada’ yang bermaksud mengatakan Allah bersifat jahil memang terdapat di dalam ajaran Syiah.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah ISMA, Ustaz Mohamad Ismail berdasarkan fakta yang diceduk daripada kitab karangan tokoh ulamak Syiah sendiri.

“Al-Kulaini dan Ibnu Babawaih telah meletakkan satu bab khusus tentang Al-Bada’ di dalam kitab mereka,” kata Ustaz Mohamad.

Sebelum ini, jurucakap Kumpulan Syiah Malaysia, Kamilzuhairi menafikan dakwaan Ustaz Mohamad tentang kesesatan Syiah.

Namun, fakta ini menjadi hujah kuat yang menyokong dakwaan Ustaz Mohamad sebelum ini yang mengatakan Syiah telah jauh tersesat daripada akidah Ahli Sunnah.

Selain itu, menurut Ustaz Mohamad, Al-Bada’ turut berlaku kepada Imam-imam Syiah dan terdapat bukti yang jelas tentang perkara tersebut.

Akidah Syiah yang nyata terpesong ini secara tidak langsung turut menyatakan bahawa Imam-imam Syiah lebih hebat daripada Allah SWT.

Maha Suci Allah daripada sifat kekurangan tersebut berdasarkan dalil ayat Al-Quran di dalam Surah Al-Maidah, ayat 59.

Kenyataan penuh Ustaz Mohamad Ismail boleh dirujuk di bawah.

Akidah Al-Bada’ di sisi Syiah Imam 12

Golongan Syiah mempercayai Allah bersifat dengan sifat Al-Bada’ atau dengan kata lain bahawa Allah telah memulakan satu ketentuan baru setelah ketentuan awal gagal dilaksanakan. Golongan Syiah Imam 12 mempercayai bahawa Al-Bada’ adalah termasuk dalam perkara usul akidah mereka. Sehinggakan ulama-ulama Syiah berkata (ما عبد الله بشيء مثل البداء)[i] yang bermaksud (tidak ada sesuatu ibadat kepada Allah seumpama Al-Bada’).

Di antara ulama’ Syiah yang terawal mengasaskan pegangan Al-Bada’ ini adalah seorang tokoh ulama’ yang terkenal di sisi Syiah sebagai ‘Thiqatul Islam’ yang bernama Al-Kulaini (mati 328H). Beliau meletakkan satu bab khusus tentang bab Al-Bada’ dalam kitabnya Usul Al-Kafi.

Kemudian diikuti ulama’ selepasnya yang bernama Ibnu Babawaih (mati381H) yang juga telah meletakkan satu bab khusus tentang bab Al-Bada’ di dalam kitabnya Al-Iktiqadat yang dinamakan agama Imamiah.[ii]

Orang-orang Syiah mungkin berkata bahawa Al-Bada’ itu hanya terdapat dalam kitab-kitab lama dan kini orang Syiah telah berubah. Walaubagaimanapun pegangan Al-Bada’ masih menjadi pegangan pengikut-pengikut Syiah sehingga sekarang dan mereka tidak dapat menafikan hakikat ini. Pegangan akidah Al-Bada’ kita boleh dapati dalam penulisan Syiah terkini, dan terdapat lebih 25 penulisan tentang Al-Bada’ di kalangan ulama’ Syiah kontemporari seperti apa yang ditulis.[iii]

Pengertian Al-Bada’
Asal makna Al-Bada’:
Jelas setelah tersembunyi
Timbul fikiran baru tentang sesuatu setelah melihat keadaan yang berlainan daripada apa yang ada dalam pengetahuan seseorang (lahir pandangan yang baru)

Bila kita amati kedua-dua maksud Al-Bada’ dari segi bahasa, ia akan melazimi dua perkara:

i. Ilmu Allah didahului dengan sifat jahil

ii. Berlaku perkara baharu dalam ilmu Allah

Ini adalah perkara yang mustahil berlaku pada Allah SWT. Jika kedua-dua perkara ini disandarkan kepada Allah SWT ia adalah sebesar-besar kekufuran kepada Allah SWT. Sedangkan Syiah Imam 12 menjadikan ia sebagai sebesar-besar ibadat kepada Allah. Lihatlah apa yang dikatakan oleh ulama’-ulama’ Syiah.

(ما عبد الله بشيء مثل البداء) yang bermaksud (seseorang itu tidak beribadat kepada Allah dengan sesuatu seperti Al-Bada’). Ini adalah satu pembohongan yang besar terhadap Allah SWT.

Al-Bada’ berlaku kepada Imam-lmam Syiah

Pengikut-pengikut Syiah mempercayai bahawa Al-Bada’ berlaku kepada Imam-imam mereka. Sebagai contoh apabila sesuatu berita yang disandarkan kepada Imam, kemudian berita tersebut tidak berlaku, maka pengikut-pengikut Syiah akan mendakwa inilah Al-Bada’ yang berlaku kepada Imam mereka. Contoh:
An-Naubakhti menyebutkan bahawa Ja’afar bin Muhammad Al-Baqir telah menentukan anaknya Ismail sebagai Imam sesudahnya dan beliau telah mengisyaratkan kepadanya semasa hidup lagi, tiba-tiba Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar pun berkata: “Tidak pernah berlaku kepada Allah (Al-Bada’) berhubung dengan sesuatu seperti mana berlaku kepadanya berhubung dengan Ismail anakku”[iv]

Bahkan ulama-ulama Syiah mendakwa Imam-Imam mereka mengetahui apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada mereka. Ini adalah dakwaan ulama’ mereka ( يعلمون ما كان وما يكون ولا يخفى عليهم الشيء )[v]. Maksudnya, mereka (yakni imam-imam) mengetahui apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada mereka. Berdasarkan kenyataan ini, difahami bahawa Imam-imam Syiah lebih hebat daripada Allah SWT.
Ulama-ulama Syiah telah memberi harapan kepada pengikut-pengikut mereka, bahawa Imamah atau kepimpinan akan kembali kepada mereka dan daulah akan jadi hak mereka dalam tempoh 70 tahun. Riwayat ini disandarkan kepada Abi Jaafar Imam mereka yang ke-6. Setelah berlaku tempoh 70 tahun apa yang dijanjikan tidak berlaku, lalu hal ini menyebabkan pengikut-pengikut mereka memprotes. Ulama’-ulama’ Syiah berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini, lalu mereka berkata sesungguhnya telah berlaku Al-Bada’ kepada Allah sehingga berlaku perubahan pada tempoh yang telah dijanjikan.[vi]

Kesimpulan Al-Bada’

Berdasarkan apa yang telah ditulis dan apa yang telah dijelaskan oleh ulama’-ulama’ Syiah bahawa Allah bersifat Al-Bada’ yang bermakna ilmu Allah didahului oleh sifat jahil dan berlaku perkara baharu dalam ilmu Allah. Oleh itu pada pegangan Syiah, Allah itu bersifat jahil dan tidak mempunyai ilmu yang meliputi segala sesuatu. Begitu juga dakwaan mereka yang mengatakan imam-imam mereka mengetahui perkara yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku, malah tidak ada sesuatu yang tersembunyi daripada imam-imam. Seolah-olah Imam-imam Syiah lebih hebat daripada Allah SWT.

Semua dakwaan Syiah tentang Al-Bada’ berlaku kepada Allah dapat ditolak dengan ayat Al-Quran. Maha Suci Allah SWT daripada apa yang mereka dakwa dan apa yang mereka sifatkan. Firman Allah yang bermaksud “Dan kunci semua yang ghaib ada pada-Nya, tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia yang mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun yang gugur yang tidak diketahui-Nya, tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata”.[vii] Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang ilmu Allah SWT yang meliputi segala-galanya dan semuanya dalam ilmu Allah SWT sejak azali lagi.

Disediakan oleh,

Ustaz Mohamad Ismail
Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...