BERHUBUNG isu serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Selangor, Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya pendirian beliau telah menyatakan bahawa beliau menyerahkan kepada kerajaan Selangor dan PAS pusat untuk menentukan sikap.
Walaubagaimanapun, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan rasa hairan beliau dengan sikap UMNO yang nampak beria-ria benar seolah-olah mahu membela Islam.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga dalam pada itu turut mengutarakan satu persoalan buat UMNO berhubung isu saman MCA terhadap kerajaan Kelantan dalam isu judi. Kenapa dalam isu ini, tiada suara pembelaan dari UMNO?
Minda Penulis berpendapat, pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu menunjukkan bahawa beliau tidak mahu isu sensitif tersebut terus menjadi suatu isu yang boleh menjadikan keadaan bertambah rumit dan mungkin, Tuan Guru tidak mahu melihat berlaku keadaan huru-hara di negara kita. Justeru itu beliau berpendirian untuk menyerahkan kebijaksanaan kepada kerajaan Selangor dan PAS pusat untuk menentukan sikap selepas hasil siasatan dikemukakan oleh pihak JAIS. Dan yang pastinya, Tuan Guru tentunya mahu melihat sikap yang bakal ditentukan oleh kerajaan Selangor dan PAS pusat itu tidak merugikan dan melukakan hati mana-mana pihak lebih-lebih lagi hati dan perasaan umat Islam.
Minda Penulis yakin bahawa semua umat Islam dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri tidak mahu melihat ada umat Islam dimurtadkan.
Berhubung dengan rasa hairan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan sikap UMNO yang beria-ria seolah-olah mahu membela Islam sedangkan dalam masa yang sama boleh berdiam diri bilamana kerajaan Kelantan menghadapi kes saman oleh MCA dalam isu judi, Minda Penulis berpendapat ianya bukanlah suatu perkara yang ajaib.
Ini adalah kerana pada pandangan Minda Penulis, perbezaan sikap yang ditunjukkan oleh UMNO dan penyokong adalah berdasarkan kepentingan politik parti tersebut. UMNO berdiam diri bilamana kerajaan Kelantan disaman MCA dalam isu judi dan dalam isu serbuan JAIS ke atas gereja di Selangor pula UMNO bersuara adalah kerana kedua-kedua negeri tersebut diperintah oleh Pakatan Rakyat.
Dari sudut yang lain pula, Minda Penulis melihat pendirian UMNO ini menunjukkan sikap sebenar parti tersebut terhadap Islam. UMNO hanya bising bila timbul isu kononnya ada cubaan untuk memurtadkan umat Islam tapi dalam masa yang sama tidak ambil kisah sekiranya umat Islam melakukan dosa dan maksiat termasuklah berjudi, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain lagi. Mungkin bagi UMNO, Islam itu hanyalah hanya terletak pada namanya tetapi bukan pada pengamalannya. Wallahuaklam...
No comments:
Post a Comment