Powered By Blogger

Saturday, December 10, 2011

Hina Hukum Allah = Tergelincir Aqidah

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

SYARIAT dan hukum Allah SWT tidak boleh dijadikan bahan sendaan dan wajib diyakini kebenaran sepenuhnya. Sekiranya ada di kalangan umat Islam yang menjadikannya sebagai bahan sendaan atau ada rasa ianya tidak adil dan tidak dapat menyelesaikan masalah umat, maka telah tergelincir aqidah orang itu dan wajib baginya untuk bertaubat dan kembali melafazkan dua kalimah syahadah.

Ambil tindakan ‘buat hudud pun tak jadi apa’
Written by Harakahdaily

Kuala Lumpur, 10 Dis: Pihak berkuasa agama di negara ini digesa segera bertindak terhadap pihak yang bertanggungjawab menerbit dan menyiarkan sebuah drama pendek di Youtube yang secara terang-terangan menghina hukum Allah.

Drama pendek bertajuk 'Lagi Hudud PAS' itu didakwa telah menghina hukum hudud dengan cuba memberi gambaran hudud bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah menjadikan masalah lebih teruk.

"DPPM (Dewan Pemuda PAS Malaysia) mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan wajar kepada mereka termasuk ke atas pemilik akaun kawasaki9722 yang menyiarkan filem tersebut.

"Filem ini tidak menguntungkan sesiapa malah mengundang kebencian ramai," kata ketua dewan itu Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily.

Mengikut maklumat yang direkodkan, drama dengan tajuk 'Lagi Hudud PAS' itu yang berdurasi 5 minit 34 saat dimuat naik sejak 21 November lalu oleh pemilik akaun bernama kawasaki9722.

Sehingga berita ini ditulis, drama itu telah ditonton oleh 10,123 pengguna dengan catatan 94 dari mereka menekan like dan 4,395 dislike.

Menggunakan lima pelakon Islam dan tiga bukan Islam, dialog drama ini antara lain menyentuh isu HIV tertinggi di Kelantan sambil memperlekeh hudud yang mahu dilaksanakan kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Malah mereka juga mendakwa ibu tunggal di Kelantan paling ramai dan rakyat negeri itu juga paling ramai bekerja di tempat-tempat maksiat.

Dalam dialog itu juga turut menyebut "Buat hudud pun tak jadi apa" lalu disambung seorang lagi dengan berkata "makin teruk ada la".

Sebelum ini negara kecoh dengan kenyataan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Kamal Saidin dan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang mempersenda hukum Allah SWT dalam Majlis Wacana Hudud di Wisma MCA baru-baru ini sedang beliau tiada autoriti untuk bercakap mengenai hukum Islam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ust Fathul Bari selaku Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Umno sebagai salah seorang panel.

Belum pun reda dengan isu itu, umat Islam sekali lagi dicabar dengan penghinaan hukum Allah melalui drama pendek tersebut.

Apa yang dikesalkan kata Nasruddin, kebebasan berkarya digunakan untuk menghina hukum Allah SWT sedang mereka tanpa segan silu menikmati segala macam kemudahan, keselesaan dan nikmat anugerah Allah SWT di atas muka bumi ini.

"Pelaku yang mendalangi penghinaan terancang terhadap hukum Allah SWT sedang berdepan dengan satu tanggungjawab yang sangat berat.

"Saya terlebih dahulu mewakili DPPM mengharapkan dalang dan para pelakon muslimnya bertaubat kepada Allah SWT dan kembali ke pangkalan jalan," katanya.

Friday, December 9, 2011

Dakwaan Satu Masjid : Alhamdulillah PAS Tidak Pernah Bina Satu Kasino dan Kilang Arak Pun!

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

KUALA LUMPUR, 8hb Dis 2011. Umat Islam khususnya orang Melayu diseru bersyukur kepada Allah S.W.T kerana sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan dan Terengganu (1999-2004), PAS bukan sahaja tidak pernah membina kasino dan kilang arak bahkan tidak terdetik di sanubari PAS untuk merestuinya. Apa yang orang Islam khususnya orang Melayu saksikan kewujudan Pusat Judi Genting dan Kilang Arak di negara ini adalah hasil daripada kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Umno.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan akhbar hari ini yang mendakwa kononnya bahawa PAS hanya berjaya membina satu masjid sepanjang pemerintahannya di Kelantan. ( Tetapi mengikut laporan terkini laporan tersebut dipersoalkan . Sila baca berita harakahdaily sepertimana dipetik pada penghujung berita ini yang bertajuk - Masjid: Adun pertikai laporan agensi berita)

“Bilangan masjid bukan matlamat kita tetapi memakmurkan masjid itulah yang menjadi objektif utama PAS, bahkan Rasulullah s.a.w meletakkan asas bahawa memakmurkan masjid sebagai perkara utama dan mencela masjid yang dibina bukan diatas dasar taqwa kepada Allah sepertimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran tentang masjid Dhirar yang dicela oleh Allah s.w.t kerana ianya dibina bukan kerana Allah s.w.t” tegas beliau.

“Alhamdulillah PAS Tidak Pernah bina satu Kasino dan Kilang Arak pun! Siapa yang bina tempat tersebut di tanahair kita ini? Siapa yang rasmi kilang arak di negara kita? Semua rakyat khususnya yang beragama Islam sangat tahu tentang hakikat ini” soal beliau lagi.

“Rasulullah s.a.w melarang kita daripada memperkecilkan sesuatu amalan yang ma’ruf , mungkin ianya nampak kecil pada mata kita tetapi ia sebenarnya memberikan timbangan yang sangat berat pada hari akhirat kelak” sambung beliau.

“Pihak Umno sepatutnya memuhasabah diri terhadap perkara maksiat yang telah dilakukan termasuk mengizinkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam untuk terus berlaku dalam negara ini, kita harap umat Islam tidak terus memberi kepercayaan kepada Umno lagi dalam PRU yang akan datang kerana kegawatan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya berpunca daripada sistem yang tidak berlandaskan Islam” ujar beliau lagi.

Putar Belit Media Tempatan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Masjid: Adun pertikai laporan agensi berita
M Faqih (Harakahdaily)

RANTAU PANJANG, 8 Dis: Agak mengejutkan apabila lain yang dicakap lain pula dilaporkan agensi berita milik kerajaan, seperti disiarkan beberapa akhbar utama hari ini.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, ketika berbual dengan wartawan agensi terbabit semalam beliau menceritakan kehebatan Masjid Beijing yang menjadi tumpuan pelancong sekarang.

“Saya sebut masjid tersebut dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri membabitkan kos kira-kira RM9 juta tanpa melibatkan sumbangan pihak lain.

“Itulah satu-satunya masjid dibiayai sepenuhnya kerajaan di kawasan parlimen Rantau Panjang. Manakala masjid lain diberi sumbangan mengikut keperluan.

”Saya tidak sebut Masjid Beijing satu-satunya masjid dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri di Kelantan. Ini sudah jauh menyimpang,” katnya di sini.

Abdul Fatah (gambar) menjelaskan perkara itu ekoran Utusan Malaysia dalam laporan muka hadapan hari ini mendakwa kononnya hanya satu masjid dibina kerajaan PAS sepanjang 20 tahun.

Malah berita sama turut disiarkan beberapa lagi akhbar lain.

Sebelum itu Abdul Fatah hadir pada majlis penyampaian geran tanah kepada 200 penduduk di Kampung Bukit Tandak disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Rantau Panjang meluahkan rasa kesal di atas laporan terbabit yang jelas menyimpang daripada maksud asal.

Difahamkan juga beberapa akhbar milik Umno hari ini cuba mengeksploitasi berita berkenaan dengan mencari pandangan daripada pelbagai pihak bagi menghodohkan kerajaan negeri.

Abdul Fatah berkata, berita seumpama itu tentunya ditertawa orang kerana banyak masjid dibina kerajaan negeri dalam tempoh begitu lama.

Contohnya Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian disiapkan kerajaan sekarang selepas terbengkalai begitu lama di bawah kerajaan dahulu.

Selain itu Masjid Jubli Perak ada di Pulai Chondong, Paloh dan Lojing. Masjid Kota Darulnaim, Masjid Baarah dan banyak lagi.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, laporan dibuat media milik Umno secara jelas semata-mata bagi memburukkan Kelantan dengan berita berbentuk propaganda murahan.

”Konsep yang ditekankan di Kelantan memastikan rakyat juga mengambil bahagian dalam pembinaan masjid, bagi memastikan mereka juga ada saham di akhirat.

”Apa yang lebih penting mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu,” katanya.

Beliau juga berkata, Lajnah Penerangan PAS Kelantan menerbit risalah khas dikenali sebagai Purnama yang membuatkan pelbagai isu semasa.

Katanya, sebanyak 10,000 naskah dicetak, diterbit setiap Jumaat diberi percuma bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat semasa.

Edisi pertama berada di pasaran minggu lepas. Dan esok pelancarannya akan diadakan di Medan Ilmu disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Dah Tersepit Baru Ingat PAS Ini Melayu

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Apabila orang Melayu mula menolak Umno, maka baru pemimpin Umno teringat bahawa Pas adalah parti orang Melayu. Selama ini mereka memandang PAS sebelah mata sahaja, seolah-olah PAS bukan parti Melayu. Sewaktu mereka kuat seolah-olah PAS ini, parti haram. Apa yang mereka tidak buat kepada PAS selama ini.

Berapa ramai di kalangan pimpinan PAS yang ditangkap ISA, ditukar tempat kerja, diturun pangkat, diskriminasi bantuan, menganak tirikan Kelantan, menghalang ustaz-ustaz PAS daripada memberi ceramah agama.

Sekarang mereka cuba mengajak PAS bersatu atas nama perpaduan Melayu, kononnya Melayu terancam pada hal yang terancam ialah Umno. Terbaru seruan Datuk Seri Najib di dalam Persidangan Agung Umno supaya PAS meninggalkan Dap demi agama dan melayu, dan menuduh Pas kuda tunggangan Dap

1. Ketika mereka menuduh DAP mengancam Melayu, rakan sejawat mereka “MCA” begitu biadab dengan Islam dan Melayu. Kenapa mereka tidak menegur keceluparan mulut Presiden MCA Chua Soi Lek terhadap Islam. Cuba bayangkan jika ucapan itu keluar daripada pemimpin DAP? Semalam NGO pro Umno di Pulau Pinang menghadiahkan replika kek najis kepada Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng sempena ulang tahun ke 51. Ajaran mana yang mengajar sikap begini? Adakah ini yang dikatakan Islam wasatiah?. Semua tindakan ini memalukan Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dengan Islam yang harmoni dan mulia.

Pemimpin Umno hentikanlah pelawaan untuk bersatu dengan PAS. PAS mempunyai jati diri dan tahu meletakkan kompas perjuangan. PAS mendahului Islam daripada segalanya, walaupun apa cercaan yang diterima kerana ini adalah lumrah perjuangan. Perjuangan PAS semakin diterima, sentiasa segar di hati rakyat, ketika Umno sedang mengalami mimpi ngeri untuk mara ke hadapan.

Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
9/12/11

Thursday, December 8, 2011

Hentikan Mempolitikkan Hukum Hudud

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

EKORAN cabaran MCA untuk berdebat dengan DAP berhubung isu hudud, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid menegaskan agar persoalan hukum dalam agama Islam itu menjadi bahan perdebatan mana-mana pihak hanya untuk dijadikan sebagai modal politik.

Menurut beliau, sebarang debat atau cabar mencabar berhubung isu hudud perlu dihentikan segera kerana ia dilihat semakin dipolitikkan.

Sebagai manusia katanya, samada yang beragama Islam atau tidak, tidak sepatutnya mencabar hukum yang datangnya dari Allah SWT. Beliau juga menegaskan bahawa hudud adalah undang-undang dan peraturan Allah, maka ianya tidak sepatutnya menjadi bahan perdebatan tetapi wajib dilaksanakan.

Isu hukum hudud kini semakin dipanaskan apabila Timbalan Ketua Publisiti MCA, Loh Seng Kok mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berdebat mengenai isu hudud dan ianya disiarkan di televisyen.

Sebelum ini juga, umat Islam juga dikejutkan dengan tindakan tidak wajar Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal Sadin dan juga ulama muda Umno, Mohd Fathul Bari yang menyertai satu forum anjuran MCA untuk menyerang hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS.

Minda Penulis amat bersetuju dengan saranan dari Mufti Selangor itu dan mengharapkan agar MCA serta Umno sendiri supaya berhenti mempolitikkan isu hukum hudud. Jangan terlalu lantang menghina hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Berhentilah segala perbuatan khianat kepada agama sebelum datangnya bala dan balasan dari Allah SWT.

Wednesday, December 7, 2011

Hukum Penggunaan Indelible Ink (Dakwat Kekal)

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

MUZAKARAH Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Walaubagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.

Keterangan/Hujah:

1.Indelible Ink bermakna dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Kaedah ini adalah kaedah yang mudah yang berkesan bagi mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih sekali. Beberapa negara telah menggunakan kaedah ini termasuk China, Ghana dan Denmark. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihanraya sejak tahun 1962 lagi. Berdasarkan laporan ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga (3)bahan utama iaitu air, Ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate .

2.Penggunaan Indelible Ink tidak akan mendatangkan sebarang mudharat jika digunakan pada kuku dan jari. Ia hanya akan mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum.

3.Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari. Untuk kegunaan dalam pilihanraya, SPR hanya akan mencalitkan Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

4.Penggunaan alkohol dalam Indelible Ink bukan merupakan isu kerana pada asasnya jika sesebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.

5.Memandangkan Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta dan kandungannya juga bebas dari sebarang lemak haiwan, maka penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.

6.Ketelapan air pada kulit perlu dibezakan dengan ketelapan air yang sampai pada sel di bawah kulit, kerana dari sudut syarak kedua-duanya adalah berbeza dan untuk tujuan ibadah adalah memadai jika air telap sampai ke kulit.

7.Dalam konteks menjaga maslahah ummah, beberapa kaedah fiqhiyyah yang boleh dijadikan sandaran adalah :
تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلح

Maksudnya : Tindakan yang dijalankan oleh ketua negara terhadap urusan rakyat adalah terikat dengan maslahah.

sumber : e-Fatwa

Monday, December 5, 2011

Air Kotor: Penduduk Kesal Laporan Palsu Utusan

بِسْــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

RANTAU PANJANG, 5 Dis: “Kami tidak ada masalah untuk mendapatkan air bersih. Tidak pula berlaku ada kekuningan seperti disebut dalam sebuah akhbar.

”Bekalan air yang disalur Air Kelantan Sdn Bhd tidak bermasalah, kalau setahun mungkin ada sekali dua terputus bekalan sekejap,” kata pekerja sebuah restoran di kawasan bebas cukai di sini.

Seorang peniaga, Wan Hanafi Wan Jaafar, 48 melahirkan rasa kesal terhadap laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau.

”Saya hendak tanya sumber air yang didakwa itu diambil dari punca mana. Kalau air AKSB tidak berlaku apa yang didakwa tersebut.

”Lainlah kalau mendapat sumber air dari telaga tiub yang dikorek sendiri. Memang air boring berbau dan berwarna kuning. Kalau air AKSB tidak,” katanya ketika ditemui semalam.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia pada laporannya 24 November lalu menggambarkan air dibekalkan kerajaan negeri berkarat dan berbau.

Gambar disiarkan akhbar terbabit menunjukkan seorang surirumah mendakwa terdapat kesan-kesan air berkarat pada jarinya.

Sedangkan sumber air yang diguna itu tidak diceritakan dari punca mana. Berdasar tinjauan air berkarat dan berbau diperolehi sumber air telaga tiub yang dikoret sendiri dan bukan air AKSB.

Laporan Utusan cuba menyembunyikan fakta sebenar. Air boring masih digunakan sebahagian kecil peniaga di Rantau Panjang.

Telaga tiub yang diboring mendapat sumber air dari bawah tanah. Bagaimanapun keadaan rupa bumi pekan Rantau Panjang bekas sawah dan mudah air bertakung menyebabkan sumber air bawah tanah berkarat dan berbau.

Namun berlainan air dibekalkan AKSB kerana disalur dari Loji Rawatan Air Kelar, Pasir Mas.

Pegawai Komunikasi Korporat AKSB, Azahari Ab Rahman berkata, pengguna di Rantau Panjang mendapatkan sumber air dari loji Kelar.

”Air yang dibekalkan AKSB jernih dan tidak berbau. Maklumat seperti disiarkan sebuah akhbar baru-baru ini tidak betul.

”Tindakan tersebut hanya untuk memburukkan AKSB dan kerajaan negeri semata-mata, sedangkan air berkarat dan berbau diambil penduduk dari punca lain,” katanya.

Penghulu Mukim Bandar Rantau Panjang, Wan Idris Deraman berkata, tidak timbul sama sekali air dibekalkan AKSB berkarat dan berbau seperti dilaporkan sebuah akhbar.

Katanya, air yang didakwa berkarat itu diambil dari telaga tiub yang diboring penduduk dan bukan air milik AKSB.

”Tidak dinafikan masih ada peniaga di pekan Rantau Panjang yang menggunakan air boring biar pun berkarat dan berbau,” katanya.

Kata beliau sekarang sudah ramai penduduk menggunakan air dibekalkan AKSB kerana jauh lebih berkualiti.

Seorang peniaga gerai makanan, Hasnah Ismail, 58 mengakui beliau menggunakan sumber air boring untuk membasuh pinggan mangkuk di gerainya.

Bagaimanapun katanya, air minuman diambil daripada rumahnya.

”Saya bercadang mahu menggunakan sumber air AKSB memandangkan tidak berkarat dan berbau seperti air diboring,” ujarnya.

Pertikai Hudud Di Forum Anjuran MCA Adalah Memalukan

بِسْــــمِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم   
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ   

EKORAN penyertaan Umno menerusi penasihat agama MB Terengganu, Mohd Kamal Sadin dan ulama muda Umno, Ustaz Fathul Bari dalam satu forum anjuran MCA yang dijadikan platform untuk menyerang Enakmen Syariah, Hudud, Qisas dan Ta'zir Kelantan dan Terengganu, PAS telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang mempersoalkan tindakan wakil Umno tersebut.

Akibat tindakan wakil Umno tersebut, bukan sekadar PAS yang merasa kesal dengan kejadian tersebut, bahkan ianya juga turut dirasai sama oleh masyarakat Islam di negara ini.

Baca kenyataan dari PAS di sini, sini, sini dan sini

Sunday, December 4, 2011

Penasihat Agama Atau Perosak Maruah Agama?

 بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

PADA forum berjudul 'Hudud dan implikasinya terhadap bukan Islam di Malaysia' anjuran MCA di ibupejabat MCA di Kuala Lumpur, penasihat agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal Sadin mendakwa hukum hudud yang digubal oleh kerajaan Negeri Kelantan adalah bertentangan dengan hukum Allah. Baca sini

Mohd Kamal memberikan beberapa contoh untuk menguatkan hujah beliau antaranya soal umur Mukallaf (akil baligh), soal hukum meliwat isteri dan soal samada hudud ini turut terpakai atau tidak terhadap bukan Islam.

Melihat kepada hujah-hujah yang diberikan oleh Mohd Kamal ini, jelas menampakkan ianya sama dengan hujah yang pernah dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bebas Kulim- Bandar Bharu, Zulkifli Noordin di mana hujah Zulkifli Noordin tersebut telahpun dijawab sebelum ini. Baca jawapannya di sini, sini dan sini

Dalam hujah yang diberikan oleh Mohd Kamal juga mendakwa pada zaman Rasulullah SAW semua orang tidak kira Islam atau bukan Islam yang melakukan kesalahan tetap dikenakan hukum hudud. Jadi kita ingin tahu samada bolehkah Mohd Kamal atau sesiapa sahaja di dalam Umno boleh membuktikan dengan nas-nas dari Al-Quran ataupun dari hadis nabi atau dari Ijma' Ulama' yang mengatakan bukan Islam pada zaman Rasulullah SAW turut dipaksakan dengan hukum hudud sekiranya didapati melakukan kesalahan.

Sekiranya hudud yang diperjuangkan oleh PAS ini bertentangan dengan Al-Quran dan hadis, mengapa pula Umno sendiri tidak menunjukkan dan memperjuangkan hudud yang Umno katakan sebagai hudud sebenar? Adakah Umno sebenarnya tidak mahu hukum hudud dilaksanakan kembali di atas muka bumi ini dan apakah Umno ingin melihat masyarakat di negara ini terutamanya yang beragama Islam hidup dalam kemaksiatan dan penuh nafsu nafsi?

Apa yang peliknya di sini, kenapa Mohd Kamal dan juga Fathul Bari menggunakan platform MCA untuk menyerang PAS. Nampak di sini seolah-olah terdapat agenda untuk menakut-nakutkan bukan Islam dengan hukum hudud seolah-olah juga hudud yang dilagangkan oleh PAS adalah kejam dan zalim.

Adalah juga amat janggal kerana Umno sendiri sebagai sebuah parti yang dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam tidak mampu dan tidak berani untuk menganjurkan satu forum yang membicarakan persoalan mengenai hukum syariat Islam.

Juga amat janggal sekiranya Umno dan juga Mohd Kamal sendiri yang mendakwa hudud yang diperjuangkan oleh PAS itu bertentangan dengan Al-Quran dan hadis tetapi dalam masa yang sama mendiamkan diri dan tidak berani menegur sikap dan akhlak pemimpin-pemimpin Umno yang jelas bertentangan dengan Al-Quran dan hadis. Dimanakah mereka-mereka ini bilamana pemimpin-pemimpin mereka sendiri gagal mendidik anak-anak dan isteri untuk mentaati perintah Allah dan Rasul sebagaimana yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis.

Sekiranya Umno ingin menafikan bahawa PAS bakal menggantikan Umno bahkan memomokkan pula bahawa DAP yang akan menggantikan PAS, maka dengan situasi yang berlaku sekarang ini di mana MCA yang menganjurkan forum mengenai syariat Islam maka tidaklah pelik dan mungkin sesuai jika dikatakan sekarang ini MCA yang menggantikan Umno. Ini adalah kerana jelas kelihatan sekarang ini bahawa Umno sekarang cukup dayus bila berhadapan dengan MCA sehinggakan tidak mampu untuk berkata-kata mempertahankan maruah Islam bilamana MCA berterus-terusan melakukan penghinaan terhadap syariat Islam.

Jika Umno mendakwa PAS kini mengikut telunjuk DAP kerana meneruskan kerjasama dengan DAP yang didakwa oleh Umno sebagai menghina hukum Islam, maka kita ingin mencabar Umno untuk memutuskan kerjasama politik dengan MCA kerana parti tersebut sehingga kini amat konsisten memusuhi hukum syariat Islam. Jika tidak boleh disimpulkan bahawa Umno juga mengikut telunjuk dan bacul bila berhadapan dengan MCA.

Saturday, December 3, 2011

Haji Najib Buat Lawak


بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

ENTAH apa yang direpekkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Haji Najib? Hari ini Haji Najib semasa ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung Umno di PWTC petang ini menyindir PKR sebagai parti anak beranak yang didakwanya mencatatkan rekod sejarah dunia bahawa "paling ramai pemimpin keluar parti. Baca sini.

Lantak engko la Haji Jib. Cuma nak tanya sikit, berapa ramai ahli dan pemimpin Umno-BN yang keluar parti dan menyertai PKR? Berapa ramai pula ahli dan pemimpin Umno-BN yang keluar parti lalu menyertai PAS?

Takpelah.. Mungkin Haji Jib terlupa atau mungkin Haji Jib malu nak mengaku diorang semua tu bekas ahli dan pemimpin Umno-BN.

Lagi satu lah Haji Jib, tak payahlah engko nak cabar PAS untuk berpisah dengan DAP. Pandai-pandai PAS la dengan siapa dia nak berkawan. Pandai-pandai PAS lah macamana nak uruskan gabungan tersebut. Lagi baik sebelum Haji Jib cabar PAS berpisah dengan DAP, Tuan Haji Jib terlebih dahulu keluarkan Umno dari persahabatan dengan MCA dan Gerakan.

Iman Dan Agama Sebagai Benteng Dari Melakukan Dosa

 بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
"BILA kita berugama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya yakin seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka.."

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di sidang media, 30 Jun 2010.

Desak MB Kelantan Letak Jawatan. Umno Kelantan Memualkan

بِسْــــمِ اﷲِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

DEWAN Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin memberikan respon terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Perwakilan Umno Kelantan, Mohd Afandi Yusoff di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 hari ini yang sekali lagi menggesa agar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz berundur dan memberikan laluan kepada pemimpin lain selepas 21 tahun mentadbir negeri Kelantan.

DPPNK menyifatkan kenyataan Afandi itu sebagai satu kenyataan memualkan dan hilang arah serta menampakkan kegerunan UMNO Kelantan untuk berhadapan dengan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Amat jelas keyakinan mereka bahawa susuk tubuh Menteri Besar Kelantan itu menjadi antara penghalang terbesar mereka untuk merampas kembali Kelantan.

DPPNK ingin bertanya kepada perwakilan UMNO Kelantan ini, atas dasar apakah Menteri Besar Kelantan diminta berundur? Jika atas faktor umur, tidakkah mereka yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan serta jauh lebih muda dari Nik Aziz lebih layak untuk berundur? Tidakkah Mohd Afandi membaca Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan pelbagai ketirisan dalam perbelanjaan duit kerajaan yang berlaku di bawah pentadbiran individu yang kononnya lebih muda?

DPPNK mencabar Afandi agar mendatangkan bukti-bukti penyelewengan yang berlaku di Kelantan sepanjang 21 tahun pentadbiran Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar. Berapa banyakkah harta kemewahan yang dikumpulkan oleh beliau dan berapa bentuk cincinkah yang dibelikan untuk isterinya sebagaimana amalan pimpinan tertentu? Tindakan Afandi Yusof membandingkan dengan Tun Mahathir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah berundur membayangkan kejahilannya terhadap sejarah UMNO sendiri. Barangkali Afandi tidak sedar bahawa kedua-dua mereka berundur bukan atas desakan pembangkang tetapi atas desakan dalaman UMNO sendiri setelah mereka gagal menunjukkan prestasi baik dalam pilihanraya. Tun Mahathir berundur setelah sokongan Melayu kepada UMNO merosot dalam pilihanraya umum 1999 dan Tun Abdullah berundur setelah Barisan Nasional gagal mendapat dua pertiga majoriti di dalam parlimen dalam pilihanraya umum 2008.

Adapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz, semakin disayangi dan disanjungi oleh rakyat Kelantan berbanding dengan Afandi sendiri yang pernah kalah kepada seorang calon wanita di dalam pilihanraya umum 2008 untuk kerusi parlimen Rantau Panjang. Sewajarnya Afandi sendiri bermuhasabah bahawa dirinya sangat kerdil jika dibandingkan dengan Menteri Besar Kelantan yang sering dicabarnya untuk berdebat. DPPNK sedar bahawa ini bukan kali pertama kenyataan sebegini dikeluarkan oleh Afandi. Bahkan pada bulan Jun 2009, Afandi pernah mencabar Menteri Besar Kelantan melepasi saringan debat dengan Pemuda UMNO terlebih dahulu sebelum berdebat dengan Perdana Menteri.

Justeru, DPPNK berpandangan desakan UMNO Kelantan tidak perlu dilayan oleh kepimpinan kerajaan negeri Kelantan. Apa yang perlu ialah meneruskan fokus ke arah membangunkan negeri Kelantan di bawah payung syariat. Adapun desakan UMNO Kelantan itu tidaklah ubah seperti jurulatih pasukan bola sepak sebelah lawan yang merayu-rayu agar dibuang pemain penyerang utama sebelah sini yang dibimbangi akan menjaringkan gol setelah mereka sendiri pun terkial-kial untuk mencari penjaga gol!

Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 3 Disember 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...