Powered By Blogger

Sunday, September 30, 2012

Cara Mandi Mengikut Sunnah

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 

BAGAIMANAKAH cara kita mandi sehari-harian? Adakah masuk saja ke bilik air, bukak paip air pancuran terus mandi atau cebok air dalam kolah atau baldi, terus siram? Apakah cara kita mandi sehari-harian tersebut menepati apa yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. atau apakah kita hanya mandi kerbau? Adakah kita tahu bagaimana cara mandi yang disunnahkan dalam Islam?

Bagaimana cara mandi mengikut sunnah? 
1. Mula-mula hendaklah membasuh kedua-dua tangan sebanyak 3 kali.
2. Kemudian beristinjak (bersuci) dengan menghilangkan segala najis yang ada atau melekat di badan (jika ada)
3. Seterusnya berwuduk seperti berwuduk untuk solat kecuali membasuh kedua-dua kaki (dilakukan pada akhir mandi)
4. Kemudian menyiram air di atas kepala, kemudian di atas tubuh bermula sebelah kanan seterusnya sebelah kiri.
5. Setelah selesai, gosoklah bahagian badan yang hadapan dan belakang. Rambut dan janggut hendaklah dicelah-celah dengan jari-jari, sehingga air dapat sampai dan rata ke pangkal tempat tumbuhnya rambut tadi (sesuai untuk rambut lebat atau panjang)
6. Bagi kaum wanita tidak diperlukan untuk menghuraikan sanggul rambut kecuali kalau diyakini air itu tidak mungkin dapat sampai di celah-celah rambut. Perlu juga diperhatikan lipatan-lipatan yang terdapat pada tubuh badan kita.

Mandi itu menjadi wajib hukumnya kerana 4 perkara iaitu:-
1. Keluarnya air mani
2. Bertemunya 2 kemaluan (bersetubuh)
3. Haid
4. Nifas

Selain 4 perkara di atas, maka hukumnya sunat sahaja. Sama seperti mandi untuk 2 hari raya, mandi pada hari Jumaat, mandi untuk memakai pakaian ihram, mandi untuk wukuf di Arafah, mandi ketika hendak masuk ke Kota Makkah dan mandi untuk orang yang memandikan jenazah.

Rujukan: Kitab Mau'izatul Mukminin (tulisan as-Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasqi). Kitab ini adalah ringkasan daripada Kitab Ihya' 'Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali rahimakumullah (Kitab Ihya' 'Ulumuddin adalah sumber rujukan terbaik selepas Al-Qur'an dan al-Hadis.

Monday, September 17, 2012

Pentingnya Hidup Bermasyarakat

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

ALMARHUM Tok Kenali telah meninggalkan pesanan beliau tentang betapa pentingnya hidup bermasyarakat sebagaimana yang beliau nukilkan dalam majalah PENGASUH: Tahun Satu, Bil. 1:11 Julai 1918
"...Bermula dalil atas suruh berhimpun setengah akan setengah itu, sembahyang jamaa'ah pada tiap-tiap waktu atas jalan fardhu kifayah dan sembahyang Jumu'at atas jalan fardhu 'Ain; dan membuat haji sekali setahun fardhu kifayah atas jalan khusus.

Jangan kita sangka bahawa segala suruhan dan tegahan itu suatu yang memudharatkan kita dan memberi manfaat kepadaNya; kerana Ia Tuhan Yang Maha Suci daripada mengambil faidah daripada perbuatanNya."

Seterusnya beliau dengan tegas menulis;
"Tiada hari bagi kita,
Jika kita tidak bergerak pada hari ini;
Cubalah anakku tilik cerah matahari,
Kelebihan orang yang telah dapat kemenangan,
Kerana amalan yang kebajikan.
Dan pandangkan kelam orang yang jatuh,
Kerana amalan kejahatan
Di situlah PENGASUH bertimpus membedak,
Dengan bedak harapan.
Mudah-mudahan subur sekalian,
Dengan darah dan daging,
Yang boleh mengkhidmatkan tanah air,
Dan menunjukkan kepada Raja.

Sunday, September 16, 2012

Bagaimana Memperolehi Ilmu?

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام
عليكم ورحمة الله وبركاته

"SASARAN ilmu itu sangat jauh,
Tidaklah dapat diburu dengan anak-anak panah,
Tidaklah pula dapat dipusakai daripada bapa-bapa dan paman-paman;
Malah dia, suatu yang tak tercapai melainkan dengan menghamparkan diri ke bumi (masjid),
Dan jadi lembutnya batu lantai (sebab menulis di lantai)
Serta banyak memerhati,
Juga banyak berfikir,
Seterusnya giat bersungguh (mencarinya) dalam kitab-kitab (yang lanjut) bak lautan."

Kata-kata indah dan puitis di atas adalah merupakan susunan kata Ulama' terkenal di Negeri Kelantan iaitu Almarhum Tok Kenali. Apa yang dimaksudkan oleh Almarhum dengan kata-kata beliau di atas ialah, syarat mendapat pengetahuan adalah menerusi 5 jalan (cara) iaitu:

1. Mesti mencarinya sendiri; sebab dia bukanlah sesuatu yang diwarisi daripada ibubapa.
2. Mempelajari ilmu di pusatnya; Di masa lalu dan kini juga, Kota Makkah dan juga Kota Madinah merupakan pusat Ilmu keislaman.
3. Banyak mengulangi tempat belajar mengikut iklim dan keadaan alam sekitar berkenaan.
4. Banyak menggunakan pemerhatian mengenai punca atau sumber ilmu, terhadap alam nyata dan alam yang tersirat.
5. Mempelajari ilmu daripada kitab-kitab besar; yang dapat dipegangi dan mempunyai keterangan yang lanjut di mana kitab itu sebagai guru yang sedia menjawab segala pertanyaan dan kemusykilan.

 

Friday, September 7, 2012

Sheikh Izzuddin Bin Abdul Salam


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

DILAHIRKAN di Damsyik, Syria pada tahun 577 Hijriah dan dinamakan Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulaimi al-Dimasyqi al-Misri al-Syafie. Beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Meninggal dunia di Mesir pada tahun 66o Hijriah.

Seorang tokoh ilmuan yang hebat dalam sejarah Islam. Ulama' mazhab Syafi'e yang masyhur dengan ilmu "Maqasid Al-Syariah" / objektif syara'. Karya-karya beliau berjumlah lebih daripada 30 buah, antara yang termasyhurnya ialah "Qawa'id al-Ahkam fi Masolih al-Anam".

Beliau terkenal dengan gelaran Sultan Ulama` dan Penjual Raja-Raja. Beliau mendapat gelaran tersebut kerana beberapa sebab, antaranya adalah kerana keberaniannya berdepan dengan pemerintah Syam yang bersekongkol dengan tentera Salibiyyah Rom untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Mesir sehingga digelar Sultan Ulama`.

Pada tahun 638 Hijriah, berlaku peristiwa perbalahan di antara pemerintahan Damsyik, al-Saleh Ismail dan pemerintahan Mesir, Najmuddin Ayyub (bapa Sallahuddin al-Ayyubi). Apabila al-Saleh berasa gentar dengan ancaman Najmuddin, beliau telah membuat satu komplot dengan tentera kafir Salibiyyah untuk membantunya menentang saudaranya seagamanya, Najmuddin dengan menjanjikan beberapa negeri dan kawasan kepada Salibiyyah. Malah beliau juga membeli senjata bagi pihak Salibiyyah untuk memerangi kaum muslimin.

Setelah berita ini sampai kepada al-Izz yang merupakan khatib dan Mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengutuk dan mengecam tindakan al-Saleh tersebut, yang merupakan suatu penghianatan besar terhadap umat Islam. Beliau tidak lagi berdoa untuk Sultan di dalam khutbahnya, sebaliknya berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali bai'ahnya (taat-setianya). Pada masa itu al-Saleh berada di luar Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda telah menghantar utusan kepada al-Izz dan mengarahkan al-Izz supaya menarik kembali fatwa beliau serta meminta maaf terhadap al-Saleh dan tentera Salibiyyah.

Sudah tentu al-Izz enggan mematuhi arahan al-Saleh tersebut. Oleh kerana keengganan al-Izz tersebut, al-Saleh terus mengeluarkan arahan memecat al-Izz dari jawatan khatib dan Mufti Damsyik serta mengarahkan supaya al-Izz ditangkap.

Al-Izz menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia bekorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Setelah dibebaskan dari penjara, al-Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik dan menuju ke al-Quds (Palestin), Al-Saleh bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan al-Izz dan baginda menghantar seorang wakil untuk bertemu al-Izz serta memujuknya agar menarik kembali fatwa beliau yang masih tetap dipatuhi oleh rakyat Syria serta datang mengadap Sultan dan memohon maaf kepada al-Saleh dan tentera Salibiyyah. Sekiranya beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan asalnya. Al-Izz bagaimanapun dengan tegas menjawab: " wahai si miskin! aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku, bagaimana pula aku sanggup mencium tangannya."

Utusan itu menjawab: " jika tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali."
Al-Izz menjawab: "buatlah apa yang kamu suka."

Lalu al-Izz pun ditangkap kembali dan dikurang di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah yang didiami oleh Sultan dan ketua tentera Salibiyyah. Pada waktu malam terdengarlah suara al-Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir. Ketika itu al-Saleh Ismail memberitahu ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama' yang ditangkap kerana enggan bekerjasama dengan baginda. "Beliau ditangkap demi kepentingan kamu", ceritanya dengan bangga. Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya menjawbnya ; "Kalaulah ulama' ini di dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan meminum air basuhan tersebut".

Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera al-Saleh Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya al-Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.

 
Nota: Kita pernah memiliki ulama' dalam kerajaan yang memiliki keberanian seperti al-Izz ini. Beliau adalah Ustaz Dato' Haji Ishak Baharom. Beliau rela dilucutkan jawatan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Selangor kerana mempertahankan tindakan menangkap peserta ratu cantik yang beragama Islam. Namun kini, hampir tidak kelihatan ulama'-ulama' seberani beliau di dalam kerajaan memerintah negara kita sekarang ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...